suria

Pondok usang tempat 4 beranak berteduh... Raih pendapatan RM30 sehari hasil jual sayur- “Mereka tetap tersenyum”

Kak Maya (kiri) dan keluarganya menetap di pondok usang di tepi Sungai Pampang, Keningau.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Sepasang suami isteri meraih simpati netizen selepas tular kisah mereka tinggal di sebuah pondok usang di tepi Sungai Pampang, Keningau, Sabah.

Abang Jan dan isterinya, Kak Maya hidup dalam keadaan daif dengan pendapatan kira-kira RM30 sehari hasil berniaga sayur di pasar untuk menyara dua orang anak berusia 15 dan 13 tahun.

pondok2

Edy menghulurkan bantuan keperluan asas kepada keluarga itu pada minggu lalu.

Menurut aktivis kebajikan Sabah, Adrian Edy yang menziarahi keluarga itu pada minggu lalu, pondok didiami mereka juga tidak dilengkapi tenaga elektrik dan sumber air bersih.

"Saya tahu mengenai kisah keluarga ini selepas diberi maklumat oleh penduduk kampung. Dulu mereka tinggal dalam kawasan kampung, kemudian berpindah duduk dalam pondok di tepi sungai.

"Mereka berpindah ke situ sejak setahun lalu bagi memudahkan urusan untuk keluar berniaga. Rumah itu dibuat sendiri oleh Abang Jan menggunakan buluh, kayu dan barangan terpakai.

Walau diuji dengan kesusahan, tapi mereka sekeluarga tetap tersenyum.

ADRIAN EDY

"Untuk pulang ke rumah, mereka kena lalui sungai itu. Kalau air naik, mereka kena lari naik ke kawasan hutan yang lebih tinggi," ujar Edy ketika dihubungi mStar.

Menurut Edy, dia dan pasukannya juga terpaksa mengharungi sungai dengan arus yang agak deras sambil membawa barangan bantuan ketika menziarahi keluarga itu.

Bercerita lanjut, Edy berkata Kak Maya sebenarnya berasal dari Pahang dan kini bermastautin di Sabah selepas berkahwin dengan suaminya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan RM30 sehari, mekanik hanya mampu besarkan 12 anak dalam pondok buruk... Beras 10kg habis dalam masa 2 hari

ARTIKEL BERKAITAN: Anak kecil takut ke tadika kena rentas titi usang! Pemuda ‘angkut geng’, jambatan 3 tahun rosak dibaiki dalam masa 4 jam

Anak-anak pasangan itu juga tidak bersekolah dan mereka dan mengakui lebih selesa untuk membantu ibu bapa berniaga demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Kak Maya berasal dari Kuantan. Suaminya pula memang orang Sabah. Dalam pertemuan itu, saya hadiahkan lampu, kipas, solar, tilam, barang makanan, dapur gas, kayu dan zink.

"Abang Jan juga seorang buruh kasar, jadi dia mahu baiki sendiri rumahnya. Tempat tidur pun dah bocor. Saya juga sempat tanya anak-anaknya tentang persekolahan.

pondok3

Edy meredah sungai ketika mahu menyalurkan bantuan untuk keluarga itu.

"Anak sulung pasangan itu yang dikenali sebagai Boboy beritahu saya dia tak nak sekolah. Dia nak tolong keluarga berniaga. Kalau tengok cara mereka, boleh nampak anak-anaknya sangat kental," cerita Edy lagi.

Meskipun hidup dalam keadaan serba daif, Edy berkata keluarga itu masih tersenyum dan seolah-olah sudah terbiasa dengan kesusahan yang dialami mereka.

"Tidak pernah sangka ada mereka sekeluarga yang tinggal di seberang sungai itu, terkejut sangat. Rasa berdosa sangat diri ini apabila nampak keadaan mereka sekeluarga, walau diuji dengan sedikit kesusahan, tapi mereka sekeluarga tetap tersenyum.

"Mengalir air mata di Keningau, berat ujian keluarga abang Jan dan Kak Maya serta anak-anak," ujar Edy lagi yang aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan di seluruh Sabah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain