suria

Dua jag jus keladi curah ke singki! Sekeluarga nyaris buka puasa minum air bangkai cicak - “Nampak menggelongsor dari plastik”

Bangkai seekor cicak jelas kelihatan di dalam bungkusan air keladi yang dibeli suami Azie.

"INGATKAN cincau, tapi rupa-rupanya cicak!"

Demikian kata seorang wanita ketika berkongsi kisahnya terbeli air balang yang mengandungi bangkai seekor cicak.

Mengimbas kembali 'tragedi' tersebut, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Azie Aziz berkata, air berperisa keladi itu dibeli suaminya dari sebuah gerai tepi jalan.

"Air berperisa keladi memang favourite saya. Hari kejadian pada 26 Mac (Selasa) kami dari Klang sebab ambil baju raya. Jumpa gerai air jadi suami singgah beli.

"Suami beli dua bungkus dengan harga RM5 setiap satu. Kemudian kami teruskan perjalanan ke Putrajaya untuk berbuka puasa rumah adik saya.

"Kira-kira lima minit sebelum waktu berbuka, saya tuang air keladi dalam jag. Dapat dua jag penuh. Ada extra lagi sikit, saya transfer dalam cawan.

"Tiba-tiba nampak benda macam nak menggelongsor dari plastik. Saya ingatkan cincau tapi rupanya cicak, terus auto menjerit," katanya kepada mStar.

cicak 1

Azie pada mulanya menyangka objek di dalam bungkusan air keladi tersebut adalah cincau.

Menurut wanita berusia 38 tahun itu, ahli keluarganya yang lain segera ke dapur selepas terdengar jeritannya dan terkejut apabila melihat bangkai seekor cicak di dalam plastik air yang dibeli.

"Daripada pemerhatian, cicak tersebut dah macam nak reput mungkin sebab terendam lama dalam air.

"Kami buang terus dua jag air keladi tu dan bancuh air lain. Memang tekak terasa geli geleman... minum air lain masa berbuka puasa pun masih terbayang-bayang lagi.

"Mujurlah saya tergerak hati nak tuang baki air keladi tu ke dalam cawan. Kalau tidak, memang agaknya kami minum air bangkai cicak," ujar wanita yang bekerja dalam bahagian makanan dan minuman (food and beverages) ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai mengadu makanan basi, ayam busuk di bazar Ramadan... jangan sampai terkena jangkitan salmonella

ARTIKEL BERKAITAN: Panas! Pengusaha bazar Ramadan ditegur jangan recycle makanan, cheese leleh tak payah... peniaga lelaki sila bercukur, ada mengadu setiap tahun jumpa bulu

Tambah Azie, dia tidak sempat mengunjungi semula gerai air berkenaan selepas insiden tersebut untuk membuat aduan.

"Saya menetap di Ampang, jauh pula nak ke Klang. Takut juga kalau mereka fikir benda ni nak tutup periuk nasi mereka.

"Jadi saya kongsi saja di media sosial, tapi bukan niat untuk viral... sekadar berkongsi pengalaman dan minta orang lain hati-hati.

"Kepada para peniaga, utamakanlah kebersihan... meniaga biarlah jujur. Kita nak rezeki yang berkat. Kalau peniaga sendiri tak jaga kebersihan, tak jujur... merekalah yang sebenarnya tutup periuk nasi sendiri," akhirinya.

Mujurlah saya tergerak hati nak tuang baki air keladi tu ke dalam cawan... kalau tidak kami minum air bangkai cicak.

AZIE AZIZ

Sehingga kini video yang dimuat naik oleh Azie di TikTok meraih lebih 1.2 juta jumlah tontonan.

Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya turut meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir peniaga makanan yang tidak menitikberatkan kebersihan sehingga memberi kesan kepada pelanggan.

komen cicak

Antara reaksi sebahagian netizen terhadap perkongsian Azie.

"Sebab itu suka masak dan buat sendiri. Daripada air kepada makanan, semua buat sendiri sebab tahu tahap kebersihan peniaga macam mana.

"Saya dah dekat 20 tahun tak pernah beli air balang. Beli dulu, lapan kali buang air besar.

"Nasib baik awak yang nampak cicak tu. Apalah agaknya nasib orang lain yang tak tahu ada cicak dalam air keladi tu," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain