suria

Ramai ‘mengidam’ colek buah Tumpat, rupanya pakcik Bismillah sedang sakit... Anak sedia sambung legasi, jual online sos pencicah

Seorang anak tekun membantu bapanya yang lanjut usia berniaga colek buah.

PERNAH tular di negeri yang diberi jolokan Serambi Mekah sebelum ini mengenai seorang peniaga colek buah yang warak perwatakannya.

Dikenali sebagai Colek Pokli Bismillah di Tumpat, Kelantan, gerai ini menjual hidangan masyarakat tempatan iaitu buah-buahan campuran yang dijirus dengan kuah pedas.

Lebih menarik tumpuan ramai apabila pengusahanya, Jihad Husin, 68, dilihat sering menyebut kalimah mulia, Bismillah dalam setiap tindak-tanduknya ketika menyediakan pesanan pelanggan.

Anak kepada peniaga colek buah ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak kira ketika memotong buah, menuang kuah atau membungkus makanan, perkataan Bismillah tidak pernah lekang daripada bibir Jihad sehingga melekat jolokan Pak Cik Li Bismillah padanya.

Selain itu, harga yang berpatutan dan kuantiti colek buah yang melimpah-ruah menyebabkan ramai tertambat hati untuk kembali membeli di gerai tersebut.

Namun baru-baru ini anak lelakinya, Che Muhammad Redzuan Jihad, berkongsikan khabar duka memaklumkan keadaan kesihatan ayahnya yang merosot.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak kisah beratur dalam cuaca panas, jurusolek kagum lihat sikap peniaga buah warga emas... asyik minta maaf, ucapkan Bismillah - “Boleh repeat beli”

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas dituduh tiru imej Ebit Lew, usahawan kek tepis dakwaan pernah rapat dengan mak nyah pula - “Saya sepenuh masa dengan mak”

Berikutan daripada itu, gerai terpaksa ditutup seketika dan ramai pelanggan setia yang tertanya-tanya tentang keberadaan Pak Cik Li Bismillah.

Bercerita lanjut kepada mStar, Redzuan memberitahu ayahnya mengalami kesakitan pada bahagian kaki yang menyebabkan kesukaran untuk bergerak.

"Ayah ada bengkak dekat kaki kiri manakala kaki kanan pula ada jangkitan, doktor terpaksa buat pembedahan kecil untuk membuang isi daging yang rosak di kawasan situ.

Saya kena banyak buat live di TikTok untuk tembus pasaran, perlu usaha berterusan jika nak jayakan produk sos ini.

REDZUAN JIHAD

"Ayah tak boleh banyak bergerak sekarang, hari tu pun ayah demam. Mungkin disebabkan faktor usia, ayah juga ada kencing manis, darah tinggi dan beberapa lagi penyakit lain.

"Sebab itu ayah dah lama tak berniaga, ayah tak larat dan kena berehat. Lagi satu kalau waktu berniaga ayah kena banyak berdiri, mungkin ada kesan sampingan juga pada kaki, sedih tengok keadaan ayah.

"Sepatutnya kalau tak ada pembedahan tu, ayah dah nak berniaga semula pada selasa, 5 Disember, tapi saya anggap ini ketentuan Allah nak suruh ayah berehat lagi, takut apa-apa yang lebih buruk berlaku," jelas Redzuan.

Redzuan turut meminta doa daripada orang ramai agar ayahnya dapat dikurniakan kesihatan yang baik.

Hidangan colek buah yang popular di Kelantan.

"Minta semua doakan ayah saya cepat sembuh, Insya-Allah ayah saya akan sentiasa kuat dan sihat, terima kasih kepada yang mendoakan," ujar Redzuan.

Tambah Redzuan lagi, dia bersedia untuk menyambung legasi ayahnya dengan mendigitalisasikan perniagaan Colek Pokli Bismillah.

"Saya ada perancangan jangka masa panjang untuk perniagaan ayah dan ada antaranya yang saya dah mula cuba. Selama dua bulan ni saya komersialkan satu produk baharu secara atas talian.

"Produk baharu ni saya buat sendiri dengan ayah, sos colek yang dibotolkan dan sedia untuk dihantar secara postage ke seluruh Malaysia. Sos ni sangat lazat untuk dicicah dengan buah-buahan.

Produk sos colek yang cuba dipromosikan oleh Redzuan.

"Sos ni menggunakan resepi keluarga yang diturunkan selama tiga generasi, daripada datuk saya, kepada ayah saya dan kini kepada saya, Alhamdulillah.

"Saya buat ni supaya ayah boleh berehat dan saya ambil alih perniagaannya secara berperingkat," kata Redzuan.

Walaupun begitu, Redzuan mengakui banyak liku-liku cabaran yang menanti apabila menceburi dunia pemasaran terutamanya melibatkan persaingan yang sengit.

"Saya kena banyak buat live di TikTok untuk tembus pasaran, perlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan jika nak jayakan produk sos ini.

"Tidak mengapapa, saya yakin pasti ada sinar yang menanti, demi ayah," kata Redzuan menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain