SETIAP kejadian yang berlaku sama ada baik atau buruk pasti ada hikmahnya. Begitu juga halnya dengan seorang jejaka yang pernah tular kerana menjual semua barang hantaran setelah putus tunang. Kini selepas lebih setahun berlalu, pemuda bernama Mirzan Johor dipertemukan dengan suri hati dalam hidupnya hingga akhirnya melangsungkan pernikahan pada 11 November lalu. “Alhamdulillah. Allah Maha Baik, sebaik-baik Perancang. Kami diijabkabulkan dengan sekali lafaz,” katanya kepada mStar ketika dihubungi. Dengan sekali lafaz, Mirzan sah bergelar suami. Selepas insiden yang berlaku pada tahun lalu, pemuda berusia 25 tahun ini nekad untuk menubuhkan satu syarikat baharu yang menjual beg tangan mewah dan berjenama ‘preloved’. Menurutnya, keputusan itu dibuat rentetan daripada tulisannya di laman X mengenai kisah putus tunang dan mahu menjual barang-barang hantarannya. “Niat saya hanya untuk jual barang-barang hantaran. Alhamdulillah, sambutannya sangat cepat. Saya seorang ahli perniagaan, jadi saya ni adalah opportunist. Saya nampak peluang, saya akan rebut peluang tu. “Daripada jual barang hantaran, saya terbuka hati dan ada idea untuk tubuhkan satu syarikat baharu dan saya mula buat content di media sosial,” ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur. Mirzan mengenali isterinya pada awal tahun ini. Mengulas lanjut, Mirzan berkata dia kemudian berangkat ke Tanah Suci pada Januari lalu untuk mengerjakan umrah bersama keluarga. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini nak jual hantaran, ‘healing’ tak jadi kahwin... Beg Dior harga RM22,500 pun ada! Tapi terkejut ramai DM nak jadi pengganti ARTIKEL BERKAITAN: Dating 2 hari dengan ketua pramugara, terus diajak kahwin! Dulu sering beri 'Token of Love' untuk kru di awan biru “Sepanjang saya buat umrah, ada team yang uruskan jualan. Saya pesan kepada team, sesiapa saja di sekitar Lembah Klang yang beli barang-barang, saya akan hantar sendiri. “Di hadapan Kaabah, saya berdoa sekuat-kuatnya memohon kepada Allah yang saya nak pasangan, nak kahwin pada tahun ini. Saya berdoa berikanlah yang terbaik dan berikanlah ibu seorang menantu,” jelasnya. Mirzan bergelar suami pada usia 25 tahun. Sejurus pulang dari Tanah Suci, Mirzan dimaklumkan oleh pasukannya mengenai tempahan daripada seorang pelanggan dan memerlukan penghantaran segera. “Sampai je Malaysia, malam tu juga saya pergi hantar barang dan jumpa pelanggan tu... iaitu isteri saya. Jadi, dia adalah pelanggan pertama saya... kemudian saya beritahu pada team, saya nak kenal dengan dia sebab dah rasa suka dia masa tu. Saya sentiasa nak settle down kalau bercinta sebab niat saya bukan untuk mempermainkan. MIRZAN JOHOR “Masa berdoa di Kaabah, saya sebut ciri-ciri isteri yang saya nak... pandai mengaji, matang, bertanggungjawab, pandai masak, ada kerjaya sendiri dan memahami tugas saya. Semuanya ada pada isteri saya, Alhamdulillah,” katanya yang menghantar rombongan merisik pada Ogos lalu. Untuk rekod, kisah Mirzan pernah disiarkan di mStar pada Disember 2022 mengenai keputusannya menjual semua barang hantaran selepas putus tunang menjelang 32 hari berlangsungnya majlis pernikahan. Antara barang hantaran. Barang hantaran yang dijual berjenama mewah termasuk beg tangan, dompet, set kosmetik hingga ke cermin mata dengan keseluruhan bernilai puluhan ribu ringgit. Melangkah ke hadapan, anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, manusia tidak lari daripada kekurangan dan kesilapan, namun jangan berhenti berusaha dan bertawakal serta sentiasa berdoa. Mirzan bersyukur doanya di hadapan Kaabah untuk berkahwin pada 2023 dimakbulkan. “Saya sentiasa nak settle down kalau bercinta sebab niat saya bukan untuk mempermainkan. Selepas saya menilai pasangan, saya minta izin dengan kedua ibu bapanya untuk keluarga saya datang merisik. “Nasihat saya apabila bercinta, banyakkan bertanya soalan yang tepat. Uji kematangan, tanya apa yang dia suka dan tak suka pasal kita serta apa yang dia harapkan. Dengan tiga soalan ni, boleh dapat jawapan sama ada pasangan kita tu relevan dan ready atau tidak. “Apabila kita nak cari pasangan berkualiti, perlu tanya soalan yang berkualiti. Tak salah untuk kita tanya, kita ada hak untuk menentukan siapa pasangan hidup kita. Berkahwin adalah ibadah paling lama,” katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube