suria

Ganjaran ‘terpijak’ di tangga masjid... Peniaga laptop tak jangka ajakan pakcik tak dikenali solat Zohor berjemaah buka pintu rezeki!

Seorang penjual komputer riba berehat dan menunaikan solat di masjid. -Gambar hiasan

BUKAN senang nak senang, bukan susah nak susah.

Demikian ungkapan yang sering diperkatakan mengenai usaha dan pengorbanan untuk berjaya.

Bagi yang pernah merasai kesusahan, pasti sentiasa mengenangkan momen itu yang menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup.

Mengimbas kembali pada awal pembabitannya dalam dunia perniagaan, seorang penjual dan tukang baiki komputer riba mengakui berdepan kesukaran untuk menjual gajet itu meskipun untuk seunit.

Seorang peniaga menjual komputer riba secara langsung kepada pelanggan. -Gambar hiasan

Menurut Muhammad Abu Hurairah Roslan, dahulunya dia menjual semua komputer dan komputer riba secara langsung kepada pelanggan dengan menaiki bas dari Rawang, Selangor ke rumah mereka di Kuala Lumpur.

"Pelanggan bagi alamat, saya naik bas. Kadang perhentian bas jauh, saya jalan kaki ke rumah pelanggan. Berpeluh-peluh bawa komputer dan laptop.

"Selesai tu, patah balik ke perhentian bas tunggu bas patah balik semula ke Plaza Imbi dan Plaza Low Yat di Kuala Lumpur. Dapat order, naik bas semula," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah luah emosi masa tazkirah, satu surau senyap ustaz mengalir air mata.... Rupanya ‘senasib’ nak 10 akhir Ramadan baru dapat job

ARTIKEL BERKAITAN: 10 tahun tak ibadat, bisnes kencang bazar Ramadan jatuh merudum! Suami isteri malu, baru sekali baca al-Quran Allah beri semula nikmat

Menerusi perkongsian di Facebook, Abu Hurairah berkata dia pernah berdepan dengan insiden yang mana pelanggan membatalkan tempahan ketika dia hampir tiba di lokasi yang dipersetujui.

"Hampa, dengan satu pesanan ringkas sahaja 'tak jadi beli'. Di tangga masjid tu saya rasa nak hempas laptop ke tanah.

"Geram! Dahlah jauh. Untung yang dapat bukanlah banyak mana. 30 minit naik bas berhenti-henti. Ni nak patah balik lagi," ujarnya yang pada ketika itu berhenti rehat di sebuah masjid.

Ramai hadir untuk solat berjemaah. -Gambar hiasan

Tiba-tiba azan berkumandang menandakan waktu Zohor sebelum dia didatangi seorang lelaki yang menegurnya yang pada ketika itu berada di tangga masjid kerana keletihan.

"Dia pegang bahu, 'nak, jom. Allah dah panggil tu'. Tersentak saya. Habis solat saya masih di tangga, merenung susahnya kerja ni.

"Rasa nak tukar kerja lain je. Tapi susah nak dapat kerja masa tu. Banyak yang saya fikirkan, anak-anak yang memerlukan belanja.

"Rumah perlu dibayar sewa. Kereta pun belum ada. Pinjam-meminjam saja," katanya.

Engkaulah yang menjadikan kami berani untuk berdepan dengan kenyataan hidup.

MUHAMMAD ABU HURAIRAH ROSLAN

Abu Hurairah kemudian sekali lagi dikejutkan dengan pakcik yang sama, dan kali ini jemaah masjid itu bertanyakan tentang punca dia kelihatan bersedih.

"Saya kesat air mata. Tak ada apa pakcik. Penat. Satu ayat dia yang dikeluarkan, 'kita kan baru jumpa Allah... bercakap dengan Dia. Rehatlah, duduk kat pondok depan tu sejuk sikit'," katanya yang mengimbas kata-kata pendek dan ringkas, tapi amat mendalam.

Beg besar mengandungi beberapa unit komputer riba yang dibawanya pada hari itu untuk dijual menarik perhatian jemaah berkenaan.

"Ada laptop, saya jual laptop. Nak hantar kat taman depan tu tapi orang tak jadi beli," ujarnya.

Abu Hurairah berkongsi pengalamannya di awal pembabitannya dalam bisnes gajet.

Sejurus selepas itu Abu Hurairah berkata pakcik itu mempelawanya ke pejabat di masjid dan di sana terdapat beberapa ahli jawatankuasa (AJK) sedang duduk.

Secara kebetulan, mereka sedang mencari komputer riba kerana gajet yang sedia ada sudah lama selain mengalami pelbagai masalah.

"Saya buka beg dan letak beberapa unit yang ada. Mereka tengok dan berpuas hati, terus beli. Saya pandang pakcik tu. Senyuman dialah yang menguatkan saya hari itu.

"Terima kasih Allah. Yang selalu menguatkan diri ini selalu. Moga Engkau menjadikan hati-hati kami ini tidak takut dan gentar dengan dunia.

"Engkaulah yang menjadikan kami berani untuk berdepan dengan kenyataan hidup," katanya yang kini mengusahakan kedai komputer di Plaza Imbi, Kuala Lumpur

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain