SEBUT sahaja mengenai kos barangan untuk hantaran perkahwinan, sekurang-kurangnya ratusan atau ribuan ringgit perlu diperuntukkan. Bagaimanapun, Siti Masnida Abdul Malek, 34 atau lebih senang disapa Nida mengambil langkah berbeza apabila pengantin ini memilih barangan dapur yang lebih murah harganya untuk dijadikan hantaran. Bercerita kepada mStar Nida berkata, dia telah membelanjakan sebanyak RM50 untuk mengisi tujuh dulang hantaran kepada pengantin lelaki. Menjadikan perkahwinan ini lebih menarik apabila pihak pengantin lelaki yang membalas dengan lima dulang turut memberi barangan dapur, bermodalkan RM85. Nida dan suami saling berbalas hantaran barang dapur. "Keputusan untuk buat konsep barang dapur sebagai hantaran ni adalah persetujuan bersama dengan suami. "Memandangkan saya ni jenis suka memasak jadi kami pilih untuk guna barangan kering saja sebab mudah dan tidak membazir. "Kami bukan tak mahu ikut kebiasaan dengan meletakkan barang peribadi jauh lebih mahal, tapi kami sudah ada semuanya," jelasnya. Menurut Nida lagi, majlis perkahwinan dia dan suami, Yusri, 35, juga berlangsung sederhana dan hanya dilakukan sekali sahaja di kediamannya di Manchis, Bentong, Pahang. ARTIKEL BERKAITAN: Tak nak berhutang, kos kahwin pasangan ini hanya RM2,000... tanpa songket atau lace tetap terserlah seri pengantin! - "Mak ayah sanggup turunkan harga hantaran" ARTIKEL BERKAITAN: Disangka event bajet, pengantin dedah untung resepsi ala hi-tea - “Terkejut rombongan suami dari Felda suka, mereka seronok dapat makan cup cake” Seperti yang dimuat naik di TikTok, Nida menunjukkan dulang hantaran yang diisi dengan bawang, kentang, bunga kantan, halia, kunyit, lengkuas dan limau nipis serta dulang lain yang mengandungi set kicap, kerisik dan serbuk kari. Selain itu terdapat juga dulang yang diletakkan sardin, asam jawa dan teh hijau, santan serta rempah ratus, minyak dan tepung, Malah, bagi menjimatkan kos, Nida tidak mengupah jurusolek atau jurufoto profesional untuk hari bahagianya yang berlangsung pada 31 Disember lalu. "Kami hanya buat majlis persandingan sekali saja. Tapi pihak suami tambah belanja untuk barang mentah kenduri kami. Termasuklah barang hantaran kami beli sekali dan bahagi-bahagikannya. "Banyak kelebihan bila buat macam ni dari segi mengurangkan kos... hantaran dan pelamin buat sendiri. Menu makanan pun dapat macam-macam bila buat secara rewang oleh penduduk dan keluarga. Pada mulanya agak pelik untuk diterima pihak keluarga baik belah lelaki dan perempuan. SITI MASNIDA "Mekap dan jurufoto pun daripada kalangan kawan-kawan sendiri. Untung bila ada kawan-kawan yang guna telefon mahal ambilkan gambar-gambar sekitar majlis kami. Semua sekali berjumlah sekitar RM5,000 sahaja dihabiskan untuk majlis," imbasnya lagi. Dia yang mengusahakan bisnes keropok lekor bersama suami berkata, baju Melayu dan baju kurung pengantin berona putih dibeli daripada sebuah butik tempatan pada harga kurang dari RM600. Bercerita lanjut mengenai konsep hantaran dan penjimatan kos, Nida mengakui keputusan tersebut agak sukar untuk diterima keluarga kedua-dua belah pihak. Bagaimanapun, selepas dia dan suami memberikan penjelasan tentang kehidupan selepas berkahwin yang memerlukan lebih banyak perbelanjaan, rata-rata ahli keluarga bersetuju dengan apa yang mereka lakukan. Nida mengadakan majlis kahwin di rumah dengan tujuh dulang hantaran berbalas lima. "Pada mulanya agak pelik untuk diterima pihak keluarga baik belah lelaki dan perempuan. Tapi bila diberi penerangan barulah mereka menerima dengan baik. Saya tahu ada juga yang mengata tapi cuma pekakkan telinga saja. "Duit lebihan ni kami boleh simpan untuk kecemasan. Kami pun baru saja balik berbulan madu di Sabah. Senang hati kami bercuti dan Alhamdulillah masih ada duit dan menyimpan. Lagi penting kami tidak berhutang. "Nasihat saya bagi mereka yang terinspirasi tapi takut nak ikut idea kami... kena nekad sikit. Melawan arus ni, hati kena kering. Ubah mentaliti yang mengatakan kerja kahwin perlukan belanja besar sedangkan banyak kos boleh kita kurangkan," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube