suria

Mengadu bisnes tak laku, pemuda pelik ibu suruh iklan servis komputer percuma! Kejadian lepas bantu pusat tahfiz paling tak sangka

Islam mengalakkan umatnya untuk bersedekah dengan apa jua cara. -Gambar hiasan

MENCARI rezeki sebagai seorang usahawan bukan mudah kerana sudah tentu ada jatuh bangunnya sendiri.

Begitu jugalah nasib seorang pengusaha kedai komputer yang terkial-kial mencari rezeki untuk keluarganya.

Menurut Abu Hurairah Roslan menerusi perkongsian di Facebook, perniagaan bisnes kedai komputer yang diusahakannya berdepan ujian setiap kali tibanya Ramadan.

"Nak masuk je Ramadan saya dah mula gelisah, tak tenang... rasa macam nak melaluinya tu payah.

"Bulan Ramadan la yang jualan dan pembaikian untuk komputer riba teruk. Lebih-lebih lagi kalau di Plaza Imbi, jaranglah ada yang datang untuk baiki dan beli komputer riba, seorang pun tiada.

abua

Abu Hurairah mengusahakan bisnes komputer.

"Disebabkan saya buntu tak tahu apa perlu saya lakukan, jadi saya hanya duduk dan beristighfar, meminta bantuan dari Allah.

"Kadang terfikir juga, ada baiknya bulan puasa ni aku berniaga di bazar. Kawan semua untung ribu-ribu. Siap boleh buat simpanan lagi sampai ke tahun depan," kongsinya di Facebook baru-baru ini.

Ketika dibelenggu kebuntuan dek kerana pendapatan terjejas, tanpa diduga Abu Hurairah dihubungi ibunya bagi bertanyakan khabar serta perniagaan komputer miliknya.

Mendengar keluhan si anak, ibunya mencadangkan agar dia cuba mengiklankan servis percuma kepada mereka yang memerlukan.

Namun pada mulanya dia mengeluh tanda tidak mampu untuk melakukan sedemikian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuasa sedekah, duit RM60 ‘beranak’ selepas belanja aunty sedang lapar! Kesian... Lama tunggu nak order tak ada siapa layan

ARTIKEL BERKAITAN:Tukang baiki laptop sanggup berhutang beli charger, wanita terselamat daripada dicaj RM450! Kedai lain kata ‘motherboard rosak’

"Dah la Ramadan bulan paling susah untuk menjual, nak buat servis secara percuma pula? Memang tidak la," katanya lagi.

Namun ibunya cuba meyakinkan Abu Hurairah agar percaya tentang ujian dan rezeki daripada Allah.

"Buatlah, bulan baik ni. Lain cara Tuhan nak hiburkan kita. Benda paling berat ni, belajarlah buat. Moga nanti jadi ringan," kata si ibu.

Akhirnya Abu Hurairah akur dengan nasihat ibunya untuk cuba berlapang dada dan memberikan perkhidmatan percuma kepada mereka yang memerlukan.

Ramadan kali ini lain benar Tuhan beri... saya dah niat andai ada lebihan rezeki, nak bagi untuk ahli keluarga sendiri.

ABU HURAIRAH ROSLAN

PENGUSAHA KEDAI KOMPUTER

Tidak lama selepas itu dia mendapat satu panggilan daripada sebuah pusat tahfiz di Negeri Sembilan yang memerlukan pertolongannya untuk memuat naik perisian ke dalam komputer yang baru sahaja mereka terima hasil daripada sumbangan.

Dengan hanya berbaki RM30 di dalam poket, dia bersetuju untuk membantu pusat tahfiz tersebut secara percuma walaupun lokasinya di Negeri Sembilan.

"Tengok minyak ada lagi, duit selebihnya saya jadikan untuk isi tol sahaja.

"Sampai sahaja saya di sana, saya lihat ada lima komputer yang perlu saya uruskan. Selepas selesai kerja saya, pengetua mereka datang jumpa. Dia ucapkan terima kasih kerana tolong, sebab tak ada seorang pun yang sudi datang membantu mereka, hanya aku sahaja.

"Terdetik dalam hati aku, aku balik ini tangan kosong, tak ada apa yang aku bawa untuk keluarga. Bertakung air mata, terus aku teringat Allah. Kalaulah bukan kerana Engkau, untuk apa aku buat semua ini? Berulang kali aku mengungkap perkataan yang sama," ujarnya lagi.

abu 2

Upah membaiki komputer riba agak mahal kerana tidak mudah untuk melakukannya. -Gambar hiasan

Namun keajaiban berlaku, Abu Hurairah menerima panggilan daripada pusat tahfiz yang dibantunya tadi sebelum dia tiba di rumah.

Dia diberitahu pihak penyumbang berasa ralat kerana pusat tahfiz terpaksa mendapatkan bantuan pihak luar bagi mengisi perisian komputer.

Justeru mereka meminta nombor akaunnya untuk membuat pembayaran di atas perkhidmatan yang diberikan.

"Demi Allah, banyak. RM1,000 saya dapat di pertengahan Ramadan. Di susuli pula dengan pesanan pasang komputer, servis di tahfiz yang lain, dan sampailah di hujung Ramadan tak henti-henti rezeki Allah beri.

"Ramadan kali ini, lain benar Tuhan beri. Saya dah niat daripada awal, andai ada lebihan rezeki, nak bagi untuk ahli keluarga sendiri.

"Saya nak bantu kawan-kawan yang sedang berjuang untuk terus hidup daripada hari ini sampai selepas Ramadan dan Syawal nanti," katanya menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain