suria

Sugul, jalan menonong dipanggil sarung cincin... Wanita nafi dipaksa bertunang, cuma beremosi hal adik beradik

Utty tidak dapat mengawal emosi kerana kakak dan abangnya tidak dapat hadir majlis pertunangan.

BAGI masyarakat Melayu, merisik dan bertunang sebelum majlis perkahwinan diadakan sudah menjadi adat yang diamalkan sejak dahulu lagi.

Mengikat tali pertunangan secara tidak langsung membuka ruang buat pasangan bercinta lebih mengenali hati budi satu sama lain dan membuat perancangan menuju gerbang perkahwinan.

Bagi individu yang bakal bertunang, sedikit sebanyak pasti akan berasa sedih sekiranya ahli keluarga tersayang tiada di sisi pada majlis yang dirancang.

Di TikTok, tular video memaparkan seorang wanita kelihatan sugul ketika dipimpin keluar dari bilik menuju ruang tamu oleh ibunya sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan tetamu dan warga maya yang menonton rakaman tersebut.

Melihat wajahnya yang masam mencuka, seolah-olah tidak gembira pada majlis pertunangannya, ramai menyangka dia dipaksa untuk mengahwini pasangannya itu.

engage1

Majlis pertunangan adalah hari yang menggembirakan untuk bakal pengantin. -Gambar hiasan

Wanita berkenaan, Pretty Hamad, 21, berkata pada waktu itu dia sebenarnya tidak dapat mengawal emosi kerana dua daripada enam adik beradik yang menetap di Johor tidak dapat hadir ke majlis pertunangannya.

Bercerita lanjut Pretty berkata dia bukanlah dipaksa bertunang seperti yang didakwa di media sosial, sebaliknya suasana pada majlis pertunangan membuatkan dia sedikit beremosi.

"Saya senyum sahaja waktu itu, sebelum keluar bilik saya sempat bergurau dengan rakan-rakan.

"Tiba-tiba ibu beritahu abang dan kakak buat panggilan video, waktu tu saya dah tak tahan mahu menangis selepas bersua muka dengan mereka.

"Sebaik sahaja berbual dengan mereka, pihak lelaki panggil untuk sesi sarung cincin... Jadi ketika itu emosi saya bercampur baur dan saya sedang tahan menangis," katanya ketika dihubungi mStar.

Mesra disapa Utty, wanita ini memberitahu majlis pertunangan yang diadakan di rumahnya di Semporna, Sabah, itu sudah lama dirancang dan pihak lelaki menetapkan majlis diadakan pada 4 Mei.

ARTIKEL BERKAITAN: Langsung tak peduli tentang majlis, wanita warning bakal tunang ‘dirinya ramai peminat’! Boleh pilih lelaki lain jadi suami

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat petunjuk istikharah, pemuda reda tunang minta putus seminggu sebelum raya... Tak jadi fitting baju, cincin dipulangkan

Bagaimanapun, abang dan kakaknya tidak boleh bercuti pada tarikh tersebut malah tiket penerbangan mahal juga menjadi salah satu faktor mereka tidak pulang ke kampung.

Bagi Utty yang merupakan anak bongsu, walaupun cuma dua adik beradiknya tidak hadir, ia memberikan kesan lebih-lebih lagi memikirkan majlis itu berlangsung sekali sahaja seumur hidup.

"Mungkin orang lain pandang remeh sebab hal kecil sahaja, tapi bagi saya itu merupakan hari yang amat bermakna walaupun hanya bertunang.

"Saya tidak mempunyai video kenangan yang lain, ini (video viral) pun sepupu saya yang rakam.

"Jadi ini merupakan rakaman berharga buat saya dan perkongsian di TikTok hanya untuk dijadikan sebagai kenangan," jelas Utty yang menetap bersama ibunya di Semporna.

Utty berkata dia bagaimanapun amat bersyukur majlis pertunangannya berjalan lancar dengan dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Sebenarnya tak pun, tiada istilah paksaan antara kami.

PETTY HAMAD

Dia menegaskan, hubungan dengan tunang dan keluarga pihak lelaki juga sangat baik, sambil menambah mereka turut dibawa berjalan-jalan selepas majlis selesai.

Bercerita lanjut, Utty berkata wajahnya yang muram ketika keluar dari bilik turut disedari rombongan keluarga lelaki tetapi selepas menerangkan keadaan sebenar, tunang dan keluarganya memahami situasi dirinya.

Menurut Utty, dia turut membaca komen-komen daripada warga maya tetapi berasa kurang senang apabila ada yang menyatakan pertunangannya dibuat secara paksa.

"Saya tak tahu pula video ini boleh tular dengan komen yang negatif, pasal saya tak senyum dan ada juga cakap saya dipaksa tunang.

"Sebenarnya tak pun, tiada istilah paksaan antara kami.

"Saya hormat keluarga tunang saya malah selepas sesi menyarung cincin itu, saya bersalaman dengan mereka," jelasnya.

engage tiktok komen

antara komen warga maya

Mengenai perkahwinan, Utty berkata dia dan pasangan belum menetapkan tarikh tetapi sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

Dalam pada itu, ada juga warganet yang berpandangan wanita ini sepatutnya menjaga adab di depan tetamu lebih-lebih lagi terdapat rombongan pihak lelaki.

"Senyum dik, senyum, aku pula yang geram tengok dia tak senyum.

"Sedih tu sedih, adab tu penting juga.

"Kalau ya pun salamlah makcik-makcik tu tanda hormat kita pada diaorang," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain