suria

‘Kaki masjid’ meninggal sendirian di rumah, mujur jiran prihatin! Ustaz imbas kisah nyaris jatuh balkoni, jirannya pantas bantu

Kisah jiran yang tinggal di sebuah pangsapuri dan jiran yang sering ke masjid memberi pengajaran. -Gambar hiasan

MAHUKAN rasa tenang dan harmoni merupakan impian mereka yang tinggal di kawasan perumahan dikelilingi jiran-jiran.

Selain itu, mempunyai jiran prihatin juga adalah rezeki kerana jiranlah orang terdekat yang akan membantu jika kita dilanda kesusahan.

Penceramah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkongsi kisah mengenai jirannya sewaktu dia berusia tiga tahun.

Low cost flats people living condition. photo taken at Flat Sri Sabah in Cheras.(14 /12/2022). —AZHAR MAHFOF/The Star

Hidup berjiran saling bantu-membantu dan menghormati. -Gambar hiasan

Lebih dikenali Ustaz Hanafi, katanya, dia sebenarnya berhutang nyawa dengan seorang jiran.

"Ada satu balkoni yang ada penghalang besi. Satu hari, keluarga ustaz tak sedar ustaz berjalan ke balkoni seorang diri. Umur tiga tahun, memang tak tahu apa-apa.

"Apa berlaku, ustaz hulurkan kaki dan badan. Dah keluar separuh badan tapi mujur tersangkut pada penghadang besi. Bila dah tersangkut tu ustaz meraung," katanya sambil menambah ketika itu keluarganya tinggal di kediaman pangsapuri.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz terkejut pendedahan ketua gengster, syarat nak jadi ahli kongsi gelap tak boleh derhaka dengan mak ayah

ARTIKEL BERKAITAN: Ganjaran ‘terpijak’ di tangga masjid... Peniaga laptop tak jangka ajakan pakcik tak dikenali solat Zohor berjemaah buka pintu rezeki!

Berkongsi cerita itu di Facebook, Ustaz Hanafi berkata tangisannya didengari jiran sebelah rumah sekali gus membuatkan dia tergerak hati untuk memeriksa apa yang berlaku.

"Takdir Allah, jiran sebelah rumah dengar ustaz menangis kuat. Dia cepat-cepat datang ke rumah dan terus masuk untuk selamatkan ustaz.

"Alhamdulillah, Allah masih beri rezeki untuk hidup. Allah datangkan jiran yang baik untuk bantu," katanya.

Seorang jiran rajin ke masjid untuk solat berjemaah. -Gambar hiasan

Selain kisah jirannya yang baik itu, Ustaz Hanafi turut bercerita mengenai seorang kenalannya di masjid yang tinggal bersendirian.

Walaupun rumah kenalannya itu tidak mempunyai penghuni lain, namun ada suatu masa jirannya dapat merasakan rumah tersebut lebih sunyi daripada kebiasaan.

Bagi Ustaz Hanafi pula, dia agak pelik apabila tidak melihat kelibat rakannya itu di masjid seperti biasa yang mana ketika itu hampir menjelang 1 Syawal.

Jangan tak kenal siapa jiran kita. Jangan langsung tak ambil tahu urusan jiran.

USTAZ HANAFI

PENCERAMAH BEBAS

Dia menyangka kenalannya itu sudah pulang ke kampung untuk beraya.

"Tapi selepas hari raya, jirannya terhidu bau yang pelik. Jiran pun panggil polis untuk pecah masuk rumah. Rupanya dia dah meninggal dunia di rumah beberapa hari sebelum itu.

"Alhamdulillah, inilah pentingnya peranan jiran. Sedar apa yang berlaku pada jiran," katanya sambil menambah mempunyai jiran yang baik merupakan rezeki yang besar.

Ajal dan maut itu adalah ketentuan Tuhan. -Gambar hiasan (SPJM)

Mengulas lanjut, Ustaz Hanafi berkata, jiran sebenarnya merupakan individu paling dekat selepas keluarga kerana mereka menjadi tempat untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

Justeru katanya, setiap individu perlu menjadi jiran yang baik sekiranya mahu mendapat jiran yang juga berbudi dan prihatin.

Menerusi hantaran sama di Facebook, Ustaz Hanafi turut berkongsi beberapa tip 'jangan' yang boleh dielakkan untuk menjadi jiran yang baik.

"Jangan tak kenal siapa jiran kita. Kenali mereka dan keluarga mereka. Jika ada kecemasan, mudah untuk kita berhubung dengan keluarga mereka.

"Jangan langsung tak ambil tahu urusan jiran. Ambil tahu sakit demam mereka. Ziarah dan bantu apa yang perlu.

"Jangan biarkan jiran tidur dalam kelaparan. Bila berjiran dengan orang susah, bantu mereka apa kita mampu. Hulurkan makanan buat mereka," katanya.

kaki masjid 1

Ustaz Hanafi berkongsi kisah masyarakat yang memberi pengajaran dan keinsafan.

Selain itu, Ustaz Hanafi berpesan supaya tidak menjadikan rumah jiran seperti rumah sendiri, kerana jiran perlu dihormati termasuk menjaga privasi mereka.

Turut penting dalam adab berjiran, katanya, jangan menyusahkan jiran atau melakukan perkara yang tidak disukai mereka serta jangan menyebarkan aib.

"Bila kita tutup aib orang, Allah akan tutup aib kita. Dan jangan bandingkan hidup kita dengan jiran. Bersyukur apa adanya, setiap orang ada rezeki masing-masing.

"Bila kita amalkan, insyaAllah hidup kita akan tenang dan tenteram," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain