suria

Rakyat Malaysia tak gelap mata jumpa dompet ada wang ‘angka ribu’ di Singapura! Cuma ambil duit teh tarik selepas bertemu pemilik

Zimmy (kiri) menyerahkan dompet yang dijumpainya kepada pemilik, Wang.

TIDAK dinafikan ramai berlumba-lumba mencari peluang pekerjaan di Singapura kerana tawaran gaji yang lebih tinggi dan lumayan.

Manakan tidak, nilai gaji yang diterima berlipat kali ganda berikutan mata wang dolar Singapura lebih kukuh berbanding ringgit.

Namun dalam kumpulan rakyat Malaysia yang bekerja di Republik itu, rupanya ada seorang wira tak didendang yang seharusnya diberi perhatian.

Ramai mahu bekerja di Singapura kerana gaji yang lumayab. -Gambar hiasan kanan Bloomberg

Kisah mengenai dirinya menjadi tular selepas dia terjumpa dompet milik seorang lelaki yang mengandungi wang tunai sebanyak S$482.80 (RM1,717).

Berkongsi cerita kepada mStar, Zimmy Peter Bagang memberitahu, kejadian berlaku pada Rabu lalu, selepas dia selesai bertugas dan mahu bergegas pulang ke Johor Bahru (JB).

Lelaki berusia 41 tahun berkata, dia kemudian ternampak satu objek berkilat di atas bangku di bawah sebatang pokok sewaktu menuju ke tempat parkir motosikal dekat kompleks Changi Business Park, kira-kira pukul 9 malam.

“Saya tergerak hati untuk melihat objek tersebut. Rupa-rupanya ada dompet berzip dan saya terus membukanya dan mendapati sejumlah wang yang banyak.

“Tanpa berfikir panjang saya simpan dompet tersebut dalam beg galas kerana saya bergegas balik ke JB. Setiba di rumah kira-kira pukul 10.30 malam saya buka dompet itu semula untuk mencari pemiliknya dan mendapati ada kad permit kerja,” katanya ketika dihubungi.

Hantaran yang dibuat bagi mencari pemilik dompet.

Menurut Zimmy, dia kemudian membuat hantaran di grup Facebook 'Malaysia-Singapore Border Crossers (MSBC)' yang rata-ratanya diikuti oleh rakyat Malaysia yang sering berulang alik ke Republik itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Selangor ‘terpaling Singapura’! Bangga tukar kerja gaji 3.5 kali ganda, puji melambung negara jiran

ARTIKEL BERKAITAN: Pensyarah IPTS ‘merajuk’ gaji tak naik-naik, nekad kerja ‘cleaner’ di Singapura... Balik Malaysia jadi orang kaya!

“Saya percaya ini antara cara paling cepat untuk mencari pemilik dompet tersebut memandangkan saya hanya masuk kerja ke Singapura pada waktu tengah hari.

“Posting disiarkan pada kira-kira pukul 8 pagi Khamis dan saya tidak menyangka ramai yang kongsi. Pukul 8.38 pagi saya dihubungi oleh seorang rakan kepada pemilik dompet tersebut.

“Saya terus memberikan nombor WhatsApp untuk berhubung dengan pemiliknya iaitu Encik Wang dan berjaya dipulangkan oleh saya sendiri kepada Encik Wang pada pukul 4.15 petang hari sama,” ujarnya yang berasal dari Dalat, Sarawak dan kini menetap di JB.

Rakyat Malaysia berulang-alik bekerja di Singapura.

Mengulas lanjut, bapa kepada seorang anak itu meluahkan rasa lega dan syukur apabila dapat memulangkan wang tersebut kepada pemiliknya.

Turut berkongsi berita gembira itu di grup Facebook, kata Zimmy, misinya tercapai dan berterima kasih kepada semua yang membantu mencari pemilik dompet, Wang Defeng.

“Dia menawarkan saya sejumlah wang sebagai tanda penghargaan. Saya menolaknya secara baik dan memberitahunya bahawa wang itu banyak.

Sentiasa memudahkan urusan sesama manusia.

ZIMMY PETER BAGANG

“Nampaknya dia tidak berganjak sehingga saya menerima wang itu. Dia sekali lagi mendesak untuk saya mengambilnya.

“Untuk tidak mengecewakan dia, saya hanya boleh menerima dua keping syiling bernilai S$2 (RM7.11). Tidak lebih daripada itu, cukup untuk saya membeli teh tarik,” katanya lagi.

Zimmy bekerja di Singapura sejak 2006.

Berkongsi pengalaman, Zimmy mula bekerja di Singapura sebagai juruteknik di sebuah kilang pada 2006 dan kini merupakan kakitangan Citibank Singapore Limited sejak 2014.

Zimmy sebelum ini pernah terjumpa dompet di Pusat Pemeriksaan Woodlands di Singapura pada 7 Mac 2023 dan membuat pengumuman mengenainya di grup Facebook sama. Dia berjaya menemui pemiliknya dan menyerahkan dompet itu beberapa jam kemudian.

Zimmy sebelum ini menemui dompet dan menyerahkan kepada pemiliknya.

Dalam pada itu, Zimmy menasihati masyarakat terutama RUN SGD iaitu golongan yang berulang alik ke Singapura untuk mencari rezeki supaya bersikap jujur dan bertanggungjawab.

“Sentiasa bersikap jujur dan penuh rasa tanggungjawab dengan memulangkan barang-barang tersebut pada kadar segera. Sentiasa memudahkan urusan sesama manusia.

“Hidup ini penuh dengan misteri, hari ini kita berbuat baik dengan orang lain. Esok lusa orang lain akan berbuat baik dengan kita,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain