suria

Nak selfie, nampak view ngeri! Rakyat Malaysia dipanggil polis Turkiye, saksi kes lelaki nyaris jatuh ‘ski lift’ - “Saya nampak orang tergantung”

Nik Ali berkongsi detik cemas menyaksikan pengunjung nyaris terjatuh dari 'ski lift'.

NIAT asal mahu mengambil gambar swafoto ketika menaiki buaian kabel (ski lift) di sebuah lokasi percutian di Turkiye, tetapi akhirnya seorang rakyat Malaysia secara tidak sengaja merakam sesuatu yang tidak disangka.

Pemuda itu berdepan detik cemas apabila menyaksikan insiden seorang pengunjung nyaris terjatuh dari buaian kabel yang berlaku di depan matanya sendiri.

“Ngeri sungguh tengok depan mata punyalah struggle brader tu bertahan,” tulisnya menerusi satu perkongsian video yang kini tular di media sosial.

Berkongsi cerita kepada mStar, Nik Ali Nik Muhamad memberitahu, kejadian berlaku ketika dia berkunjung ke kawasan peranginan di Taman Negara Uludag di Bursa, Turkiye.

Pengalaman menaiki 'ski lift' di Gunung Uludag.

Dalam kejadian pada 17 Februari lalu, pemuda berusia 33 tahun itu berkata, dia menaiki buaian kabel dan baru beberapa meter bergerak dari balai berlepas di puncak gunung Uludag.

“Saya nak ambil gambar selfie sambil menikmati pemandangan, jadi saya tetapkan setting tripod untuk dapatkan sudut terbaik, tapi tak sangka benda lain yang jadi.

“Tengok dalam skrin telefon ternampak ada orang sedang tergantung cuba berpaut pada ski lift, jadi saya terus tukar rakaman kepada mod video,” katanya ketika dihubungi mStar.

Dia yang ketika itu dalam lawatan secara solo menjelajah ke 16 negara cuba menenangkan diri dan terus fokus merakamkan kejadian di pusat sukan ais dan luncur salji itu.

Pengunjung tersebut berjaya diselamatkan.

Nik Ali yang berasal dari Dabong, Kuala Krai, Kelantan mengakui situasi ketika itu bertukar menjadi kecoh dan beberapa pengunjung dilihat dalam keadaan panik.

“Kedua-dua tangan dia hanya berpaut pada besi buaian dan kalau terjatuh boleh patah kaki atau tulang rusuk sebab ketinggian agak tinggi dianggarkan sehingga 10 meter.

Kalau terjatuh boleh patah kaki atau tulang rusuk sebab ketinggian agak tinggi.

NIK ALI NIK MUHAMAD

“Memang panik sebab nak bantu tak boleh disebabkan kedudukan kawasan kejadian. Tapi syukur sangat sebab mangsa dapat diselamatkan, tiada kemalangan jiwa.

“Sangat mencemaskan tengok dia bertahan selama kira-kira dua minit sebelum berjaya melompat ke jaring dengan bantuan kakitangan di penghujung stesen kabel,” ujarnya yang juga merupakan pemandu pelancong alam semula jadi.

Orang ramai di pusat sukan ais dan luncur salji.

Susulan kejadian itu, dia dipanggil oleh pihak polis Turkiye untuk memberi kerjasama sebagai saksi utama dalam membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa bot karam 30 jam tengah laut cerita detik cemas... dikelilingi ikan sebesar bas, dengar suara azan

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Aruz kongsi detik cemas dirempuh treler... Ibu patah tulang rusuk, anak-anak pula lebam di muka

“Agak gementar pada mulanya apabila ditanya soalan. Tapi lega kerana semuanya berjalan lancar disebabkan rakaman video banyak membantu,” katanya.

Dia bagaimanapun tidak mengetahui punca kejadian sehingga mangsa boleh terkeluar dari buaian dan hampir terjatuh.

Nik Ali merakamkan kenangan di pusat peranginan di Taman Negara Uludag.

Sebagai pemandu pelancong yang juga terlibat dalam aktiviti lasak seperti mendaki lereng bukit atau via ferrate, dia menasihat setiap pengunjung dan peserta supaya sentiasa mematuhi arahan dan menjaga etika masing-masing.

Mengimbas kembali detik cemas itu, dia yang berpengalaman sebagai pemandu pelancong selama lapan tahun mengakui ia bukanlah kejadian pertama melihat orang awam nyaris terjatuh atau tergelincir, tetapi kali pertama menyaksikan kes membabitkan ski lift.

Nik Ali merupakan pemandu pelancong alam semula jadi.

“Terkejut kejadian yang tak disangka-sangka terjadi ini berlaku di negara terakhir dalam jelajah saya selama 30 hari tu sebelum pulang ke Malaysia.

“Saya terfikir juga macam mana dia boleh hampir terjatuh dari gondola tu. Cuma ini mengingatkan saya kepada semua supaya sentiasa menjaga etika,” katanya lagi.

Video berhubung kejadian yang dimuat naiknya di TikTok kini meraih lebih 12 juta tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain