PERGINYA seorang insan bergelar ibu buat selama-lamanya, bererti hilanglah 'tiang seri' di dalam sesebuah rumah. Tiada lagi kelibat, suara mahupun air tangan yang terhidang di atas meja menunggu kepulangan anak-anak tersayang. Begitulah juga dengan wanita ini apabila sudah empat tahun menanggung kerinduan kepada ibu tercinta yang menghembuskan nafas terakhir secara mengejut. Hanya sepinggan sambal ayam yang sempat disediakan arwah ibu menjadi kenangan terakhir untuk mengubat kerinduan yang tidak pernah sesaat pun luput daripada ingatan. Mengimbas kembali detik duka kehilangan insan kesayangannya, Nur Hidayu Supian berkata arwah ibunya, Julia Ab Ghani, 49, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 5 Mac 2020. "Seperti biasa, mak masakkan sarapan untuk kami sekeluarga dan hari itu, arwah buat sambal ayam. Saya tak sempat sarapan, jadi mak bekalkan untuk dibawa ke tempat kerja. "Sewaktu saya hirup air, perasan mak macam tenung saja sampailah saya keluar pintu untuk ke tempat kerja. Dia tak cakap banyak pun, cuma pesan bawa kereta elok-elok. Ibu Nur Hidayu, Julia Ab Ghani meninggal dunia pada 5 Mac 2020 kerana serangan jantung. "Pada waktu tengah hari, saya dapat panggilan daripada ayah memberitahu mak jatuh pengsan di rumah. Bergegas saya balik dan ketika sampai, mak sudah tiada. "Tangan yang saya salam waktu pagi, tak sangka ia adalah salam yang terakhir. Tak tergambar dengan kata-kata apa yang saya rasai waktu pegang tangan yang sudah sejuk itu," ujarnya kepada mStar. Menurut anak sulung daripada dua beradik, sambal ayam yang dicedok ibunya untuk dihidangkan waktu sarapan pada hari kejadian, sehingga kini tidak pernah terusik dan disimpan di dalam peti sejuk. ARTIKEL BERKAITAN: Kiub tomyam jadi kenangan, anak bongsu simpan walau tamat tempoh... Terkilan tak sempat rasa air tangan arwah ibu ARTIKEL BERKAITAN: Sebak... Selesai jenazah dikebumikan, balik rumah jamah nasi lemak terakhir dimasak arwah emak "Semua hilang selera nak makan pada hari itu. Jadi saya simpan di tempat sejuk beku peti sejuk. Pinggan dan sudu pun saya tak tukar kerana itulah air tangan terakhirnya. "Biarlah saya simpan sehingga pinggannya retak," ujarnya yang berasal dari Tanjong Minyak, Melaka. Wanita ini mengakui dia mengambil masa yang lama untuk bangkit memandangkan tidak pernah berpisah dengan ibu dan bapanya. Biarlah saya simpan sehingga pinggannya retak. NUR HIDAYU SUPIAN "Alhamdulillah, rezeki saya belajar dan bekerja di Melaka. Saya memang berniat untuk duduk dengan mereka. "Ingat lagi seminggu sebelum meninggal dunia, mak suruh saya kahwin supaya ada orang boleh jaga saya sebab dia makin tua. Boleh dikatakan hari-hari dia pesan benda yang sama. "Rupanya memang betul mak pergi. Sampai sekarang saya struggle untuk sembuh sebab setiap sudut di rumah ini mengingatkan saya padanya," katanya yang sudah mendirikan rumah tangga dua tahun lalu. Gambar kenangan keluarga Nur Hidayu ketika hari raya. Tidak menyangka perkongsian videonya menjadi tular sehingga meraih 1.5 juta jumlah tontonan di TikTok, Nur Hidayu berkata dia sekadar berkongsi kisah ibunya memandangkan tanggal 5 Mac ini menandakan genap empat tahun Allahyarham ke negeri abadi. "Bukan tak reda tapi sekadar meluahkan kerinduan. Apabila baca komen-komen yang kongsi kisah serupa, saya pun turut sebak. Hanya yang dah merasai kehilangan saja tahu rasa sakit rindu. "Mereka yang masih ada mak dan ayah, hargailah selagi hayat ada. Kita tak tahu sampai bila Allah nak pinjamkan. Bila dah tak ada mak ni, semua hilang seri. "Dan kehilangan paling berat adalah doa seorang ibu," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube