suria

Maafkan suami kaki betina demi pertahan rumah tangga, isteri remuk hati dapat tahu diri dimadukan semasa hamil 4 bulan

Hampir setiap wanita tidak ingin hidup bermadu. -Gambar hiasan The Star

MEMAAFKAN bukanlah perkara yang mudah dilakukan bagi seorang isteri yang pernah dicurangi.

Namun wanita ini memilih untuk memberi peluang kedua kepada suami yang pernah mengkhianati kepercayaannya dengan menjalinkan hubungan sulit bersama perempuan lain.

Meluahkan kesedihan di laman Facebook, dia yang enggan dikenali berkata, suaminya pernah beberapa kali curang dengan orang lain yang akhirnya sampai ke pengetahuannya.

Malah katanya, hubungan tersebut bukan sekadar di dalam telefon mahupun di pejabat, sebaliknya telah berlanjutan sehingga ke bilik hotel.

Seorang lelaki perlu memikul tanggungjawab besar selepas berkahwin. -Gambar hiasan The Star

Seorang lelaki perlu memikul tanggungjawab besar selepas berkahwin. -Gambar hiasan The Star

"Sebelum ini suami dah beberapa kali kantoi kaki perempuan dan curang sehingga tahap check-in dengan perempuan lain," luahnya sayu.

Meskipun mengetahui dirinya dicurangi, wanita ini memilih untuk memaafkan suaminya demi mempertahankan rumah tangga yang dibina.

Bagaimanapun, peluang yang diberikan itu bukan sahaja tidak dihargai malah dia dikhianati sekali lagi apabila suaminya bertindak menikahi seorang wanita tanpa pengetahuannya.

Lebih menyedihkan apabila pada masa itu dia sedang hamil anak pertama dan usia kandungan baru menginjak empat bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri bersengkang mata jaga anak sakit, suami tuduh berzina di wad sebab tutup langsir - “Lelaki macam ni nak cover kecurangan”

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri staf hospital mengaku berzina dengan rakan sekerja! Suami suri rumah sangsi anak siapa dalam kandungan

"Saya baru sahaja tahu dia dah berkahwin dengan isteri keduanya dan mempunyai seorang anak lelaki.

"Pada saya perkara yang amat memeritkan adalah masa dia kahwin tu saya sedang mengandung empat bulan. Beza antara anak saya dengan anak isteri kedua hanya empat bulan," rintihnya lagi.

Menurut wanita ini lagi, pernikahan kedua tersebut juga tidak diketahui oleh keluarga suaminya.

Bagaimanapun, abang iparnya datang bertemu dan membuat permohonan maaf bagi pihak suami selepas mengetahui perkara tersebut.

Sampai check-in maksudnya zina. Tunggu apa lagi? Kita memang tiada hak nak jatuh hukum tapi ada hak untuk selamatkan diri mental serta fizikal.

WARGA MAYA

"Abang ipar saya ada berjumpa dengan saya dan mohon maaf atas apa yang berlaku kerana mereka juga tidak maklum atas tindakan suami.

"Mereka minta saya untuk terima semua ujian ini dengan hati yang terbuka dan menganggapnya sebagai takdir," tambahnya yang turut mengakui telah tawar hati dengan sikap suami yang kaki perempuan.

Cuba menerima takdir yang tertulis, wanita ini bagaimanapun memilih untuk mengakhiri ikatan perkahwinan yang terjalin selepas merasakan dirinya sudah tidak diperlukan lagi.

Malah baginya, perpisahan adalah jalan terbaik bagi menjaga emosi serta kesihatan mental yang kian terjejas.

Antara reaksi warga maya pada pertanyaannya.

Antara reaksi warga maya.

"Saya minta berpisah bukan semata-mata sebab dia berkahwin, rasa dah penat sangat dalam hubungan rumah tangga yang selalu dikhianati.

"Saya maafkan dia curang atas dasar berharap dia berubah dan masih ada peluang untuk berubah tapi apabila sampai tahap berkahwin lain, maknanya saya dah tak diperlukan.

"Dia berkahwin dan berskandal dengan perempuan yang berbeza, tak mustahil perangai kaki perempuan dia tu belum hilang," luahnya lagi.

Kisah sedihnya itu mendapat perhatian warga maya dengan kebanyakannya meluahkan rasa simpati dengan situasi yang dilalui.

"Kalau suami tidak boleh berlaku adil, sebaiknya failkan saja fasakh di mahkamah. Anda juga berhak untuk bahagia walaupun bukan dengan suami sekarang.

"Hampir sama macam kisah saya cuma belum sampai berkahwin... mental saya koyak, rasa nak bunuh diri dan akhirnya kami bercerai.

"Sampai check-in maksudnya zina. Tunggu apa lagi? Kita memang tiada hak nak jatuh hukum tapi ada hak untuk selamatkan diri mental serta fizikal," ujar beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain