suria

“Doakan anak saya ni, rindu dia” - Cikgu sebak dikucup murid selepas terima anugerah, jadi tempat luah perasaan

Hubungan akrab Cikgu Faizul dan Farid terjalin sehingga kini.

GURU yang baik sering menjadi sumber inspirasi kepada para pelajarnya.

Malah tidak dinafikan ramai dalam kalangan murid lebih rapat dengan guru mereka berbanding kedua-dua orang tua atas pelbagai faktor.

Tidak kurang juga yang gemar berkongsi kegembiraan dengan para guru seperti dilakukan seorang remaja lelaki ini.

Menerusi tangkap layar hantaran Facebook yang tular, remaja tersebut dilihat memeluk dan mengucup pipi gurunya selepas menerima anugerah di sekolah.

Murid yang terlibat pasukan bola tampar akan dilatih dengan sebaiknya.

Murid yang terlibat pasukan bola tampar akan dilatih dengan sebaiknya.

Berdasarkan posting tersebut, guru terbabit turut menyatakan rasa terharu kerana menjadi tempat sandaran bagi anak muridnya itu.

"Berlinang air mata saya apabila dia datang peluk sambil beritahu dapat anugerah Tokoh Kokurikulum.

"Jauh daripada sudut hati dia, saya tahu dia mengharapkan mak dan ayahnya datang tapi dah tak ada sesiapa... jadi dia berlari ke arah saya," coretnya.

Senario yang berlaku itu membuatkan guru berkenaan turut menitiskan air mata kerana terharu dengan tingkah laku murid tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak ceria sebenarnya simpan kisah sedih, guru buka cerita kena kurung ibu sakit mental sebelum pergi sekolah

ARTIKEL BERKAITAN: Malu mak kirim agar-agar santan, murid sorok sebelah tong air! Mujur cikgu perasan, terus buka makan ramai-ramai

Tambahan pula, remaja tersebut dikenali sebagai budak nakal.

"Budak ni dulu nakal sangat tetapi saya ambil dia main bola tampar dan skipping. Lepas dapat jadi pengawas, perangai dia berubah sepenuhnya... jadi rajin tolong orang.

"Doakan anak saya ni, rindu pada dia. Sampai sekarang tak boleh lupa, susah dapat budak macam ni dan dia pernah tanya... cikgu kenapa saya tak pandai, tapi saya selalu solat Subuh di masjid.

"Rasa nak luruh hati ini, slow talk dengan dia... barulah dia faham dan hari ini Allah hadiahkan pelangi untuk insan cemerlang," tambahnya.

Gambar kenangan semasa menyertai pertandingan lompat tali kebangsaan.

Gambar kenangan semasa menyertai pertandingan lompat tali kebangsaan.

Coretan di Facebook pada 2018 itu dikongsikan semula cikgu Mohammad Faizul Yusof di TikTok menggunakan akaun @pjoiworld.

Cerita Faizul, murid tersebut yang dikenali sebagai Farid berjaya menerima Anugerah Tokok Kokurikulum 2018 sempena Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Bharu di Kuala Lumpur.

Katanya pada hari berkenaan ibu bapa Farid tidak dapat menghadiri majlis yang diadakan kerana mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.

Cikgu Faizul merupakan seorang jurulatih bola tampar.

Cikgu Faizul merupakan seorang jurulatih bola tampar.

Disebabkan itu, Farid mencarinya untuk meluahkan rasa gembira atas kejayaan yang diperoleh.

"Farid bersekolah di SK Kampong Bharu dan mula menyertai sukan lompat tali serta bola tampar daripada tahun 4 hingga tahun 6.

"Sepanjang penglibatan dalam kokurikulum, dia berjaya merangkul Johan Negeri 2018 dan Naib Johan kebangsaan 2018 bagi sukan lompat tali berirama.

"Bagi kategori bola tampar peringkat MSSD (Majlis Sukan Sekolah Daerah) pula, dia dan pasukan mendapat tempat ketiga," jelasnya ketika dihubungi mStar.

Menurut guru matematik serta pendidikan jasmani dan kesihatan itu lagi, hubungan akrabnya dengan Farid terjalin sejak murid tersebut berusia 10 tahun.

Terima kasih cikgu sebab sayang anak-anak di sekolah seperti anak sendiri.

WARGA MAYA

"Saya juga merupakan jurulatih bola tampar dan lompat tali dari tahun 2004, jadi saya berpeluang untuk melatih Farid sendiri.

"Tak sangka dia sangat berbakat dan berminat dalam sukan yang diceburi," tambahnya lagi.

Ujar Faizul lagi, sikap anak muridnya yang ceria, peramah dan mudah tersenyum membuatkan sesiapa sahaja mudah mesra dengannya.

Tambahan pula, Farid seorang yang ringan tulang dan gemar membantu guru-guru.

"Selepas tamat sekolah rendah, dia belajar di SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Padang Tembak.

Antara reaksi netizen di ruangan komen.

Antara reaksi netizen di ruangan komen.

"Penglibatan dalam kokurikulum berterusan sehingga dia berjaya memperoleh Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik bagi Pertandingan Teater peringkat WPKL (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2023," katanya yang kini mengajar di SK Danau Kota.

Bercerita lanjut, dia menyatakan hubungannya dengan Farid berterusan sehingga kini.

Malah, anak muridnya itu turut menghubunginya baru-baru ini dan meminta dia mendoakan kejayaan untuk menghadapi peperiksaan.

Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan warga maya memuji tindakan yang dilakukan oleh Faizul selaku guru.

"Cikgu adalah sumber inspirasi kita... saya dulu suka sangat cikgu matematik, hari-hari kalau boleh nak jumpa dia. Sudahnya saya dapat score subjek tu.

"Pernah ajar kelas hujung, dalam kelas tu ada seorang pelajar yang semua guru tak suka. Tapi dengan aku berbeza, dia hormat dan dengar kata.

"Terima kasih cikgu sebab sayang anak-anak di sekolah seperti anak sendiri... semoga berjaya dik," ujar beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain