suria

Puasa di perantauan, jurutera ‘drama Korea’ kongsi tentang Ramadan dengan rakan ofis! ‘Geng makan’ risau tengok seharian berlapar

Fikri berkongsi tentang Ramadan kepada rakan sekerjanya.

IBARAT drama Korea!

Begitulah gambaran setiap klip video dikongsikan seorang jejaka Malaysia yang tinggal di Korea Selatan dan perkongsiannya sentiasa meraih perhatian warga maya.

Mempunyai 163,800 pengikut di laman TikTok, kebanyakan video yang dimuat naik pasti ditonton lebih 3 juta kali.

Tangkap layar videonya yang sering disamakan dengan drama Korea.

Tangkap layar videonya yang sering disamakan dengan drama Korea.

Merupakan seorang jurutera, Mohd Fikri Mohd Jumat berkata, dia sama sekali tidak menyangka perkongsian lifestyle di Korea Selatan akan menarik minat pengikutnya sehingga ada yang meninggalkan komen 'macam drama Korea' kerana dilihat sering makan malam bersama rakan sekerja.

Berkongsi cerita dengan mStar, anak muda kelahiran Tawau, Sabah ini berkata dia mula tinggal di Korea Selatan sejak tujuh bulan lalu.

"Saya bekerja dan tinggal di Osong. Sebelum ini saya bekerja di Malaysia di bawah syarikat Korea.

"Tak sangka diberi peluang untuk bekerja di Korea bagi projek yang seterusnya... jadi saya terima tawaran tu," ujarnya yang kini berusia 32 tahun.

Menganggapnya sebagai rezeki, dia yang mesra disapa Fikri oleh rakan sejawat turut menzahirkan rasa syukur kerana diterima baik di negara empat musim itu.

Malah katanya, kesemua rakan sekerja gemar membantu terutama urusan yang melibatkan dokumentasi.

"Alhamdulillah, kesemua mereka sangat baik hati. Banyak menolong terutama yang melibatkan urusan dokumen ataupun urusan yang melibatkan kerja dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... 2 tahun tahan rindu, anak sedih ada halangan lain tak dapat balik Sabah pada hari kematian bapa - “Ramadan kali ini rasa kosong, tiada apa ditunggu”

ARTIKEL BERKAITAN: Budu saja tak cukup! Instafamous ikut suami kerja di luar negara sanggup belajar buat kuih akok untuk berbuka

"Kawan sekerja dan bos juga sangat friendly," tambahnya.

Menerusi beberapa video tular di platform TikTok, Fikri turut menunjukkan bakat memasak juadah Malaysia seperti roti jala, sate, udang masak lemak, sambal belacan dan pelbagai hidangan lagi.

Kesemua hidangan tersebut dikongsikan dengan rakan sekerja.

Saya maklumkan ini normal bagi muslim pada bulan Ramadan... mereka pun okay. Cuma kadang-kadang mereka sakat ajak minum coffee tengah hari.

MOHD FIKRI

"Saya jenis suka masak dan sebelum ini ada juga rakan sekerja yang datang ke rumah makan sekali. Apabila nak bagi peluang semua rakan sekerja rasa makanan Malaysia, jadinya saya masak dan bawa ke pejabat.

"Alhamdulillah, penerimaan mereka sangat mengujakan dan mereka memuji udang masak lemak tersebut lebih-lebih lagi apabila makan dengan sambal.

"Mereka pun tidak pernah merasai makanan Malaysia... daripada itu jugalah datang idea untuk buat content masak makanan Malaysia," ujarnya yang turut menerima pujian masisseoyo atau sedap.

Fikri berada di Korea sejak tujuh bulan lalu.

Fikri berada di Korea sejak tujuh bulan lalu.

Malah, katanya, kebanyakan rakan sekerja paling menggemari hidangan nasi lemak dan sate ayam kuah kacang yang dimasaknya.

Menurut Fikri lagi, setiap menu yang ingin dimasak akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada rakan-rakannya dan mereka akan membuat carian tentang hidangan tersebut.

Bercerita lanjut tentang dirinya, Fikri yang juga anak bongsu daripada enam beradik kini sedang menjalani ibadah puasa di negara asing.

Rakan sekerjanya gemar menikmati juadah Malaysia yang dimasak.

Rakan sekerjanya gemar menikmati juadah Malaysia yang dimasak.

Disebabkan pertama kali berpuasa di rantau tersebut, ujarnya, dia mengambil pendekatan memaklumkan tentang Ramadan dan ibadat puasa kepada rakan sekerja.

"Alhamdulillah, mereka faham. Cuma mereka kesian tengok saya sebab seharian tak makan dan minum.

"Tapi apabila saya maklumkan ini normal bagi muslim pada bulan Ramadan... mereka pun okay. Cuma kadang-kadang mereka sakat ajak minum coffee tengah hari dan sebagainya," tambahnya lagi yang bakal pulang berhari raya di kampung halaman di Tawau.

Kata Fikri, cabaran terbesar apabila dia perlu bekerja pada suhu lebih kurang -14 darja Celsius.

Menurutnya, suasana bukan sahaja sejuk malah bersalji, bagaimanapun dia mengakui perkara tersebut sebagai pengalaman yang mencabar tapi menyeronokkan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain