suria

Hubungan putus 7 hari sebelum nikah! ‘Pengantin tak jadi’ rasa bersalah rakan-rakan ambil cuti, tawar bayar ganti rugi

Seorang lelaki akur bakal isteri membatalkan pernikahan pada saat akhir. -Gambar hiasan

HAJAT seorang lelaki untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita dicintai musnah apabila pasangannya itu membatalkan pernikahan pada saat akhir.

Dalam satu hantaran yang dibuat di TikTok, pemuda yang enggan mendedahkan identiti dirinya itu mengumumkan pembatalan majlis pernikahan yang sepatutnya berlangsung pada 24 Februari ini.

Hanya dikenali dengan nama Faris, dia akur dan menghormati keputusan mengejut dibuat wanita itu walaupun mereka berdua sudah lama saling mengenali.

Bakal pengantin perempuan memilih untuk membatalkan pernikahan. -Gambar hiasan

"Dia minta putus tapi dia tak bagi alasan yang kukuh. Tiba-tiba cakap tak nak teruskan perkahwinan ini. Saya cuba pujuk dengan bersemuka tapi dia tetap dengan keputusan dibuat.

"Bukan hanya saya tapi kedua-dua belah famili juga masih terkejut. Pihak keluarga dia sangat kecewa dan terkejut dengan keputusan dibuat tujuh hari sebelum kami akad nikah.

"Saya terpaksa buat posting macam tu dekat TikTok untuk beritahu apa yang berlaku. Pada mulanya memang malu tapi... bila difikirkan lama-lama nanti orang tahu juga kan. Jadi saya rasa patut uar-uarkan juga," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada plot twist? Pengantin lelaki ‘tersakiti’ tak jadi nikah dituduh psiko, tak boleh move on kisah 8 tahun lalu... Abang tampil nafi dakwaan

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita reda bergelar ‘pengantin tak jadi’! Bakal suami mesej tak mahu nikah 3 hari sebelum majlis, pujuk pun ‘tak jalan’

Selain itu, dia yang bekerja di firma guaman ini turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada tetamu yang telah dijemput terutama sekali para sahabatnya.

Dalam hantarannya, Faris juga dengan rela hati membuat tawaran untuk membayar ganti rugi kepada rakan-rakannya secara berperingkat.

Bagaimanapun, dia masih berkira-kira sama ada mahu menerima 'pampasan' kerugian yang ditawarkan keluarga pengantin perempuan walaupun mengambil masa lebih satu tahun mengumpul duit untuk berkahwin.

Kadang-kadang tempoh perkenalan yang lama tu pun tidak menjaminkan kebahagiaan.

FARIS

"Saya rasa bersalah dengan sahabat-sahabat yang dah minta cuti, tempah homestay dan sampai ada sponsor macam-macam. Tapi insya-Allah ada rezeki nanti saya ganti semula semuanya.

"Bukan kehendak saya namun saya reda. Mengenai kerugian itu juga, keluarga si dia ada bertanya tapi saya belum bagi jawapan lagi. Buat masa ni saya tak terkifir lagi fasal minta ganti rugi.

"Saya ada rasa simpati juga dengan famili dia yang turut menanggung malu," ujarnya yang turut memahami situasi dan emosi 'mentua tak jadi' itu.

Hantaran tersebut meraih pelbagai reaksi netizen yang sama-sama bersimpati dengan nasib malang menimpa Faris.

Setiap pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga diuji dengan pelbagai dugaan. -Gambar hiasan

Namun, bagi Faris dia menganggap segala yang berlaku ini adalah atas kehendak-Nya sekali gus membuatkan dia reda dengan takdir.

"Saya hanya mampu merancang tapi selebihnya Allah yang tentukan. Ini satu ujian terlalu berat bagi saya. Semoga Allah berikan kekuatan untuk saya tempuh semua ni.

"Kadang-kadang tempoh perkenalan yang lama tu pun tidak menjaminkan kebahagiaan. Macam saya, sudah tiga tahun kenali dia tapi begini pengakhirannya.

"Buat masa sekarang saya masih tak terfikir lagi untuk menerima orang lain dalam hidup saya. Mungkin masih trauma dengan apa yang berlaku," jelasnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain