SETIAP guru pasti mempunyai pendekatan tersendiri untuk mendidik serta mengambil hati para pelajar bagi menanam minat mereka terhadap pelajaran. Begitu juga dengan guru ini yang lebih gemar mencipta ikatan (bonding) dengan para pelajarnya seperti hubungan seorang bapa dengan anak-anak. Maka tidak hairanlah setiap video yang dimuat naik di TikTok, jelas kelihatan betapa akrab hubungannya dengan para pelajar. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Dalam satu perkongsian terbaharu di laman sosial itu, guru bernama Ahmad Farhan Zainudin berkongsi momen istimewa di mana dia menjemput lapan orang pelajarnya berbuka puasa bersama-sama di kediamannya. Bukan setakat berbuka puasa, malah mereka bermalam serta bersahur di rumahnya seperti melakukan aktiviti staycation. Bersahur dan berterawih adalah antara aktiviti yang dilakukan semasa 'staycation' di rumah Ahmad Farhan. "Kesemua mereka adalah pelajar darjah lima. Hanya mereka berlapan merupakan pelajar lelaki di kelas yang saya ajar. Saya pula dah ajar mereka daripada darjah tiga, jadi memang rapat. "Sebenarnya sejak tahun lepas mereka request nak berbuka puasa di rumah saya. Bukan mereka saja, pelajar lain pun sama tapi memandangkan dah lama mereka request, saya dahulukan mereka ni dulu. "Apabila saya beritahu isteri, dia pun okay. Lagipun isteri saya juga seorang guru. Memang biasa pelajar-pelajar kami bertandang di rumah. Maka, Jumaat lalu, lapan pelajar ini iftar dan bermalam di rumah saya," kongsi Ahmad Farhan kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah ‘banjir’ air mata hanya kerana seorang guru lelaki, dah balik rumah isteri pula sambung menangis - “Ada yang sampai peluk kaki” ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar yatim piatu menangis ada insan sudi lawat di asrama, sebelum ni cuma mampu tengok rakan lain dilawati mak ayah Menurut guru subjek Bahasa Melayu di sebuah sekolah rendah di Baling, Kedah ini, kesemua pelajarnya sudah mendapat kebenaran daripada ibu bapa masing-masing. "Malah, ibu bapa serta penjaga mereka pun saya dah kenal. "Isteri saya menyediakan nasi ayam untuk iftar. Selepas itu, saya bawa mereka berterawih berjemaah di masjid, moreh, menonton filem di rumah dan esoknya bersahur. "Keesokan pagi, selepas ronda-ronda kampung, saya hantar mereka ke rumah masing-masing," katanya. Satu prinsip yang saya pegang apabila menjadi pendidik adalah pertamanya, tanamkan ikhlas dalam hati. AHMAD FARHAN ZAINUDIN GURU Tambah Ahmad Farhan, dia mengambil pendekatan untuk melayani pelajarnya seperti seorang rakan malah langsung tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih. "Apabila buat seperti kawan, mereka lebih terbuka untuk berkongsi dan meluahkan apa sahaja. Jadi secara tidak langsung memudahkan proses pembelajaran juga. "Satu prinsip yang saya pegang apabila menjadi pendidik adalah pertamanya, tanamkan ikhlas dalam hati. Jangan pilih kasih, layan semua sama rata. "Saya suka kalau orang atau pelajar datang rumah... bagi saya ia buka pintu rezeki. Insya-Allah mereka akan ingat kita sampai bila-bila," katanya lagi. Ahmad Farhan turut menambah, dia terharu apabila membaca komen warga maya yang rata-ratanya memberikan pujian serta mendoakan kejayaannya dalam mendidik anak bangsa. Kesemua lapan pelajar ini dilayan Ahmad Farhan seperti anak sendiri. "Ada yang beri gelaran 'cikgu kiriman syurga' dan macam-macam lagi. Ada yang ingat saya bujang dan offer adik perempuan untuk dijadikan isteri juga. Mungkin mereka tak tahu, saya dah ada dua cahaya mata. "Apapun, saya aminkan komen-komen mereka semua. Namun saya bukanlah sampai tahap cikgu kiriman syurga. Saya turut doakan agar kebaikan berbalik kepada mereka juga," akhirinya. Untuk rekod, video iftar bersama pelajar yang dimuat naik oleh Ahmad Farhan hingga kini meraih lebih 1.7 juta jumlah tontonan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube