RAKYAT di negara ini sememangnya terkenal dengan sikap pemurah dan mudah simpati terhadap kesusahan orang lain. Disebabkan sifat prihatin ini, seorang pemandu lori yang tersadai di bahu Lebuh Raya Plus arah selatan di Gopeng, Perak tidak perlu lama menahan lapar apabila dia menerima bantuan segera daripada orang awam. Ketika dihubungi mStar, Ainal Julung, 36, menceritakan semula pengalamannya selepas membuat posting bantuan makanan menerusi grup Galeri Lori Malaysia di Facebook. Pemandu lori bersama anaknya terima banyak bantuan makanan daripada orang ramai. "Sehari sebelum sambut Ramadan, saya ditugaskan bawa barang dari Batu Gajah ke Port Klang. Lori saya sebenarnya mengalami kerosakan dua kali dan kali kedua tu dekat Gopeng sekitar pukul 5 petang Isnin. "Masa tu saya dengan anak lelaki terkandas tepi jalan. Memang lapar sangat. Pekerja 'towing' beritahu dia lambat lagi nak sampai. "Jadi saya pun buat satu posting dekat Facebook. Masa tu ramai yang bagi respons dan hubungi tanya saya dekat mana sebab nak hantar makanan," ujarnya. Hantaran yang dibuat pada Isnin itu meraih lebih 21,000 tanda suka dan menerima lebih 705 komen apabila disiarkan. ARTIKEL BERKAITAN: Kacak, ramai gadis berkenan! Pemandu lori kontena terima banyak DM perkenalan, pernah diganggu di R&R ARTIKEL BERKAITAN: Dulu posmen, kini pemandu lori kontena... pemuda akui realiti kerjanya susah nak balik rumah, siap pesan “kalau lori masuk simpang tolonglah mengalah!” Menurut Ainal yang berasal dari Tawau, Sabah, dia tersadai di tepi jalan selama lebih 10 jam sementara menunggu trak perkhidmatan tunda tiba. Bagaimanapun, dia amat bersyukur apabila menerima banyak bungkusan makanan yang dikirimkan oleh orang ramai walau mereka tidak mengenalinya secara peribadi. "Pada awalnya lori rosak pukul 11 pagi lagi. Kemudian mekanik datang baiki, saya pun teruskan perjalanan. Tapi petang tu rosak lagi disebabkan masalah enjin. "Tak sangka lepas buat posting tu ramai datang hantar makanan. Semua saya tak kenal. Dari pukul 7.30 petang sampai 9 malam masih ada yang nak bagi tapi saya tolak sebab dah terlampau banyak makanan diterima. Alhamdulillah saya memang bersyukur dan terharu dengan orang-orang yang membantu saya. AINAL JULUNG "Bantuan makanan terawal saya terima daripada dua orang 'hero'. Mereka belanja nasi goreng dan minuman. Alhamdulillah saya memang bersyukur dan terharu dengan orang-orang yang membantu saya," katanya. Bapa kepada tiga cahaya mata itu turut memuat naik video yang disunting isterinya, Ainul Mardiah, 37, menceritakan pengalaman suami dan anaknya dibantu orang ramai. Ainal berkata lori tersebut dibawa oleh trak tunda yang tiba di lokasi sekitar pukul 3 pagi Selasa untuk dibawa ke Klang, Selangor. Ainal merupakan seorang pemandu lori yang sudah berumah tangga. "Makanan yang saya terima memang banyak untuk dihabiskan dengan anak lelaki. Jadi selebihnya tu saya buat makan untuk sahur. "Lepas trak towing sampai, kami dua beranak teruskan perjalanan pagi tu. Saya sampai di Port Klang dalam pukul 10 pagi Selasa. "Ini memang satu pengalaman yang tidak boleh saya lupakan sepanjang kerjaya sebagai pemandu lori. Apa-apa pun saya bersyukur masih boleh jalani ibadah puasa dengan baik atas jasa orang ramai," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube