suria

Benjolan saiz bola golf di leher rupanya kanser limfoma! Pemuda ini ambil ‘exam’ sambil kemoterapi... Alhamdulillah, SPM 8A

Zulfadhli ketika berada di wad bagi menjalani rawatan kanser.

DEBARAN kian terasa buat lebih 390,000 calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menjelang pengumuman keputusan peperiksaan itu pada 27 Mei depan.

Dalam keterujaan menunggu keputusan SPM itu, seorang pemuda berkongsi pengalamannya menduduki peperiksaan tersebut ketika menjalani kemoterapi di hospital, sembilan tahun lalu.

Meskipun terpaksa melakukannya dalam keadaan penuh mencabar dan getir, siapa sangka dia berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A 1B.

Menjalani rawatan di hospital bukan penghalang untuk anak muda ini mengulangkaji pelajaran.

Berkongsi cerita kepada mStar, pemuda bernama Muhammad Zulfadhli Zulkiple itu berkata, dia menduduki SPM pada 2015 dan diagnosis kanser limfoma hodgkin tahap empat selepas mengalami bengkak sebesar bola golf dekat bahagian tengkuk pada 2014.

“Sakit tu memang ada, kebanyakannya pening kepala dan sakit-sakit badan macam lenguh. Badan akan rasa lemah dan kadang-kadang sakit perut.

“Mungkin sebab saya dah lama sakit, jadi sakit tu rasa biasa. Atau sebenarnya saya dapat menempuh kesakitan tu dan tak fikir sangat,” katanya kepada mStar.

Zulfadhli (tengah) bersyukur mendapat sokongan daripada ibu bapa.

Zulfadhli yang berusia 26 tahun berkata, salah satu sebab dia mahu terus menduduki SPM ketika itu ialah kerana enggan menangguhkan pembelajaran di sekolah menengah.

ARTIKEL BERKAITAN: Wajahnya manis, nama pun sedap... Queen Sayang gamatkan majlis konvo UiTM, definisi sebenar ‘beauty with brain’

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pernah dapat markah corot 38/100, tapi siapa sangka remaja ini catat keputusan SPM 9A!

Malah pada awalnya, dia yang mesra disapa Zul sebenarnya tidak kisah menerima sebarang keputusan selagi boleh menamatkan persekolahan di Tingkatan Lima.

“Jika nak tunggu habis kanser pun tak tahu lagi sampai bila. Cuma saya tidaklah tak belajar dan masih cuba untuk belajar walaupun di atas katil.

“Cara saya belajar adalah dengan beli kad manila dan buat peta minda kemudian tampal di dinding wad,” ujar anak kelahiran Terengganu berkenaan.

Bersama salah seorang rakan yang turut memberi sokongan kepada Zulfadhli.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu lagi, pengalamannya menduduki SPM ketika itu sama seperti calon-calon yang lain.

“Pengawas peperiksaan duduk di belakang saya dan saya jawab seperti biasa. Cuma dia beri ekstra 30 minit jika diminta. Ada ruang beberapa hari daripada satu subjek ke subjek seterusnya.

Setiap manusia akan diuji dengan ujian yang berbeza... kita memang tak boleh lari.

MUHAMMAD ZULFADHLI ZULKIPLE

“Ketika itu doktor mulakan kemo (kemoterapi) dan apabila dah nak dekat hari untuk ambil peperiksaan, dia akan stop. Mungkin cabarannya saya Cuma ada rehat beberapa hari je selepas kemo sebelum menjawab kertas peperiksaan seterusnya.

“Alhamdulillah tiada isu dan semua saya dapat jawab dengan tenang. Kawan-kawan, guru dan keluarga terutama ibu banyak memberi sokongan,” katanya yang mengakui amat terkejut mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Gemar melakukan aktiviti kecergasan seperti bersukan dan mendaki.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Taylor’s University, Zulfadhli berkongsi pengalamannya menduduki peperiksaan di dalam wad kerana mahu menunjukkan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

“Jika kita mahu dan berusaha, kita boleh dapat tak kisah apa-apa cabaran yang kita hadapi. Saya rasa ujian selain sakit adalah kesihatan mental.

“Apabila buat kemo, kita boleh rasa sunyi dan tertekan terutama apabila seorang diri dalam wad. Susah nak belajar apabila minda mula fikir benda-benda macam ni.

“Ada hari rasa nak putus asa. Tapi alhamdulillah, Allah terus berikan saya semangat untuk sambung melawan,” ujar penganalisis CyberSecurity itu.

Zulfadhli berada di puncak Gunung Kinabalu.

Minat bersukan dan fotografi, Zulfadhli mempunyai matlamat untuk mencapai yang terbaik dalam dirinya.

“Masa di hospital, banyak penyesalan sebab saya rasa tidak tunjukkan potensi diri. Selepas sedikit sihat, saya sambung belajar dan bersukan sebab nak tengok sejauh mana boleh push diri.

“Jika nanti suatu hari saya ditakdirkan sakit lagi, saya tak nak ada penyesalan yang sama. Saya nak rasa bangga dengan diri sendiri dengan apa yang saya dah capai.

“Setiap manusia akan diuji dengan ujian yang berbeza. Kita memang tak boleh lari. Yang membezakan kita adalah bagaimana nak gunakan ujian yang kita hadapi itu.

“Tak rugi pun jika kita belajar bersungguh-sungguh sebab walau sedikit, ia tetap akan membantu masa depan kita,” katanya yang mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain