suria

Terfikir tentang kematian dan urus jenazah, adik batal niat wakaf Proton Wira! Terus beri kepada abang sedang susah

Acied memberikan kereta miliknya kepada abang yang lebih memerlukan.

MEMBANTU ahli keluarga terdekat yang sedang susah atau berdepan masalah kewangan sangat dituntut dalam Islam.

Seperti yang dilakukan Acied Vtecturbo, dia membatalkan niat untuk mewakafkan sebuah kereta miliknya, sebaliknya kenderaan itu diberikan kepada abang sulung yang lebih memerlukan.

Dalam hantaran di Facebook yang tular, Acied yang merupakan anak bongsu daripada sembilan adik beradik menjelaskan sebab dia bertukar fikiran untuk mengumpul saham akhirat dan memilih mengutamakan abang kandungnya.

Proton Wira yang diberikan kepada abang sulung.

"Orang kata kalau nak bersedekah, tengok adik beradik dulu. Utamakan mereka dahulu. Adik beradik ni hubungannya ibarat air dicincang tak akan putus walaupun ada masa kita terasa hati, bermasam muka dan bergaduh.

"Jadi kereta Proton Wira saya ni pernah dibuat tawaran untuk berikan kepada ustaz, tahfiz atau badan kebajikan yang memerlukan hari tu. Jadi saya ambil keputusan nak bagi dekat abang sulung," katanya.

Acied berkata, terdetik rasa simpati apabila dia melihat abangnya menunggang motosikal bersama kakak ipar selama lebih dua jam dari rumahnya di Jitra ke Yan, Kedah bagi menghadiri perhimpunan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki menyesal berjiran dengan adik-beradik, akhirnya jual rumah gara-gara kakak ipar toksik! Kasihan isteri selalu disindir

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak tinggal awak kecuali ajal” - Janji tinggal janji, wanita dicerai selepas 7 bulan kahwin! Kini tumpang kasih adik yang dulu dibenci

"Balik kampung baru ni, masa perjumpaan keluarga tu dia datang naik motosikal. Dah ada kereta Proton Saga tapi dia cakap sudah uzur (usang). Lantai pun sudah bobos (tembus).

"Abang saya ni, dia pencen askar. Anak dia ada kereta tapi tadi penuh dengan anak-anak dia yang lain je (dalam kereta). Mereka (abang sulung dan isteri) naik motor. Jadi saya serahkan kereta kepada dia sajalah.

"Untuk pengetahuan, ini kereta kedua saya bagi dekat adik beradik. Beberapa bulan lepas saya bagi sebuah Wira dekat abang nombor tujuh," ujarnya lagi.

Menurut Acied, dia mempunyai sebab tersendiri mengapa memilih untuk membantu dua abangnya walaupun ada kalanya berlaku pertelingkahan atau salah faham sesama adik beradik.

Memberi contoh situasi kematian, Acied dalam hantaran sama membuat perbandingan hubungan di antara adik beradik dan rakan-rakan terdekat.

Adik beradik ni kalau bergaduh macam mana pun, bila kita mati, dia la yang balik uruskan jenazah kita.

ACIED VTECTURBO

Ujarnya, ahli keluarga merupakan orang yang akan menggalas tanggungjawab menguruskan jenazah apabila kita meninggal dunia kelak.

"Beberapa tahun kebelakangan ni saya terfikir. Adik beradik ni kalau bergaduh macam mana pun, bila kita mati, dia la yang balik uruskan jenazah kita. Walaupun tengah kerja pun, dia paksa ambil cuti. Jadi atas apa jua alasan pun, kita kena muliakan adik beradik dulu.

"Bila awak mati, kawan-kawan yang hari-hari dok komen dan like... paling tidak pun dia cuma komen 'al-Fatihah' saja. Tapi adik beradik awak la yang akan uruskan segalanya walaupun sebelum tu awak pernah bermasam muka atau bergaduh dengan mereka.

"Walaupun tak dinafikan kita (anak bongsu) paling sensitif dengan adik beradik ni. Cakap tak kena sikit kita terasa, tapi kawan-kawan maki hamun kita boleh ketawa," katanya mengakhiri hantaran tersebut.

Komen netizen pada hantaran asal.

Turut dikongsikan bersama adalah sekeping foto menunjukkan abangnya menunggang motosikal jenama Yamaha bersama isteri yang memeluk bungkusan dipercayai mengandungi pakaian dibawa pulang ke kampung.

Hantaran tersebut meraih pelbagai reaksi netizen yang rata-rata memuji tindakannya memuliakan ahli keluarga sendiri.

"Terbaik bang. Sifat dan perangai macam ni boleh dijadikan ikutan dan tauladan buat semua.

"Betul-betul Paksu (paggilan Acied). Kena dahulukan yang paling dekat dengan kita. Terutama sekali mak ayah dan adik beradik kita. Betul sangat dah tindakan Paksu tu," komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain