suria

Teringin ayam penyet dari sebelum puasa, hujung raya baru dapat makan! Usaha bapa ‘jual’ kisah kemiskinan tak sia-sia

Kisah Hafizh sekeluarga mendapat perhatian pihak berwajib.

MEMBAYANGKAN anak-anak kecil yang hanya makan sehari sekali, dengan nasi cuma berlaukkan telur goreng selama berhari-hari tentunya mengundang sebak.

Begitulah kehidupan keluarga ini namun mereka tetap bersyukur kerana tidak sampai ke tahap kebuluran makanan seperti mana yang berlaku di luar negara.

Mencari rezeki dengan menjual serunding, Hafizh Khan Amiruddin Khan tidak menyangka kisah mengenai kesulitan hidup keluarganya akan mendapat perhatian masyarakat.

Bapa kepada tiga anak itu bersyukur apabila menerima sumbangan sebanyak RM5,000 daripada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (Yayasan Taqwa), anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).Mengulas mengenai sumbangan itu, dia yang mesra disapa Hafizh mengakui terkejut apabila ada pihak yang tampil membantu dan sudi mendengar keluhannya ketika dia tidak menerima sokongan daripada keluarga sendiri.

"Rasa sebak dan terharu. Kami suami isteri menitis air mata kerana walaupun mereka pihak berwajib, tapi layanan dan kesungguhan mereka seperti darah daging sendiri.

"Sumbangan ini akan saya gunakan untuk bayar tunggakan rumah sewa, tunggakan bil elektrik dan air. Manakala sebahagian lagi untuk perbelanjaan anak-anak ke sekolah dan modal untuk berniaga," katanya kepada mStar.

Hafizh yang berasal dari Ampang, Selangor berkata, sumbangan yang diterima turut menaikkan semangatnya untuk terus mencari rezeki dengan berniaga.

"Benarlah 9/10 rezeki datang daripada berniaga. Dengan saya mula kembali berniaga di tepi jalan itulah, kisah saya mendapat perhatian pihak berwajib.

"Saya cuba selesaikan tunggakan sebelum ini. Fokus berniaga sepenuh masa. Sama ada jualan biasa atau jualan amal," ujarnya yang menetap di Rawang.

Hafizh (kiri) mencari rezeki dengan berniaga serunding.

Untuk rekod, kisah Hafizh pernah disiarkan di mStar pada Februari lalu apabila dia sanggup menebalkan muka menjaja kisah keluarganya yang hidup susah dan ibunya yang sakit ketika berniaga.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa 3 anak ‘jatuh terduduk’ diuji! Rela jual serunding, tebal muka cerita kesusahan hidup asalkan tak meminta

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai terbakar, kemudian motor akhir sekali rumah... Suami isteri rayu bantuan teruskan hidup, 3 anak tiada baju raya

Tangkap layar artikel mStar mengenai Hafizh itu juga dipaparkan dalam video yang dimuat naik di laman sosial milik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar pada Isnin.

Mohd Na'im menyampaikan sendiri sumbangan tersebut kepada Hafizh, pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Mengimbas kembali pengalaman berniaganya ketika Ramadan lalu, dia terpaksa akur terdapat banyak persaingan apabila menjalankan bisnes di bandar.

Mohd Na'im (baju Melayu krim) mendengar luahan Hafizh.

Malah katanya, kuasa membeli pula kurang dengan keadaan ekonomi sekarang, sambil menambah kadar sewa tapak pula dinaikkan.

"Namun, kena gagahkan diri juga. Apa yang boleh 'kredit', saya buat dulu. Niaga dulu baru bayar sewa tapak. Minta hutang barang dan bahan mentah untuk masak serunding.

Terima kasih kerana cakna dengan masalah rakyat dan golongan seperti kami yang berada dalam kesempitan dan kesusahan.

HAFIZH KHAN AMIRUDDIN KHAN

"Saya minta pembekal hantar dulu stok kurma, dah terjual baru bayar. Dengan duit sikit-sikit yang ada di tangan, cukup untuk makan minum, dan ulang-alik dari rumah ke tempat niaga.

"Sebab masa Ramadan dan Syawal je boleh niaga yang okay berbanding bulan-bulan lain sebab jual makanan bermusim. Masa ni kena kejar (jualan) dan struggle habis-habisan," katanya lagi.

Keluarga ini bersyukur menerima sumbangan daripada pihak berwajib.

Mengulas lanjut, Hafizh juga mahu mencari tempat tetap untuk berniaga dan mempelbagaikan produk jualan pada masa akan datang seperti kurma, kekacang, kerepek, nasi lemak dan kuih-muih.

Dalam pada itu, jelas Hafizh lagi, anak-anaknya pastinya gembira menerima sumbangan itu kerana permintaan mereka dapat ditunaikan.

"Dari sebelum Ramadan lagi, anak-anak teringin nak makan yang sedap iaitu nasi kandar dan ayam penyet. Jadi, saya nak bawa mereka makan.

"Oleh itu, kami dengan rendah diri ingin berterima kasih kepada pihak Menteri Agama dan Yayasan Taqwa kerana cakna dengan masalah rakyat dan golongan seperti kami yang berada dalam kesempitan dan kesusahan. Sedikit bagi kalian, besar kami," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain