SIAPA yang tak sakit hati apabila kereta sendiri tercalar walau sedikit selepas dilanggar lari oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Namun bagi seorang usahawan, hidupnya pula tidak keruan selepas terlanggar sebuah kereta dalam perjalanan ke sebuah majlis perkahwinan. Dia hanya menyedarinya selepas salah seorang staf memberitahunya ketika sudah berada di majlis tersebut dan keadaan ketika itu hujan sangat lebat. "Staf saya tanya, bos tak apa ke kita terlanggar kereta tadi? Saya cakap kereta mana yang aku langgar? Kenapa tak beritahu, saya tak perasan," katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok bagi mencari pemilik kereta tersebut. Mirzan (tiga, kiri) hadir ke majlis perkahwinan di Meru, Klang. Berkongsi cerita, pemuda bernama Mirzan Johor berkata, kejadian berlaku kira-kira 100 meter dari majlis perkahwinan salah seorang staf di Meru di Klang, Selangor sekitar 3.30 petang Sabtu lalu. Menurutnya, dia dikatakan telah melanggar kereta berkenaan yang parkir di tepi jalan selepas membuat pusingan U berikutan jalan yang agak sempit ke majlis itu. "Masa tu saya terkejut, tapi apabila saya dapat tahu kereta tu dah tak ada, barulah wujud rasa risau dan bersalah sampai sekarang. "Risau sekiranya dia (pemilik kereta) menyumpah saya sebab itu salah saya 100 peratus. Saya sedia bertanggungjawab dan bayar ganti rugi untuk baiki kerosakan. "Saya risau nanti dia menyumpah, yang menyebabkan rezeki saya terbantut di dunia dan akan dituntut di akhirat. Itu yang menjadi kerisauan saya sampai termasuk dalam mimpi," katanya kepada mStar. Mirzan mengusahakan bisnes beg tangan mewah dan berjenama 'preloved' Pemuda berusia 26 tahun itu bagaimanapun mendedahkan dia sebenarnya bukanlah 'terlanggar', sebaliknya 'tercium' kereta Myvi berwarna gelap itu, kemungkinan hitam atau ungu. ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi langgar lari di kawasan parkir, pelaku gagal dikesan... Hati makin ‘remuk’ dapat RM100 je! - “Mungkin dia tengah susah” ARTIKEL BERKAITAN: Axia terangkat naik divider jalan, ramai jadi saksi insiden langgar lari! Pemandu Iriz dah tak boleh sembunyi "Sebenarnya saya bukan langgar, tapi kereta saya 'tercium' sahaja dalam keadaan menolak ke depan. Masa saya nak buat u-turn nak tengok ke depan, cuma saya tak nampak bumper depan kereta saya tu dengan bumper belakang kereta dia tu 'bertemu'. "Saya bukan langgar kuat sehingga separuh bumper dia tercabut. Bunyi, geseran, getaran semua tak ada sebab tu saya tak perasan. Staf mungkin risau nak cakap masa kejadian tu dia ingat saya nampak dan diam," ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur. Usahawan yang mengusakan bisnes beg tangan mewah dan berjenama 'preloved' itu juga sudah memeriksa kereta yang dipandunya pada hari kejadian, dan mendapati tiada kesan calar, kemek atau sebarang kerosakan lain. Saya tiada niat nak terlanggar atau tak bertanggungjawab. MIRZAN JOHOR Menurut Mirzan, dia juga mengakui tidak memasang kamera papan pemuka (dashcam) di dalam keretanya menyebabkan kegagalannya untuk mengesan nombor pendaftaran Myvi berkenaan. "Sebenarnya kereta tu saya baru dapat. Silap saya terlepas pandang, tak pasang dashcam. Tak dapat tahu nombor plat kereta dia. "Selepas kejadian itu, saya akan pasang dashcam depan kiri kanan belakang, insyaAllah," katanya sambil menambah pemilik Myvi itu juga dikatakan merupakan tetamu di majlis perkahwinan yang dihadirinya bersama empat lagi staf. Mirzan mahu bertanggungjawab membayar ganti rugi. Mirzan berkata, dia berharap untuk pemandu Myvi berkenaan tampil menghubunginya bagi mendapatkan ganti rugi atau membaiki kerosakan akibat insiden itu. "Saya tiada niat nak terlanggar atau tak bertanggungjawab. Saya nak jumpa pemilik kereta, saya nak minta maaf. Saya nak bertanggungjawab atas kerosakan yang saya buat," katanya. Pada masa sama, Mirzan berkata, dia bukanlah sempurna tapi mengakui apa yang berlaku adalah kesilapannya. "Kalau kita tak perasan, itu tak sengaja. Tapi jika dah terlanggar, dan kamu perasan, kamu tak letak nota, tak boleh nak tunggu, kamu tak ada kertas, pen atau kad nama, seelok-eloknya ambil nombor kenderaan dan ambil gambar kerosakan, dan kemudian cuba tanya kawan-kawan atau cari macam yang saya buat ni (hantaran di media sosial). "Benda ni bukan kelakar, tapi ini adalah hak orang, hak orang jangan dibuat main. orang tu dah bekerja keras untuk dapatkan kereta tu, tiba-tiba kita terlanggar, kita bukan sengaja. Jadi kita kena bertanggungjawab," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube