suria

Jalan sesak teruk, cuaca panas... Belia kampung agih tembikai kepada anak perantau pulang beraya, harap tak serik balik Terengganu!

Belia Kampung Beris Tok Ku mengagihkan tembikai kepada pengguna jalan raya ketika sesak, Sabtu lalu.

PENANGAN Aidilfitri tahun ini menyaksikan lebuhraya utama serta kebanyakan jalan raya mengalami kesesakan luar biasa, lebih-lebih lagi apabila cuti raya hampir berakhir.

Ada yang tersadai sehingga berbelas-belas jam lamanya di atas jalan raya sebelum tiba ke destinasi yang dituju.

Sudah pastinya situasi ini mengundang keletihan serta rasa tidak selesa akibat 'tersangkut' dalam tempoh yang begitu lama.

Memahami 'kesengsaraan' yang dialami mereka yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, sekumpulan belia dari Kampung Beris Tok Ku, Setiu, Terengganu berkongsi rezeki dengan mengagihkan potongan buah tembikai kepada pengguna jalan raya yang lalu di kampung mereka.

Video yang memaparkan kumpulan belia berkenaan memotong buah tembikai dan berdiri di tepi jalan untuk mengagihkannya kepada pengguna jalan raya menjadi tular sekali gus mengundang pujian ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Raya punya hal, 25 jam harung jalan sesak... lapar dan dahaga ‘tak boleh bincang’! Gadis syukur jumpa orang Terengganu baik hati

ARTIKEL BERKAITAN: Jalan sesak kereta tak bergerak depan rumah, sekeluarga cari pahala tawar tandas percuma! Ada yang check-in macam homestay

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda bernama Aiman Yazid yang merupakan salah seorang daripada kumpulan belia berkenaan berkata, video tersebut dirakam pada Sabtu ketika jalan raya di kampungnya sesak teruk kerana kebanyakan anak perantau sudah beransur-ansur meninggalkan kampung halaman.

tembikai 2

Belia Kampung Beris Tok Ku bekerjasama memotong dan mengagihkan buah tembikai kepada pengguna jalan raya.

"Sebenarnya ini kali kedua kami buat inisiatif macam ni. Tahun lepas saya dan beberapa orang rakan edar minuman.

"Tahun ni kebetulan kebun tembikai kawan keluarkan hasil. Dia pun berniaga tepi jalan yang sesak tu. Kiranya ni idea dia, sedekahkan tembikai kepada pengguna jalan raya.

"Lagipun sekarang pun musim panas... mestilah penat, dahaga. Jadi alang-alang tu, kita berkongsi rezeki," ujar lelaki berusia 32 tahun ini.

Senang disapa sebagai Aiman, menurutnya agihan dilakukan bermula sekitar jam 2 petang sehingga 7 petang.

Selain ucapan terima kasih dan selamat hari raya, ada juga antara mereka siap bagi kami duit raya.

AIMAN YAZID

"Anggaran buah tembikai yang kami agihkan tu sekitar 2,000 kilogram.

"Seronok tengok pengguna jalan raya buka tingkap untuk ambil buah tembikai dengan wajah yang gembira.

"Selain ucapan terima kasih dan selamat hari raya, ada juga antara mereka siap bagi kami duit raya," ujarnya.

Aiman yang juga pemilik Restoran Pak Kancil Patin Tempoyak di kampungnya berkata, jalan utama tersebut sememangnya akan mengalami kesesakan luar biasa setiap kali musim perayaan, lebih-lebih lagi berdekatan dengan Pantai Penarik yang menjadi kawasan tarikan ramai.

"Selalunya dari kampung kami ke Pantai Penarik sekitar 10 minit perjalanan saja. Tapi penangan raya, makan masa hingga tiga jam lamanya.

"Apa pun kepada anak perantau, jangan serik balik kampung. kita Kita jumpa raya Haji nanti," akhirinya.

tembikai 3

Aiman merupakan salah seorang belia yang turut membantu mengagihkan buah tembikai baru-baru ini.

Untuk rekosd, video yang dimuat naik Aiman di laman TikTok meraih 1.8 juta jumlah tontonan.

Malah di ruangan komen, rata-rata warga maya memuji belia kampung berkenaan yang bermurah hati berkongsi rezeki dengan anak perantau.

"Terengganu memang best. Perantau pulang ke kampung disambut, nak tumpang tandas pun bagi. Ini sedekah tembikai pula.

"Orang pantai timur memang baik-baik belaka. Nak calon seorang!

"Saya salah satu daripada kenderaan yang dapat. Terima kasih semua. Anak saya suka sangat bila dapat tembikai," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain