suria

Isteri mohon sepapan telur, suami penganggur suruh ‘cancel’ sebab malu foto tersebar! Aktivis perjelas syarat ambil gambar pemohon

Bantuan telur menjadi persoalan seorang suami. -Gambar hiasan

HIDUP menganggur, kehidupan keluarga pula susah sehingga isteri dan anak-anak tiada makanan untuk dimakan.

Mujur si isteri berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada aktivis masyarakat menerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang sering membantu keluarga miskin, asnaf dan memerlukan.

Namun syarat yang dikenakan oleh aktivis Syed Azmi Alhabshi untuk berkongsi gambar pemohon sekeluarga di media sosial sebagai penerima bantuan nampaknya tidak dipersetujui suami pemohon.

“Tak setuju, terima kasih. Tadi saya minta izin dengan suami untuk mohon sumbangan telur ni, tapi dia cakap nanti orang hantar telur ambil gambar lepas tu tersebar.

“Saya cakap sebab macam tu je malu, sedangkan dia kerja pun tak ada, masih ‘tanam anggur’ (menganggur). Saya tahu barang dapur habis, sampai telur pun tak ada dalam peti aias. Kadang-kadang ikan pun minta ibu mentua bila dah tak duit.

“Saya cakap kalau awak malu, biar saya je yang mohon. Gambar saya pun tak apa, awak jangan ambil kisah susah saya tau bila tak ada makanan. Sekurang-kurangnya telur pun, saya kasihan kat anak-anak. Berdosa kan saya tuan,” kata wanita itu kepada Syed Azmi menerusi WhatsApp, yang kemudian dimuat naik di Facebook.

Tangkap layar mesej yang dihantar oleh seorang pemohon bantuan.

Bagaimanapun, Syed Azmi tetap membantu keluarga itu dengan memberikan bantuan wang untuk membeli sepapan telur.

“Kadang-kala bila isteri, suri rumah yang masak untuk sekeluarga tahu bajet tak cukup tapi suami enggan benarkan minta bantuan, kasihan kita tengok.

“Permohonan telur sepapan ni saya buat sebab dapat bantu dengan syarat (kongsi gambar) yang tak seketat bantuan kewangan. Jadi ini satu lagi pilihan mereka. Harap ini membantu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penerima bantuan ‘disiasat’ aktivis... Beli banyak ‘jajan’, beras tak pula dibeli - “Anak saya nangis berguling-guling”

ARTIKEL BERKAITAN: Aktivis tegaskan siar gambar pemohon, copy paste kata-kata mereka lebih beri kesan – “Yang maki permohonan dibatal saya maafkan”

Mengulas mengenai perkara itu, Syed Azmi berkata, adalah lebih mudah sekiranya dia turun padang dan berjumpa sendiri dengan keluarga berkenaan justeru gambar muka keluarga pemohon tidak perlu diambil.

“Tapi disebabkan susah untuk saya turun jumpa pemohon dan keluarga mereka di rumah, maka maklumat seperti gambar, nama, nombor telefon dan alamat mungkin akan dipamerkan di Facebook agar masyarakat yang berdekatan boleh datang bantu beri barang.

“Jadi tolong berlaku jujur. Kalau memang susah dan memerlukan pertolongan, jangan segan. Tapi ia bergantung pada saya,” katanya kepada mStar.

Seorang wanita meluahkan kesusahan keluarganya. -Gambar hiasan

Selain gambar sekeluarga, Syed Azmi berkata, pemohon juga diminta berkongsi gambar keadaan di dalam rumah seperti dapur, ruang tamu dan bilik air serta tempat belajar anak.

“Jangan lupa minta izin dulu pasal gambar. Bila sudah dapat duit bantuan, jangan lupa tangkap gambar barang yang dibeli serta resit dan WhatsApp pada saya.

“Jadi gambar (syarat) itu hanya mereka yang mohon melalui WhatsApp pada saya dan bukannya saya yang minta mereka mohon. Dari sini kalau setuju, teruskan dan kalau tak setuju, tak apa.

“Pilihan di tangan mereka. Ini sebab mereka akan dapat wang bantuan, jadi kenalah maklumat itu biar telus sikit,” tegasnya.

Kalau memang susah dan memerlukan pertolongan, jangan segan.

SYED AZMI ALHABSHI

AKTIVIS MASYARAKAT

Mengenai bantuan telur itu, Syed Azmi berkata, pemohon adalah suri rumah berusia bawah 35 tahun dan ibu kepada dua anak di mana salah seorangnya merupakan murid tahun dua.

“Biasanya untuk bantuan sepapan telur, saya tak cerewet sangat sebab penceritaan akan menentukan sendiri. Yang saya cari ialah mereka yang kerja keras tapi masih tersepit. Biasanya ada anak kecil pun okay dah,” jelasnya.

Menurutnya, telur adalah makanan murah tetap fleksibel kerana boleh digunakan untuk memasak bermacam hidangan.

“Kami tawar bantuan telur sepapan gred A 30 biji buat pemohon dengan syarat yang rendah berbanding biasa. Memang ramai bersyukur dan boleh membantu bajet dapur paling lama pun 10 sehingga 15 hari dengan sepapan telur sahaja. Kami gembira dapat bantu,” katanya.

Seorang peniaga menyusun telur untuk dijual. -Gambar hiasan The Star

Jelasnya, penceritaan pemohon kemudian membuatkan masyarakat yang membaca hantaran tersebut mahu membantu mereka sama ada sumbangan berupa wang atau barang dapur.

Ditanya mengenai sikap suami pemohon, Syed Azmi berkata, perkara itu hanyalah masalah jangkaan dan komunikasi.

“Biasanya saya terangkan semula syarat-syarat. Dan sebab bantuan telur ni tak ada apa-apa yang mengaibkan dan mudah saya akan suruh juga mereka untuk mohon.

“Ramai nak bagi nasihat tapi kita hanya dengar daripada sebelah pihak sahaja. Jadi tak berapa adil tanpa pihak suami kalau kita nak beri nasihat.

“Tapi bila dia (isteri) gembira dapat bantuan, diharap dapat terangkan kepada suami sebab suami pasti makan juga. Harap masyarakat dapat mendoakan yang baik-baik buat keluarga ini termasuk keluarga susah yang lain,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain