TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Gara-gara keterlanjurannya yang didakwa menghina bangsa Melayu bersikap pemalas, usahawan Mariyah Yaakob atau Makcik Kemboja menjadi antara insan yang paling 'dibenci' oleh netizen sepanjang tahun lalu. Mahu membuka lembaran baharu sempena kehadiran 2024, pemilik syarikat jahitan pukal Mariyah Holdings Sdn Bhd itu berkata dia menganggap kontroversi berkenaan sebagai iktibar buat dirinya. Mariyah berharap tahun 2024 membawa sinar buat hidupnya. Menerusi bingkisan video sempena tahun baharu, Mariyah berkata dia tidak mahu kejadian itu terus menghantui dirinya, sebaliknya mahu fokus ke arah masa depan yang lebih baik. "Hari Isnin dah menuju ke tahun 2024. Masa lampau adalah kenangan, jadikan ia kenangan, sebagai iktibar bukan keluhan. Jangan biarkan masa lepas merantai anda semua untuk bergerak ke hadapan. "Maafkan apa yang lepas, kemudian pelihara peluang ke hadapan, tutuplah tirai 2023 dengan kenangan yang penuh indah," ujar Mariyah buat setengah juta pengikutnya di TikTok. Belajarlah mencintai takdir, apa yang Allah telah tentukan takdir hidup kita, supaya hidup dengan lebih positif. MARIYAH YAAKOB Menurut Mariyah lagi, dia juga mahu menjalani hidup dengan positif dan berharap tahun 2024 membawa banyak sinar buat dirinya. "Belajarlah mencintai takdir, apa yang Allah telah tentukan takdir hidup kita, supaya hidup dengan lebih positif, kerana dunia ini untuk diuruskan, bukan untuk dirunsingkan. "Semoga di tahun 2024 lebih banyak lagi sinar. Okay bye, jumpa di tahun 2024," ujar Mariyah yang memakai pakaian berona merah sedondon dengan tudungnya. ARTIKEL BERKAITAN: Makcik Kemboja tak boleh tidur simpati anak terheret dalam kontroversi... Tapi terharu peminat datang peluk di mahkamah ARTIKEL BERKAITAN: Makcik Kemboja berbaju merah ke mahkamah, tangan digari... Dua beranak mengaku tak bersalah kes hina Melayu Video yang dikongsi oleh Mariyah menerusi aplikasi TikTok itu meraih lebih 100,000 tontonan. Menerusi satu lagi video berasingan, Mariyah turut berkongsi rakaman sebalik tabir sesi photoshoot di sebuah studio ketika dia memperagakan koleksi pakaian terbaharu keluaran syarikatnya. "Memperkenalkan, antara koleksi terbaru menjelang tahun 2024, Adelina Suit. Koleksi pant dan suit pertama buat 2024 daripada madam, seperti Darleena Suit, tetapi dengan sentuhan yang baharu. "Anda boleh dapatkan semasa sesi live madam okay," ujar Mariyah menerusi kapsyen video. Mariyah ketika dihadapkan ke mahkamah pada 7 Disember tahun lalu. Untuk rekod, Mariyah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia pada 27 November 2023 gara-gara menggelar kaum Melayu sebagai golongan yang malas. Pada 7 Disember tahun lalu, dia dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum. Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Mahkamah Ayer Keroh, Melaka membenarkan Mariyah dijamin sebanyak RM15,000 dan menetapkan tarikh 12 Januari sebagai sebutan semula kes. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube