suria

Pengantin baharu terkandas di KLIA, rancangan bulan madu ke Turkiye musnah... Gigit jari rugi RM16,000!

Pengantin baharu tidak dapat bercuti bulan madu ke Turkiye gara-gara masalah pasport basah.

SETIAP pasangan yang baharu berkahwin pasti teruja untuk menikmati bulan madu.

Namun hasrat bagi satu pasangan ini untuk berbulan madu di luar negara tidak kesampaian gara-gara masalah pasport basah.

Baru lebih sebulan bernikah pada 4 November lalu, Muhammad Fikry Azman tidak menyangka hal itu menjadi episod hitam buat dia dan isteri, Nur Amira Fatin Norazmi.

Fikry dan isteri ketika berada di KLIA.

Berkongsi cerita kepada mStar, pengantin berusia 29 tahun itu berkata, mereka sepatutnya mengikuti rombongan ke Turkiye yang diuruskan satu agensi pengembaraan pada pagi Ahad lalu.

Menurut Fikry, dia yang bertugas di Singapura masih bekerja pada Sabtu dan merancang untuk menginap di sebuah hotel di Sepang, Selangor sebelum pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pada Sabtu lalu saya kerja sampai ke petang. Dalam perjalanan balik ke rumah sewa di Gelang Patah di Johor, hujan lebat sangat ketika keluar dari Singapura.

“Beg pula tak kalis air dan pasport pula tak ada cover. Setibanya di rumah, saya tengok 80 peratus pasport dah basah,” katanya kepada mStar.

Sewaktu beratur untuk daftar masuk.

Fikry yang bekerja sebagai pekerja pembersihan itu mengakui dia dan isteri dalam keadaan tergesa-gesa dalam membuat persiapan akhir sebelum bertolak ke Sepang.

“Masa tu tak fikir nak keringkan dulu, sebab ada barang-barang nak beli dan tukar duit. Malam tu kami bertolak dan saya memandu sampai di Sepang kira-kira pukul 1 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak bercuti ke Kazakhstan, dapat pergi Jerman ‘free’ tapi tanpa bagasi! ‘Ditendang’ dari China gara-gara degil

ARTKEL BERKAITAN: Impian ke Korea musnah! Gadis terkandas di airport gara-gara tak bawa pasport lama... Akur duit belanja buat majlis kahwin

“Esok pagi di KLIA masa tour guide minta pasport untuk urusan daftar masuk, baru sedar pasport masih belum dikeringkan. Isteri pula tak ada pengering rambut,” katanya yang panik dan bergegas ke tandas di KLIA untuk mengeringkan dokumen perjalanannya itu.

Bekerja selama lebih tiga tahun di Republik itu, dia bagaimanapun akur apabila dimaklumkan bahawa keadaan pasport miliknya itu dianggap sebagai sebagai pasport rosak yang tidak mengikut piawaian dalam pemeriksaan imigresen.

“Kebimbangan nanti jika lepas pun, kemungkinan akan ada masalah apabila sampai di Turkiye. Jadi, saya terpaksa akur tak dapat menaiki penerbangan.

“Jujurnya, masa tahu tak dapat pergi tu saya menangis di KLIA sebab percutian bulan madu ni sudah dirancang sejak awal lagi sebelum kami kahwin,” ujarnya yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan.

Fikry reda tidak dapat meneruskan perjalanan ke Turkiye.

Menurut Fikry, percutian ke Turkiye selama sembilan hari dan tujuh malam ke tempat-tempat menarik seperti Istanbul, Cappadocia, Pamukkale dan Bursa menjadi pilihannya bersama isteri berikutan ia begitu popular sebagai destinasi popular untuk berbulan madu.

“Hari jadi saya dan isteri pula dekat-dekat iaitu 22 dan 23 Disember. Ingatkan nak honeymoon dan raikan birthday sekali. Tapi saya reda sebab memang salah saya pun.

Kami tetap mahu ke Turkiye sekiranya ada rezeki nanti.

MUHAMMAD FIKRY AZMAN

“Saya tanya isteri, kenapa tak pergi je dulu tanpa saya? Dia kata biarlah kami pergi sebagai pasangan untuk bulan madu. Kalau saya nak renew pasport mengambil masa dan mengganggu perjalanan,” tambahnya.

Menurut laman web Jabatan Imigresen, kelulusan permohonan gantian pasport yang hilang atau rosak bergantung kepada keputusan Ketua Pengarah Imigresen dan tempoh keputusan siasatan dimaklumkan dalam tempoh lima hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima.

Fikry (kanan) dan isteri tetap merancang untuk berbulan madu ke Turkiye.

Mengakui kesilapan sendiri, Fikry dan isteri mengalami kerugian berjumlah RM16,000 termasuk pembelian barang-barang untuk ke Turkiye dan kesemuanya tiada bayaran balik.

Mengenai perkongsian kisahnya di laman sosial, Fikry berharap ia dijadikan pengajaran kepada semua mengenai kepentingan pasport sebagai dokumen perjalanan dan membuat persiapan lengkap untuk ke luar negara.

“Sebenarnya kalau nak beli barang-barang macam baju atau kasut itu hal kedua. Paling diutamakan adalah pasport dan pastikan ia dalam keadaan baik.

“Kami reda bukan rezeki untuk berbulan madu kali ini. Tapi kami tetap mahu ke Turkiye bersama dan insyaAllah ke sana tahun depan sekiranya ada rezeki nanti,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain