suria

Dating 2 hari dengan ketua pramugara, terus diajak kahwin! Dulu sering beri 'Token of Love' untuk kru di awan biru

(Kiri) Wani dan suami ketika 'first date', kanan sewaktu bernikah pada 11 Disember.

SIAPA sangka, perkenalan singkat menerusi laman sosial berakhir di jenjang pelamin.

Jodoh dan pertemuan adalah ketentuan Allah, dan wanita ini dilamar menjadi isteri selepas dua hari mengenali seorang jejaka buat pertama kali.

Kedengaran seperti cerita dalam filem, tapi bagi anak kelahiran Kelantan ini, ia adalah satu hakikat selepas dia selamat bernikah dengan pasangannya di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, pada 11 Disember lalu.

Wani terpikat dengan sikap tenang suami.

Berkongsi cerita, Nor Alwani Abdul Wahab berkata, dia dan suami, Imran Hamid A Manaf saling mengenali menerusi aplikasi Facebook Dating pada 19 Jun lalu.

Selepas berkenalan dan bersembang menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp, dia yang mesra disapa sebagai Wani berkata, mereka kemudian bertemu buat pertama kali pada 25 Jun.

"First date kami di KLCC. Selepas dua hari jumpa, dia jemput saya di pejabat di Cyberjaya dan ajak solat Maghrib di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Selepas solat, dia berikan hint best juga kalau dapat buat majlis nikah kat sini. Masa tu saya abaikan saja sebab mungkin angan-angan dia dengan orang lain.

"Tapi malam tu dia betul-betul lamar saya. Dia cakap 'Okay tak kalau hujung tahun ni awak masuk rumah saya sebagai isteri?'" ceritanya kepada mStar.

wani 5

Ketika berbulan madu di Port Dickson.

Wanita berusia 40 tahun itu mengakui amat terkejut, namun selepas beberapa minit dia memberikan persetujuan terhadap lamaran itu.

"Masa tu saya serah segala-galanya kepada Allah. Saya pasti ini 'kun fa ya kun' daripada Allah dan kuasaNya yang membolak-balikkan hati," ujarnya mengenai suaminya yang merupakan anak kelahiran Selangor berusia 51 tahun.

Jika belum sampai jodoh lagi, percayalah Dia sedang groom yang terbaik untuk kita... insyaAllah ada bahagia menanti.

NOR ALWANI ABDUL WAHAB

Sikap tenang suaminya yang bertugas sebagai ketua pramugara merupakan antara sebab Wani terpikat kepada lelaki itu.

"Mungkin faktor usia dan pengalaman kerja suami saya. Lagi satu yang saya terima lamaran dia apabila dia bercakap dan meluahkan sesuatu, satu persatu dia akan susun ayat dan tak kelam kabut," katanya sambil menambah suaminya juga seorang yang kelakar.

Berbulan madu di Krabi.

Menurut Wani, sehingga ke hari ini dia masih tidak percaya dirinya kini bergelar isteri kepada seseorang dalam tempoh yang sangat singkat.

ARTIKEL BERKAITAN: Jodoh rahsia Allah, lelaki ini pilih wanita kerdil jadi suri hati... Rupanya nasi goreng udang jadi penambat perut encik suami

ARTIKEL BERKAITAN: Satu tweet cari jodoh pada 2022, pemuda terus raya berdua tahun ini! ‘Lulus mudah’ sebab tepati 3 ciri ditetapkan isteri

"Alhamdulillah semua berjalan lancar. Saya pernah gagal dalam hubungan sebelum ini. Hingga satu masa saya reda dan serah semuanya kepada Allah.

"Bukan tak nak usaha tapi saya pasti Allah sedang menyiapkan yang terbaik dan sesuai dengan keperluan saya. Dia hantar jodoh saya di waktu yang tepat, di mana saya telah reda dengan seikhlas hati," tambah penjawat awam itu.

Wani syukur dipertemukan jodoh.

Jelas Wani lagi, dia sering menaiki penerbangan demi tuntutan tugas dan minat mengembara tetapi tidak pernah menyangka dipertemukan jodoh dengan kru kabin.

Bagaimanapun, wanita ini sering menghargai kru-kru kabin menerusi 'token of love', satu bentuk penghargaan dan penghormatan seperti mesej dan ucapan kepada mereka yang bertugas di awan biru sejak tragedi pesawat MH370 dan MH17 pada 2014.

"Inisiatif saya sebagai penghargaan kepada semua kru yang bekerja keras di awan biru untuk memastikan keselamatan penumpang.

"Macam tak percaya berjodoh dengan seorang kru kabin yang selama ini saya beri 'token of love' dan Allah kembalikan 'love' kepada saya melalui seseorang dalam kalangan mereka," katanya lagi.

Wani kini bahagia bergelar isteri.

Berbulan madu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Krabi, Thailand, kata Wani, dia sentiasa percaya pada takdir Allah.

"Usaha macam mana pun, lama mana pun jika Allah berkata tidak, maka tidaklah ia dan begitu juga sebaliknya. Percaya kepada kun fa ya kun Allah.

"Kepada wanita di luar sana, saya nak pesan, usaha jangan over. Kalau seseorang lelaki tu memang nak dekat kita, dia akan usaha lebih.

"Usaha sekadarnya dan serahkan yang lebih kepada Allah, Dia lebih arif. Jika belum sampai jodoh lagi, percayalah Dia sedang groom yang terbaik untuk kita... insyaAllah ada bahagia menanti," kata Wani.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain