suria

Perjalanan akhir kucing kesayangan... Wanita cuba suap makanan kegemaran tapi tiada respons - “Badan Lilo sudah keras”

Amel berasa sedih dengan kematian Lilo yang dipelihara sejak tiga tahun lalu.

PERKONGSIAN seorang wanita di TikTok tentang kucing kesayangan yang diberi nama Lilo sedang nazak mengundang sebak orang ramai khususnya pencinta si bulus.

Menurut Nuramalina Razak, kucing baka British Short Hair itu mula mengalami sakit sejak kira-kira tiga bulan lalu namun doktor gagal mengenal pasti penyakit sebenar yang dihidapi haiwan terbabit.

Ketika dihubungi mStar, dia yang lebih senang disapa Amel berkata si bulus yang berusia 10 tahun itu sudah dijaganya sejak tiga tahun lalu.

"Saya dah lama jaga Lilo ni. Dulu selepas tuan Lilo balik kampung disebabkan PKP, ia terbiar dan tak sihat jadi saya pun ambil bela. Masa tu berat bawah 1.5 kilogram (kg).

"Sejak saya pelihara, berat Lilo naik sehingga lebih 4kg. Lilo memang kucing yang sihat saja sejak saya bela tapi kebelakangan ni dia semakin kurus. Saya pun bawa dia berjumpa dengan doktor.

"Seminggu lepas jumpa doktor ia sihat je tapi tak lama lepas tu dah tak aktif macam selalu. Tak lama lepas tu Lilo mati. Doktor syak terkena penyakit parvo (canine parvovirus)," ujarnya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis, 3 hari hilang kucing ditemui mati dalam kereta! Pemilik dedah kronologi pembunuhan kejam, diseksa dahulu sebelum hantar pulang

ARTIKEL BERKAITAN: Air mata abah tumpah di pusara, pedih kematian kucing kesayangan... Momen relaikan tanah halus-halus paling sentuh perasaan

Ujar Amel, dia tidak menyangka kucing jantan kesayangannya itu 'pergi' meninggalkannya begitu cepat.

Mengulas mengenai momen meruntun jiwa seperti yang dikongsikan di TikTok, Amel berkata pada ketika itu dia berada dalam fasa penafian dan sukar menerima hakikat kucingnya sedang nazak.

Seakan-akan tidak percaya dengan apa yang berlaku, Amel tetap cuba menggembirakan kucing itu dengan memberi makanan.

Lilo jatuh sakit secara mendadak selama seminggu sebelum kematiannya.

"Masa rakam video tu, badan Lilo sudah keras. Lilo tenung saja. Respons pun pakai ekor je. Waktu ni pergi beli makanan (snek) kucing sebab Lilo suka sangat dengan harapan ia nak makan.

"Apabila nampak jajan tu Lilo cuba bangun. Tapi ia jatuh terbaring semula. Kita pun suap sikit. Calit di mulut bagi rasa. Sedih sangat waktu ni.

"Sedih sebab kita tahu Lilo suka sangat makanan tu. Berjurai air mata apabila tengok Lilo tak mampu pun nak gerakkan lidah," katanya.

Akhirnya Lilo pergi buat selama lamanya pada 31 Disember tahun lalu.

Berjurai air mata apabila tengok Lilo tak mampu pun nak gerakkan lidah.

NURAMALINA

Tambah Amel yang menetap di Jelebu, Negeri Sembilan, Lilo merupakan kucing paling manja pernah dimiliki selain kucing baka Parsi, Qaseh.

"Lilo seekor kucing yang sangat baik. Kalau saya tertidur dekat mana-mana, ia akan berjalan perlahan saja supaya saya tak terjaga. Bayangkan kalau kucing jalan slowmo (berjalan perlahan).

"Saya sayangkan Lilo sangat sebab ia tak pernah kasari saya. Lilo tak mencakar, tak pernah main kasar-kasar dan suara pun lembut je. Lilo kucing paling baik saya pernah ada," ujarnya lagi.

Lilo (kanan) dan Qaseh (kiri) merupakan kucing milik Amel.

Dalam pada itu, Amel turut memberikan pesanan kepada pemilik kucing berdasarkan pengalamannya selepas apa yang terjadi kepada Lilo.

"Kalau nampak kucing tak sihat, terus bawa ke veterinar. Tapi jangan bergantung pada ubat sepenuhnya.

"Cuba guna alternatif lain seperti air kelapa, rebusan air rumput helikopter dan lain-lain. Yang penting kena vaksin secukupnya," ujarnya menitipkan pesanan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain