suria

Timbunan sampah sembunyi cerita lara... Ini kisah sebenar di sebalik rumah kotor dihuni keluarga asnaf

Keadaan ruang dalam rumah yang kelihatan seperti 'tongkang pecah'.

PERJALANAN hidup seseorang itu berbeza-beza mengikut suratan takdir yang sudah tertulis untuknya.

Demikian itu, tidak wajar untuk kita cepat menghukum seseorang tanpa mengetahui apa yang sudah dilalui mereka.

Baru-baru ini tular hantaran di laman Facebook, membabitkan sebuah rumah dikatakan milik keluarga asnaf yang dilihat berantakan dan dalam keadaan serba daif bagai dilanggar garuda.

Keadaan sebuah rumah asnaf yang tidak tercapai dek akal.

Menerusi hantaran tersebut, seorang kontraktor pembersihan meluahkan rasa kesal melihat keadaan rumah terbabit yang tidak terurus.

"Termenung apabila melihat rumah asnaf yang harus kami cuci ini. Memerhatikan keadaan rumahnya, hanya Allah sahaja tahu apa yang terdetik dalam hati," ujar lelaki itu.

Untuk rekod, asnaf merupakan golongan yang layak menerima zakat hasil kutipan daripada umat Islam, terbahagi kepada beberapa kategori seperti fakir, miskin dan mualaf.

Pendedahan berkenaan mengundang rasa geram dalam kalangan warga maya yang mengaitkan sikap pengotor dan status keluarga itu sebagai asnaf.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah la miskin, pengotor pula! Asnaf tunjuk perangai buruk, tinggal rumah sewa penuh sampah sarap... Siap block tuan rumah

ARTIKEL BERKAITAN: Asnaf buat perangai, 7 kali kena halau tuan rumah... Zakat Selangor terpaksa jawab, dituduh biar Abang Kasturi tinggal bawah jambatan

"Ini namanya pemalas, rumah hantu lagi bersih. Miskin atau papa kedana bukan tiket untuk menjadi pengotor, sikap pembersih itu lahir daripada jiwa kita sendiri.

"Miskin dan pengotor itu dua perkara berbeza, kebersihan merupakan sebahagian daripada cara hidup, atas pilihan kita. Sementara miskin mungkin di luar kawalan kita, takdir kehidupan," selar sebahagian warga maya.

Walaupun begitu, di sebalik kecaman yang bertali arus itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Skuad Prihatin Kemiskinan (SPK) tampil menjelaskan situasi sebenar.

Menerusi perbualan telefon dengan mStar, seorang pegawai SPK yang enggan identitinya didedahkan berkata keluarga asnaf tersebut diuji bertimpa-timpa.

Akhir kata, kami juga berterima kasih kepada mereka yang memilih untuk bersangka baik terhadap keluarga asnaf ini.

PEGAWAI SPK

"Asnaf tersebut memeluk Islam selepas berkahwin dengan seorang lelaki Melayu. Namun dia dan enam orang anaknya didera oleh keluarga suami sehingga dia terpaksa membawa lari mereka sekeluarga ke tempat lain, demi keselamatan.

"Tahap penderaan yang dialami mereka agak teruk, sampai lebam-lebam badan dan tidak mampu berjalan. Anak-anaknya juga dihalang ke sekolah. Ketika semua ini berlaku, si ayah sedang terlantar sakit di hospital, penyakit jantung kritikal.

"Maka mereka sehelai sepinggang masuk ke sebuah rumah kosong di sekitar Rawang, Selangor. Mereka langsung tidak mempunyai duit untuk membeli perabot dan kelengkapan rumah, jadi mereka mencari barang di tempat pelupusan sampah.

"Apa sahaja yang dirasakan masih elok dan boleh digunakan akan dibawa pulang ke rumah. Oleh sebab itulah rumah mereka nampak sangat kotor, berbau dan buruk," jelas pegawai SPK itu.

Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, nasib keluarga itu bertambah tragis apabila kehilangan bapa yang menjadi tempat mereka bergantung harap.

"Status anak-anak itu bertukar anak yatim setelah ayah mereka dijemput Ilahi. Tidak lama kemudian, si ibu pula menderita sakit kaki yang serius. Tapak kakinya berlubang sehingga sukar bergerak.

"Anak-anak itu hilang tempat pergantungan, tiada hala tuju dan sesiapa untuk membimbing mereka. Apa yang mereka tahu adalah untuk terus mengutip barang daripada tempat sampah bagi dijadikan mainan di rumah.

"Antaranya adalah patung beruang lusuh yang dimiliki si adik berusia 5 tahun. Manakala si abang yang berusia 12 tahun pula gemar mengambil tayar-tayar buruk untuk membaiki basikal kesayangan yang pernah dihadiahkan kepadanya.

Keadaan rumah asnaf itu yang kini jauh lebih kemas dan teratur.

"Inilah sebab rumah mereka nampak sungguh bersepah. Hanya abang sulung berusia 17 tahun yang berusaha mencari duit bagi membantu ibunya. Dia bekerja sebagai buruh kasar. Juga rajin solat orangnya," kata pegawai SPK berkenaan.

Menutup bicara, pegawai SPK itu dan pasukannya berjanji untuk terus membantu keluarga tersebut semampu yang boleh.

"Rumah mereka kami sedang bersihkan dan sementara itu mereka sekeluarga ditempatkan di homestay. Pihak SPK akan bekalkan mereka makanan bulanan dan perbelanjaan yang diperlukan untuk kehidupan selesa.

"Ketika kami beramah mesra dengan mereka, dua daripada anak-anak itu memberitahu cita-cita untuk menjadi ustaz dan ustazah. InsyaAllah kami akan adakan kelas-kelas pengajian untuk mendekatkan mereka lagi dengan Allah.

"Kami doakan supaya mereka dibesarkan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah supaya boleh membantu ibu bapanya di dunia dan akhirat.

"Akhir kata, kami juga berterima kasih kepada mereka yang memilih untuk bersangka baik terhadap keluarga asnaf ini," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain