suria

Mengeluh tiket flight balik Sabah, Sarawak cecah RM5,000! Individu dedah ‘punca’, ada kaitan dengan Singapura

Pelbagai mod pengangkutan akan digunakan orang ramai untuk pulang beraya. -Gambar hiasan

SETIAP kali tiba musim perayaan, harga tiket penerbangan yang naik mencanak pastinya dibangkitkan.

Antara yang berdepan 'isu' ini adalah anak perantauan yang mahu pulang ke kampung halaman di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) dari Semenanjung atau sebaliknya.

Terbaharu tular di laman X, seorang pemuda membuat keluhan berikutan tambang penerbangan antara Pulau Pinang ke Kota Kinabalu, Sabah yang naik berlipat ganda.

Menjadi tradisi Aidilfitri disambut bersama yang tersayang. -Gambar hiasan

"Harga tiket pergi balik Sabah untuk raya Aidilfitri dah cecah RM5,620 ya. Mahal sangat ni," pemuda itu mengeluh.

Berdasarkan tangkap layar yang dipaparkan, dipercayai harga tiket penerbangan itu merangkumi lima penumpang iaitu dua dewasa, dua kanak-kanak dan seorang bayi.

Penerbangan tersebut akan berlepas pada 6 April pukul 7.20 pagi, kira-kira seminggu sebelum menjelangnya Syawal.

ARTIKEL BERKAITAN: Juruterbang rakam limpahan cahaya gemerlapan dari atas ruang udara Vietnam, lebih terang daripada pusat bandar

ARTIKEL BERKAITAN: Port tengok pesawat mendarat, berlepas jadi lokasi healing... Penduduk tak selesa, rasa pengunjung menyemak - “Risau pilot silau je”

Susulan posting tersebut, rata-rata warga maya menzahirkan rasa dukacita dan menyelar Kementerian Pengangkutan (MOT) supaya tindakan segera diambil bagi menangani isu ini.

"Kalau macam ni baik aku pergi bercuti ke United Kingdom (UK) daripada balik kampung Sarawak," kata seorang netizen.

Namun, seorang pelayar yang lebih arif tampil berkongsikan maklumat di sebalik kenaikan harga tiket penerbangan itu dan orang ramai tidak sepatutnya berhujah mengikut emosi.

Menurut pelayar tersebut, harga tiket penerbangan yang mahal antara Malaysia Timur dan Semenanjung sebenarnya mempunyai kaitan dengan ruang udara Singapura.

"Ramai yang dok pertikai ni tak faham, tiket flight Sabah dan Sarawak sememangnya lebih mahal daripada flight domestik (dalam negara) yang lain.

Singapore FIR merujuk kepada aliran trafik pesawat awam yang dikendalikan oleh Singapura.

WARGA MAYA

"Ia disebabkan oleh penerbangan ke sana perlu melalui ruang udara ‘antarabangsa’ yang dikawal oleh Singapura atau dikenali sebagai Singapore FIR (Flight Information Region).

"Singapore FIR bukanlah bermaksud ruang udara itu adalah hak milik Singapura, sebaliknya merujuk kepada aliran trafik pesawat awam yang dikendalikan oleh Singapura.

"Tambahan pula dengan waktu puncak perayaan Aidilfitri, harga penerbangan akan naik mendadak. Macam saya sendiri, saya akan beli tiket penerbangan ke Sabah atau Sarawak setahun awal, harganya lebih berpatutan," jelas pelayar itu.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian pempengaruh Sir Syami di laman TikTok, ternyata kawalan ruang udara Singapore FIR itu boleh diberikan kepada Malaysia melalui proses rundingan.

Peta menunjukkan ruang udara yang diselia oleh Singapura.

“Mana tahu mungkin kerajaan (sekarang) nak bantu dan nak selesaikan isu ini, bolehlah tiket penerbangan jadi murah nak pergi Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Selain itu, seorang lagi warga maya berkongsikan tip untuk mendapatkan tiket penerbangan yang 'mesra marhaen' ke Sabah dan Sarawak.

"Kita kena 'bersahabat' baik dengan aplikasi syarikat penerbangan, dekat situ ada tawaran promosi yang kita boleh rebut. Lagi best, bila mereka buka jualan tiket flight ke Sabah dan Sarawak kita akan dimaklumkan dan boleh terus beli.

"Kena buat macam tu sebab kalau tidak memang kering la dompet kita nak balik raya, Contohnya tiket nak ke Kuching, Sarawak kalau beli awal pun dah harga RM400 lebih sehala," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain