suria

Aliff Rakib ‘fighter’ muay Thai ‘balas dendam’ rai lebaran di Kelantan... Elak kisah tahun lepas berulang!

Aliff beraya bersama keluarga di Rantau Panjang, Kelantan.

MENJELANG sambutan Hari Raya Aidilfitri, anak-anak perantau yang berada di seluruh dunia pastinya akan berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman tercinta.

Menurut bintang Muay Thai remaja negara, Aliff Rakib, 20, dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk balik beraya bersama keluarga di Rantau Panjang, Kelantan.

Aliff atau nama sebenarnya Ahmad Nor Iman Aliff Rakib berkata, dia mahu 'membalas dendam' untuk meraikan lebaran di kampung selepas terpaksa berjauhan dengan keluarga ketika 1 Syawal tahun lalu.

aliff 3

Aliff terpaksa berjauhan dengan keluarga pada pagi Syawal tahun lalu.

"Ketika raya tahun 2023, saya ada pertandingan di Bangkok, Thailand. Agak mencabar sebenarnya. Orang lain tengah bersedia nak raya. Tapi saya ada perlawanan Muay Thai pada malam sebelum raya.

"Esoknya pada hari raya pertama saya balik ke Malaysia. Tapi pada masa itu, saya lewat tiba ke kampung. Tak sempat nak raikan pagi 1 Syawal pertama bersama keluarga.

"Jadi raya tahun ini, saya nak 'balas dendam' beraya dengan keluarga. Walaupun saya ada perlawanan di Bangkok pada 5 April, tapi saya balik Malaysia pada 7 April," ujarnya kepada mStar.

Saya tak sempat fikir persiapan raya sebab fokus untuk perlawanan... latihan dalam bulan puasa sangat mencabar.

ALIFF RAKIB

Menurut Aliff lagi, dia juga langsung tidak membuat sebarang persiapan untuk Hari Raya Aidilfitri kali ini dan menyerahkan hal itu 100 peratus kepada keluarganya di kampung.

"Saya mungkin cuti raya dalam seminggu atau dua minggu. Tapi daripada segi persiapan tu, saya serahkan pada keluarga sepenuhnya. Saya rasa mereka dah sediakan semuanya.

"Saya tak sempat fikir persiapan raya sebab fokus untuk perlawanan 5 April. Apatah lagi latihan dalam bulan puasa sangat mencabar," ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

ARTIKEL BERKAITAN: An Najwa nak raya sakan di kampung, "Dulu tangkap ayam guna tangan je, tak takut pun"

ARTIKEL BERKAITAN: Johan Ghazali mahu ambil lesen selepas sambut birthday, kongsi kisah ‘aiskrim’ sejurus menang kontrak ONE Championship

Tambah Aliff, dia juga tidak sabar untuk menikmati rendang dan lemang sepanjang bulan Syawal, di samping meluangkan masa dengan keluarga dan rakan-rakan.

"Saya sebenarnya 'bedal' je semua makanan. Tapi yang paling digemari ketika raya tentulah rendang dan lemang. Yang paling penting, saya rancang untuk balik dan santai-santai saja kali ni," ujarnya lagi.

Mengenai kerjanyanya, Aliff berkata dia baru sahaja memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM475,450) daripada One Championship pada November tahun lalu.

aliff 4

Aliff mahu melihat kemunculan lebih ramai bintang Muay Thai dari Malaysia.

Enggan mudah berpuas hati, Aliff berkata perjalanannya dalam sukan Muay Thai masih jauh lagi, malah dia berharap untuk terbang lebih tinggi dalam arena yang diceburi.

Menurut Aliff lagi, dia menjadikan bapanya, Rakib Ahmad yang juga bekas petinju negara sebagai inspirasi utamanya.

"Bapa saya adalah inspirasi saya. Kalau boleh saya nak raih lebih banyak kejayaan berbanding bapa. Walaupun dia tak cakap apa-apa, saya tahu dia bangga.

aliff 5

Aliff mahu mengorak langkah lebih jauh dalam sukan yang diceburinya.

"Dalam adik-beradik, hanya saya dan abang yang ceburi bidang ini. Sejak umur 14 tahun saya berlatih dan menimba pengalaman di Bangkok. Sekarang umur saya dah 20 tahun.

"Saya juga sangat gembira dengan sokongan rakyat Malaysia terhadap Muay Thai. Bukan setakat saya dan Johan Ghazali (Jojo) tapi saya harap lebih ramai atlet Muay Thai Malaysia dapat dilahirkan," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain