SELEPAS pemergian ibu tercinta, seorang wanita terpaksa berdepan dugaan hebat apabila bapa kepada anak lelakinya pula dijemput Ilahi. Lebih menyedihkan, kedua-dua insan itu dikebumikan pada hari yang sama. Bekas suami, Muhammad Zamzuri Muhamad Zaini, 50, meninggal dunia ketika sedang menunggu jenazah ibu mentuanya, Rogayah Ahmad, 72, tiba di masjid pada Isnin. Allahyarham Muhamad Zamzuri yang lebih dikenali sebagai Ayau merupakan bekas wartawan Melodi, TV3. Ayau (berdiri, kiri) ketika sambutan Aidilfitri dua tahun lalu. Turut serta Alita (duduk, dua, kiri), ibu mentua (duduk, dua, kanan) dan anak lelaki (duduk, kanan). Ketika dihubungi mStar, bekas isteri Ayau iaitu Alita Aris, 49, masih terkejut dengan pemergian kedua-dua individu itu, yang meninggal dunia akibat serangan jantung dalam masa selang sehari. "Ibu saya meninggal dunia pada Sabtu, tetapi jenazah dikebumikan pagi ini bagi menunggu ahli keluarga balik dari luar negara. "Saya fikir ini aturan Allah. Kenapa mak saya ditunda kebumi sehari, rupanya ada hikmah di sebaliknya. Hubungan ibu dan Ayau sangat baik, dan kedua-dua mereka dikebumikan pada hari yang sama," katanya. Ayau (kiri) bersama anak lelaki yang aktif bersukan. Menurut Alita, bekas suaminya itu menghidap sakit jantung kira-kira 10 tahun lalu dan pernah terkena serangan strok pada 2019. "Saya nampak kedua-dua ibu dan Ayau pernah struggle menghidap kencing manis. Ibu saya sukar untuk berjalan, dan terpaksa pakai lampin pakai buang. Hubungan ibu dan Ayau sangat baik. ALITA ARIS BEKAS ISTERI "Manakala Ayau sendiri meluahkan kekecewaannya kerana penyakit itu hingga menyebabkan dia mengalami masalah penglihatan, nak berjalan seorang diri pun susah. "Paling sedih, dia tak nampak anak lelaki sendiri dengan jelas... kena tengok dekat-dekat. Saya yang selalu bawa anak untuk berjumpa dengan dia," ujarnya. Kenangan... Ayau (belakang, tiga, kiri) bersama rakan sekerja di Anugerah Skrin 2017. Tambah Alita, kali terakhir dia bercakap dengan bekas suaminya itu pada pagi Isnin dan arwah memberi kata-kata semangat supaya bersabar atas pemergian ibu. ARTIKEL BERKAITAN: Mimpi arwah ibu, nampak senyum... Isteri tak sangka suami bagi ‘petanda’ ajal makin dekat, reda ujian Allah ARTIKEL BERKAITAN: “Ego saya kuat dulu” - Wanita kumpul kekuatan hilang 3 insan tersayang berturut-turut, paling pedih setiap pemergian ada kaitan hari istimewa "Ayau pesan saya supaya bersabar. Dia juga beri semangat pada anak yang aktif bersukan. Mereka berbual pasal bola. Dia kata lain kali jangan takut nak score gol. Tutup mata, ingat daddy, shoot the ball," katanya. Ayau (kiri) dan Alita dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Alita dan Ayau mendirikan rumah tangga pada 2011 sebelum berpisah pada 2019, dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhamad Asyraaf Ziyad Muhamad Zamzuri yang kini berusia 12 tahu. Ayau meninggal dunia kira-kira pukul 10 pagi Isnin selepas rebah ketika berada di Masjid Al Mujahideen di Damansara Utama, Selangor, bagi menunggu jenazah ibu mentuanya untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara. Allahyarham Ayau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana. Menerusi satu hantaran di Facebook, Alita berkata, Ayau secara tiba-tiba pengsan dan dikejarkan ke Hospital KPJ Damansara. "Kami membawanya ke Hospital KPJ Damansara, dan doktor sudah cuba menyelamatkannya selama lebih kurang 20 minit, tetapi gagal. Doktor percaya jantung Ayau sudah berhenti ketika di masjid lagi," katanya. Jenazah Ayau diuruskan di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Selangor kira-kira pukul 5 petang Isnin. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube