PENIPU atau scammer sememangnya tidak berhati perut kerana mereka tak pernah ada rasa simpati terhadap sesiapa termasuk mangsa yang hidup susah. Menyedihkan apabila seorang ibu yang sakit dari sebuah keluarga asnaf dan menerima bantuan kebajikan turut terjerat dalam penipuan ini. Perkara itu didedahkan oleh personaliti media sosial, Mohd Fadli Salleh berdasarkan pengalamannya membantu keluarga asnaf. "Cerita bab kena tipu pelaburan ni, paling naya orang yang tak berapa ada duit yang kena. Senang cerita orang miskin. "Si ibu menghidap strok, kena pakai lampin pakai buang. Dapat bantuan bulanan daripada Baitulmal. Sesekali aku hantar barang makanan, lampin pakai buang dan seumpamanya," tulisnya di Facebook. Pulangan lumayan membuatkan ramai tertarik untuk membuat pelaburan. -Gambar hiasan Lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli, kiriman WhatsApp daripada wanita itu secara tiba-tiba pada suatu hari menimbulkan tanda tanya. "Dia WhatsApp minta pinjam duit, urgent katanya. Padahal baru dapat duit Baitulmal kot. Dia janji nak bayar segera. "Kurang tiga jam dia janji nak bayar balik. Aku pelik dah, terus aku tanya betul-betul. "Akhirnya dia mengaku join satu pelaburan ni," katanya sambil menambah wanita itu terlihat iklan pelaburan itu di laman sosial dengan tawaran pulangan berjumlah RM10,000. ARTIKEL BERKAITAN: Tak serik rugi, ada hati nak pinjam duit kawan RM30,000! Netizen kata sah kena tipu, siap kongsi cara nak perdaya scammer ARTIKEL BERKAITAN: Duit untung jual laksa habis beli seluar ’tight’ RM800, kawan kata mujarab untuk kesihatan... Pemuda syak ibu terjerat skim MLM! Jelas Cikgu Fadli, penerima bantuan itu terus 'dihidangkan' dengan perkongsian kisah keuntungan peserta lain menerusi aplikasi mesej Telegram. Terpengaruh dengan keuntungan yang dijanjikan, wanita itu menggunakan simpanannya termasuk wang bantuan zakat berjumlah kira-kira RM1,500 untuk tujuan pelaburan berkenaan. "Sampai hari dijanjikan, scammer tu kata ada masalah apa entah. Nak bagi lepas duit tu kena bayar RM300. Dia berhutang dengan sanak-saudara, masukkan lagi RM300. "Lepas tu scammer kata kena masukkan lagi RM800, baru bayaran penuh RM10,000 dapat dikeluarkan serta-merta," ujarnya. Wanita tidak dapat menahan kesediha di atas insiden yang menimpanya. -Gambar hiasan Mangsa yang termakan dengan pujukan itu kemudian membuat keputusan untuk meminjam wang daripada Cikgu Fadli. "Dia nak pinjam saudara-mara dia, mereka dah tak nak bagi. Rupanya dah banyak kali dia berhutang sebelum ni. Jalan terakhir dia adalah pujuk aku," ujarnya. Kasihan sangat bagi orang miskin dan terdesak, kena tipu pelaburan pula. MOHD FADLI SALLEH Cikgu Fadli bagaimanapun tidak meminjamkan wang seperti yang diminta dan menjelaskan secara baik bahawa ia sebenarnya perangkap skim pelaburan yang tidak wujud. "Aku bagitahu itu scammer. Takkan dapat RM10,000 tu walau masukkan RM800. Dia mati-mati kata betul. Aku berkeras tak nak bagi pinjam sampai dia merajuk dengan aku. "Aku ingat dia mengalah, rupanya dia betul-betul percaya akan masuk RM10,000. Dia berjaya pujuk kawan dia untuk pinjam RM800. "Kawan dia pun bukan jenis berduit. Duit yang bagi pinjam tu untuk kegunaan lain sebenarnya. Tapi dia janji bayar segera siap nak bayar lebih lagi, kawan dia setuju bagi pinjam," tambahnya. Ramai yang terjebak dengan skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud. -Gambar hiasan Namun seperti yang dijangka, makcik tersebut tidak mendapat wang sebagaimana yang dijanjikan. "Duit RM10,000 langsung tak dapat. Duit dia sendiri licin, hutang orang keliling. Menyesal tak sudah," katanya. Kata Cikgu Fadli lagi, dia bersimpati dengan nasib golongan susah yang terdesak untuk mendapatkan keuntungan berlipat ganda tetapi akhirnya menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud. "Serius kasihan sangat bagi orang miskin dan terdesak, kena tipu pelaburan pula. Dok berharap hari demi hari agar dapat balik duit dan keuntungan. "Sanggup tambah hutang sana sini sebab mereka betul-betul yakin duit pasti akan dapat. Akhirnya harapan tinggal harapan," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube