suria

Ayah tak boleh hantar, mak larang naik pengangkutan awam... Staf HR bengang pekerja baharu tolak kerja hari lapor diri!

Menyaring calon yang layak diterima bekerja merupakan satu proses renyah. -Gambar hiasan

PADA masa ini masih ada antara kita yang mengambil mudah tentang kepentingan menghormati orang lain.

Ia sebenarnya satu isu sensitif lebih-lebih lagi ketika berurusan dengan orang tidak dikenali bagi urusan rasmi.

Melalui satu ciapan tular di laman X, seorang wanita yang mendakwa sebagai staf bahagian pengurusan sumber manusia di sebuah syarikat tampil mendedahkan ragam menjengkelkan generasi belia hari ini.

Saingan sengit perlu dihadapi dalam mencari peluang pekerjaan. -Foto Star Media Group

Menurutnya, segelintir mereka yang memohon kerja gemar menarik diri pada saat akhir ketika permohonan sudah lengkap diproses.

Berdasarkan tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikepilkan bersama hantarannya, dapat diperhatikan wanita itu memaklumkan kepada seorang pekerja baharu, lokasi untuk melaporkan diri pada hari pertama bertugas.

Namun pada hari kejadian, pekerja tersebut secara mengejut memberitahu dia mempunyai masalah pengangkutan dan tidak dapat menghadirkan diri seperti yang dijanjikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar ‘intern’ ajak mak jumpa bos, stres disuruh masuk data dalam sistem... Siap bawa surat doktor nak berhenti kerja

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar intern serah tubuh, tertipu dengan janji senior alim di pejabat! Terus tak jadi kahwin sebab ‘dah dapat’

"Maaf Cik, saya tak boleh gerak ke pejabat sebab tiada kenderaan, ayah saya dah pergi kerja. Mak saya pula tak bagi naik pengangkutan awam.

"Saya rasa saya ada banyak kekangan, ayah saya pun tak berani jamin jika dia boleh hantar saya setiap waktu, takut susahkan pihak majikan di kemudian hari.

"Jadi lebih baik saya undur diri daripada kerja ni. Saya minta maaf atas kesulitan," kata calon pekerja itu mengemukakan alasannya.

Dalam tangkap layar itu juga dapat dilihat wanita tersebut bermurah hati ingin menaja kenderaan e-hailing ke pejabat tetapi ditolak pekerja berkenaan.

Wanita terbabit kemudiannya menitipkan pesanan 'pedas' susulan berang dengan keputusan melulu yang dibuat pekerja itu tanpa berbincang terlebih dahulu.

Ramai lagi mahukan kerja tu, tapi mereka diketepikan sebab ada yang main-main macam ni.

WARGA MAYA

"Lain kali kalau ada sebarang masalah seperti isu pengangkutan, beritahu awal-awal waktu temu duga. Jangan buang masa kami.

"Kalau nak tahu, kami memang dah jadualkan awak untuk masuk kerja hari ni, tiada siapa yang berkelapangan nak ganti," ujarnya.

Warga maya lain turut berasa hairan dan cuba mencungkil jawapan mengapa generasi hari ini berkelakuan sebegitu rupa.

"Orang muda sekarang memang suka batalkan plan apabila dah betul-betul lewat. Mengikut pemerhatian saya, mereka buat macam tu sebab takut nak beritahu yang mereka mahu tukar perancangan.

"Mereka tunggu sampai benda tu dah terjadi baru bersuara, itu yang keluar bermacam alasan tak masuk akal supaya boleh tutup mereka punya permasalahan.

Warga maya berkongsi pandangan.

"Dalam kes ni kita tak perlu fikir jauh, saya rasa jawapannya mudah je, memang staf tu tak minat untuk bekerja daripada awal lagi. Sebab kalau dia komited, dia akan cari alternatif juga sebagai solusi.

"Untuk mudahkan semua pihak, cakap je tak mahu teruskan permohonan waktu ditawarkan temu duga. Apa yang susah sangat?," ujar pelayar.

Dalam pada itu, tidak kurang juga warga maya yang beranggapan tindakan sedemikian merupakan satu bentuk penganiayaan.

"Ramai lagi dekat luar sana mahukan kerja tu, mereka diketepikan sebab ada yang main-main macam ni, kesian sangat. Hentikanlah ambil hak orang," ujar netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain