suria

Rasa diri hebat 7 kali khatam kitab, jemaah angkuh ‘dibasuh’ selepas perlekeh sumber rujukan ustaz di masjid

Setiap individu tidak sepatutnya angkuh dengan ilmu yang dimiliki. -Gambar hiasan

IKUT resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Pepatah di atas sesuai untuk mereka yang sentiasa merendah diri walaupun dirinya hebat, berilmu dan berada di kedudukan tinggi.

Melalui satu hantaran di laman X, seorang penceramah agama berkongsikan pengajaran selepas berdepan dengan jemaah masjid yang dianggap biadab dalam sesi kuliah.

Majlis ilmu perlu dihadiri dengan hati yang terbuka. -Gambar hiasan

Menurutnya, jemaah terbabit merupakan seseorang yang mendalami ilmu agama dan sudah beberapa kali menghabiskan pengajian kitab.

"Hari ni kali pertama dapat soalan kurang ajar daripada jemaah di sebuah masjid yang saya tak mahu dedahkan. Waktu tu saya dah di penghujung kuliah, tiba-tiba ada seorang jemaah ni bangun dan tanya soalan.

"Kami di sini dah tujuh kali khatam kitab yang tebal dinamakan sebagai Sabilal Muhtadin, kenapa ustaz masih guna kitab yang nipis tu? Demikian soalan jemaah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah surau ‘basuh’ penceramah, melenting disuruh henti kejar harta dunia - “Cakap senang la, ustaz ada semua”

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah luah emosi masa tazkirah, satu surau senyap ustaz mengalir air mata.... Rupanya ‘senasib’ nak 10 akhir Ramadan baru dapat job

"Saya pun dengan perlahan-lahan tanggalkan mikrofon dari tengkuk ni dan letakkan atas meja, saya cuba bertenang. Tak mahu satu kampung dengar perbualan saya dengan jemaah tu.

"Memandangkan jemaah ni dah tujuh kali khatam kitab, rasanya tak salah untuk saya uji sikit dengan soalan fiqah," kata penceramah itu.

Penceramah tersebut kemudian bertanyakan beberapa soalan berkaitan rukun solat.

Mengajar orang yang lebih tua ni sangat susah, mereka lihat kita ini seperti budak mentah yang tiada pengalaman.

WARGA MAYA

"Mula-mula saya tanya, apakah yang perlu dilakukan kalau imam tertinggal tahiyat awal, adakah makmum perlu ikut imam atau hanya kekal duduk?

"Makanya jemaah tu dengan yakin menjawab, ucap sahaja Subhanallah untuk beritahu ada berlaku kesalahan, nanti imam turun. Salah tu tuan haji, tahiyat awal bukan sebahagian daripada rukun solat, sekadar sunat Ab'adh.

"Tindakan yang sebetulnya adalah untuk teruskan solat seperti biasa, tapi sebelum imam beri salam, buat sujud sahwi. Saya tanya pula soalan kedua, apa hukum kalau imam tak lakukan sujud sahwi tapi tiba-tiba makmum buat?

"Sekali lagi jemaah tu salah jawab soalan walaupun sudah tujuh kali khatam kitab. Hukumnya solat batal kerana bercanggah dengan perbuatan imam. Apa yang imam buat, makmum harus ikut," ujar penceramah tersebut kesal.

Kekeliruan dalam hukum-hakam solat sering berlaku. -Gambar hiasan

Penceramah itu seterusnya menitipkan pesanan kepada orang ramai supaya tidak berasa sombong dengan ilmu yang dimiliki.

"Tiada keperluan untuk kita berasa angkuh dengan ilmu. Setelah saya selidik, baru tahu yang jemaah tu terkenal dalam kariah sebagai seseorang yang suka mencelah dan soalannya pula tiada adab.

"Kali pertama saya terkena begini, saya cuba sabarkan hati. Nak mengajar orang tua ni hati kena kental, perangai bebudak sungguh," katanya menutup bicara.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, warga maya berasa puas hati kerana penceramah itu tidak gentar untuk mempertahankan dirinya.

Perbincangan di ruangan ciapan balas.

"Terima kasih ustaz kerana ‘basuh’ jemaah tersebut dengan penuh adab. Mengajar orang yang lebih tua ni sangat susah, lagi-lagi yang berjawatan. Mereka lihat kita ini seperti budak mentah yang tiada pengalaman.

"Antara cabaran dakwah yang perlu dihadapi masa sekarang. Sentiasa beringat, ilmu yang kita ada di dunia ni boleh diibaratkan seperti setitis air daripada yang di lautan.

"Jangan merasakan diri kita ni lebih daripada orang lain, pasti ada perkara baharu yang kita boleh pelajari setiap hari," kata sebahagian pelayar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain