DALAM dunia ini ada manusia baik dan jahat, justeru kita perlu sering berdoa agar sentiasa dikelilingi serta dipertemukan dengan individu yang berhati mulia sahaja. Menerusi perkongsian oleh seorang guru di akaun Facebook miliknya, Muhammad Yusof, dia menceritakan kisah bertemu dengan insan jujur dan baik hati selepas selesai membeli barang. Kejadian berlaku ketika Yusof membeli beg plastik saiz besar di sebuah gedung perabot popular di Johor Bahru, Johor untuk mengisi barangan yang akan disumbangkan kepada asnaf. ARTIKEL BERKAITAN :Rezeki jumpa orang baik, telefon tercicir di surau boleh dapat balik... Paling istimewa dihantar sampai ke tempat kerja! ARTIKEL BERKAITAN: Mat Vespa jujur pulangkan laptop, duit dalam beg pun tak sentuh... Tauke kafe lega, janji nak belanja makan satu keluarga Ketika dalam perjalanan pulang dia mendapat panggilan daripada nombor yang tidak dikenalinya. "Sewaktu saya berada dalam kereta, tiba-tiba ada orang call saya banyak kali. Tapi saya tak kenal nombor itu, saya fikir mungkin scammer. "Sampai sahaja di rumah, mengucap panjang saya bila buka WhatsApp. Ada orang mesej saya, katanya dompet saya tercicir sewaktu membeli beg tadi. Terus saya hubungi semula nombor tersebut," ujar Yusof. Menurut Yusof, semasa dia menghubungi semula nombor itu, individu yang menjumpai beg miliknya sempat 'membebel' terhadap sikap cuainya. Tidak semua manusia mempunyai sifat jujur dalam diri. Difahamkan, individu tersebut menjumpai nombor telefonnya pada resit di dalam dompet, "Adik, saya jumpa dompet awak, dah la dalam dompet ada duit, pasport lagi, segala jenis kad, duit Thailand. Kenapa cuai sangat?" kata individu yang menjumpai dompet tersebut. Mereka kemudian setuju untuk berjumpa di suatu tempat namun, hanya bapa kepada individu yang menjumpai dompet tersebut yang hadir. Yusof lantas berterima kasih kepada pakcik berkenaan dan anaknya kerana sanggup 'menjejaki' dirinya untuk memulangkan dompet sambil dia menghulurkan sedikit wang tanda penghargaan. Saya ucapkan terima kasih kepada pakcik itu sambil hulurkan sedikit wang. Muhammad Yusof Bagaimanapun pemberiannya itu ditolak. "Saya ucapkan terima kasih kepada pakcik itu sambil hulurkan sedikit wang. Tapi pakcik ini beritahu tak perlu susah-susah, memang kalau jumpa barang yang bukan hak kita, kita kena pulangkan," kata Yusof. Kata-kata pakcik itu ternyata membuatkan Yusof sekali lagi tersentuh hati. Dia tidak menyangka masih wujud individu yang bersikap jujur pada masa kini justeru meminta semua yang membaca perkongsiannya mendoakan kesejahteraan pakcik berkenaan dan ahli keluarganya. Warganet juga turut meninggalkan pelbagai reaksi di ruangan komen. Antara komen yang ditinggalkan oleh netizen. "Alhamdulilah, semoga pakcik sekeluarga dan rakan yang lain semua dikurniakan sebaik-baik balasan dan sentiasa di dalam rahmat Allah. "Syukur, semoga pakcik sekeluarga dikurniakan kesihatan yang baik dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan rezeki yang berlipat kali ganda, Amin. "MashaAllah Alhamdulillah berjumpa dengan hamba Allah yang berhati mulia. Terima kasih banyak pakcik ya. Semoga Allah sahaja dapat membalas budi baik pakcik. Amin," komen dari beberapa netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube