suria

Tudung buat hal, kanak-kanak perempuan kena ‘sidai’ depan pagar... Pengawal sekolah tak bagi masuk!

Video keletah Adelia memakai tudung sekolah menarik perhatian ramai.

RAKAMAN kelibat seorang kanak-kanak perempuan yang 'terkandas' di depan pintu pagar sekolah gara-gara terlewat menjadi tular di TikTok.

Lebih menarik perhatian ramai apabila ibu kepada kanak-kanak itu berkongsi satu lagi video menunjukkan si kecil berkenaan sedang 'berperang' untuk memakai tudung di dalam kereta setelah tiba di perkarangan sekolah.

"Inilah punca pagar sekolah tutup pagi tadi. Siapa suruh tuduh tak jadi," tulis si ibu menggambarkan situasi yang dialaminya anaknya itu.

Ketika dihubungi mStar, ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Amni, 35, berkata dia tidak menyangka keletah anaknya, Airis Adelia itu membuatkan ramai terhibur.

Antara perkongsian Amni di TikTok.

"Sebenarnya suami hantar anak lelaki kami baru masuk darjah satu. Lepas siapkan urusan si abang, barulah suami ambil Adelia dari dalam kereta yang tengah tidur.

"Selepas dia bangun tidur terus cakap nak pakai uniform sekolah dan minta nak masuk sekolah. Lepas tu dia kalut bersiap pakai baju, tudung, kasut sekolah dan barulah dia turun kereta.

"Tapi baru je sampai pagar sekolah, dah tutup sebab ada perhimpunan pagi. Nak bawa dia masuk memang pak guard tak bagi dah, sebab tu dia sedih. Katanya dia sanggup tunggu orang habis perhimpunan," ujar Amni menjelaskan apa yang berlaku kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa sedih tengok anak mundar-mandir sendirian, tiada kawan di sekolah... Sekelip mata budak periang jadi kurang ceria

ARTIKEL BERKAITAN: Menjelang Aidilfitri, penggal baharu persekolahan... Peguam dedah ada bapa culas bagi nafkah, suruh anak pakai baju sekolah masa raya

Memandangkan perhimpunan berlangsung dalam tempoh yang lama, bapanya, Asri, 47, memujuk Adelia yang baru berusia tiga tahun itu pulang.

"Suami kasihankan dia, jadi terus pujuk ajak pergi beli mainan. Barulah dia nak balik tapi muka tetap kecewa dan sedih. Ada juga kami pujuk dia masuk tadika tapi tak nak. Dia nak pakai baju sekolah putih, kain hitam juga.

"Dia masih kecil tapi suka berkawan dan dia tak ada kawan dekat rumah. Adik-beradik lain semua lelaki.

Saya rasa perangai macam saya masa kecil, tak suka duduk rumah.

AMNI

"Sebab tu dia pun cakap nak masuk sekolah juga. Jadi masa kami beli persiapan sekolah abang-abangnya, saya pun beli juga baju sekolah dan beg roda warna merah jambu untuk Adelia," ujar Amni lagi.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu lagi, setelah beberapa hari cubaan untuk masuk ke sekolah setelah penggal baru persekolahan sesi 2024 dibuka, akhirnya hasrat si kecil itu berjaya ditunaikan.

"Selepas beberapa hari cuba, akhirnya dia boleh masuk beratur sekali dengan murid lain, tapi suami saya suruh ikut balik. Lagi pun dia masih kecil, belum layak ke sekolah rendah," jelas Amni lagi.

Tambah wanita itu lagi, dia bagaimanapun terharu dengan semangat yang ditunjukkan anaknya untuk menuntut ilmu di sekolah.

Ahli keluarga Amni.

Kata Amni yang berasal dari Kelantan, dia mengesyaki minat anaknya terhadap sekolah berkemungkinan dipupuk melalui pemerhatian terhadap ibu dan bapa saudaranya.

"Saya rasa perangai dia macam saya masa kecil dulu, tak suka duduk rumah. Berbeza dengan anak lelaki, yang perempuan ni lebih cepat matang dan pandai berdikari. Rasa tak sangka juga sebab abang-abang dia tu kami tak hantar ke sekolah tadika pun.

"Mereka menangis daripada pagi sampai petang siap menyorok bawah meja malu dekat cikgu. Saya pun hairan apabila Adelia ni terlampau minat dan bersemangat nak bersekolah.

"Saya rasa pengaruh ibu dan bapa saudara yang masih sekolah buat dia bersungguh nak sekolah. Dia tengok mereka sibuk buat kerja sekolah dekat rumah atuk. Semoga semangat anak saya kekal sampailah dia betul-betul boleh bersekolah nanti," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain