SELAIN berkunjung ke bazar Ramadan untuk membeli juadah iftar, ramai juga memilih untuk berbuka puasa di restoran dan hotel sepanjang bulan yang mulia ini. Menariknya slot berbuka puasa secara bufet bukan hanya dipenuhi umat Islam yang berpuasa, sebaliknya turut dimeriahkan penganut agama lain yang turut sama menempah meja. Apa yang lebih mencuri perhatian apabila kumpulan berkenaan menunjukkan adab yang tinggi kerana tidak menjamah makanan yang sudah terhidang di depan mata sehinggalah azan Maghrib berkumandang. Beraneka juadah berbuka puasa menarik perhatian pengunjung. -Gambar hiasan Suasana itu disaksikan sendiri pempengaruh media sosial, Mohd Fadli Salleh ketika dia berbuka puasa secara bufet baru-baru ini. “Tadi berbuka puasa kat luar. Kat sini ramai juga orang Cina ambil kesempatan ambil pakej berbuka untuk makan dengan kawan dan keluarga mereka. “Yang menariknya, mereka ambil makanan dan minuman, susun atas meja tapi tak makan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook. ARTIKEL BERKAITAN: Ada masjid amal sikap pilih bulu layan tetamu datang iftar... Warga asing makan di ruang lain, bukan kariah disisih ARTIKEL BERKAITAN: Bos anjur majlis buka puasa geng pejabat, kutip RM100 seorang... Pekerja bantah kena keluar duit sendiri! Lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli, bekas guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu berkata, hanya sebaik azan Maghrib berkumandang menandakan masuk waktu berbuka puasa, barulah mereka makan menyertai umat Islam lain. “Walhal meja mereka berasingan dengan golongan Muslim. Kalau mereka terus makan tak ada orang marah pun. Tapi sebagai tanda hormat, mereka tunggu dulu. “Suka sangat tengok sebahagian yang saling menghormati sesama kita walau berbeza bangsa dan agama. Keharmonian terasa apabila saling menghormati,” ujarnya. Pengunjung bukan Muslim turut memeriahkan majlis berbuka puasa. -Gambar hiasan Mengenai tanggapan netizen kemungkinan orang Cina tersebut adalah golongan mualaf, Cikgu Fadli mengulas tentang cara mereka berpakaian. “Mereka ada yang pakai skirt. Jadi tak berapa logik jika Muslimah,” jawab Cikgu Fadli secara ringkas di ruangan komen. Ada sesetengah tu memang rajin cuba berpuasa juga, sebab tu mereka tak makan terus. NETIZEN Dihujani pujian netizen, rata-ratanya melihat tindakan pelanggan Cina itu adalah wajar, sekali gus menunjukkan keindahan dan keharmonian Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama. “Common sense sebenarnya cikgu. Lagi satu, segan la dengan saudara-saudara Muslim yang tengah tunggu masuk waktu, kita pula dah sakan melahap. “Ada sesetengah tu memang rajin cuba berpuasa juga cikgu, sebab tu mereka tak makan terus,” demikian antara komen netizen. Masyarakat meneruskan tradisi berbuka puasa dengan hidangan ala bufet. -Gambar hiasan Malah, segelintir mereka yang berpengalaman bekerja dalam bidang makanan dan minuman (F&B) turut berkongsi pengalaman menyaksikan situasi seumpama itu. “Memang bulan puasa meriah dengan bangsa Cina apabila berbuka. Saya tanya kenapa nak join berbuka, mereka cakap nak raikan suasana tu ramai-ramai, setahun sekali. “Ada sesetengahnya memang macam tu. Mereka tunggu azan baru la makan sama-sama dengan orang yang berpuasa.. Ambil makanan pun ala kadar, tak ada la penuh menimbun dalam pinggan. Pengalaman kerja kat hotel dulu,” kata netizen lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube