suria

Bayi hilang mata kanan, derita kanser sejak usia 9 bulan... Ibu kagum si comel kuat lalui 5 kitaran kemoterapi

Frederica berkongsi tentang keadaan anaknya menerusi TikTok.

BARU berusia setahun, namun bayi lelaki dari Kota Kinabalu, Sabah ini sudah berdepan ujian yang cukup berat dalam hidupnya.

Selepas didiagnos menghidap kanser mata pada usia sembilan bulan, Fydrell Ceran akhirnya terpaksa menjalani pembedahan penting pada 7 Februari lalu.

Menurut ibunya, Frederica Marinus, 36, pembedahan itu menyebabkan Fydrell kehilangan mata kanan, namun dia tak putus harapan untuk melihat si cilik itu sembuh sepenuhnya suatu hari nanti.

bayi2

Si cilik ini didiagnos menghidap kanser ketika berusia sembilan bulan.

"Mata sebelah kanan baru saja dibuang. Ia perlu dibuang kerana tak boleh diselamatkan lagi. Sekarang tinggal sebelah saja matanya. Doktor cakap mata belah kiri masih boleh dirawat.

"Harap sel-sel kanser mata kiri tu tak aktif lagi nanti. Harapnya anak saya cepat sembuh dan membesar dengan sihat seperti anak-anak yang lain," ujar ibu kepada empat cahaya mata itu kepada mStar.

Menurut Frederica yang juga seorang jururawat, dia berdepan banyak cabaran memandangkan anak bongsunya itu memerlukan penjagaan khusus, berbeza dengan kanak-kanak lain.

Hingga kini Fydrell sudah menjalani lima daripada enam kitaran kemoterapi.

FREDERICA MARINUS

Namun katanya, dia bangga melihat anaknya kuat melawan penyakit meskipun terpaksa menjalani pelbagai rawatan yang cukup memeritkan.

"Salah satu cabaran sebab saya bekerja. Saya akan ambil cuti untuk jaga anak semasa dalam rawatan di hospital Lepas tu kesihatan kena jaga betul-betul. Tak boleh bawa keluar ke tempat ramai orang. Pemakanan anak pun kena jaga sebab tahap imun dia sangat rendah.

"So far anak saya tak banyak kerenah. Cuma dia takut jumpa orang, mungkin trauma asyik kena cucuk jarum ambil darah. Jadi dia fikir orang lain juga adalah doktor atau jururawat yang nak ambil darah. Tapi dia memang anak yang kuat. Mungkin dia belum faham yang dia sakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tak kongsi foto anak bermata unik baru lahir, ramai minta nak tengok! Dah tunjuk, bayi disamakan alien, jadi bahan lawak

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi usia sebulan kerap sesak nafas, wajah berubah kebiruan... Ibu reda anak hidap Sindrom Patau pergi dulu, video TikTok jadi kenangan

"Sekarang ni syukur dia sihat macam kanak-kanak lain, walaupun masih dalam rawatan kemoterapi. Tetapi dia aktif dan tidak kelihatan seperti sedang sakit. Memang dia kuat melawan penyakitnya," ujarnya.

Hingga kini Fydrell sudah menjalani lima daripada enam kitaran kemoterapi.

Frederica berkata pada awalnya sukar untuk dia menerima ujian berat itu, namun sokongan insan sekeliling banyak membantu dia untuk terus cekal berdepan hari-hari mendatang.

"Mula-mula doktor ingatkan congenital glaucoma (penyakit yang boleh menyebabkan buta) tapi rupa-rupanya disahkan kanser mata lepas buat imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI).

"Mula-mula tu tak boleh terima kenyataan, kenapa terjadi kepada anak saya? Tapi saya syukur keluarga dan kawan-kawan banyak bagi sokongan emosi," ujarnya.

bayi3

Ramai netizen mendoakan agar bayi ini diberi kesembuhan segera.

Selain sokongan insan sekeliling, Frederica turut menzahirkan rasa syukur apabila dia menerima kata-kata semangat daripada netizen selepas berkongsi perihal anaknya melalui TikTok.

"Saya share untuk tontonan sendiri, tapi tak sangka pula boleh menjadi perhatian ramai. Terima kasih kepada mereka semua yang mendoakan anak saya.

"Ada juga yang beri macam-macam cadangan, tapi saya tak pernah terfikir untuk mengambil rawatan tradisional. Saya hanya ikut rawatan yang disarankan doktor.

"Buat ibu-ibu yang berdepan nasib sama, saya harap mereka ikut nasihat doktor. Jangan lengahkan rawatan dan harus kuat semangat. Kadang kita down, tapi kita harus bangkit semula," pesannya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain