HARI Guru penting dan amat dinanti-nantikan oleh golongan pelajar untuk meraikan para pendidik. Semestinya pelajar mengambil peluang ini untuk menunjukkan penghargaan mereka terhadap guru-guru yang sangat berjasa mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Al Tarmizi menarik perhatian ramai apabila sanggup mengeluarkan wang sendiri dan berhempas-pulas menghias kelas muridnya menjadi ala kafe. Dalam perkongsiannya di Facebook, Tarmizi menjelaskan tujuan dia mengubah dekorasi kelas sedia ada menjadi 'The Cafe Class' hanya satu, iaitu mahu melihat anak-anak didiknya lebih selesa menimba ilmu. Tranformasi kelas yang dibuat oleh Tarmizi. "Bersempena dengan Hari Guru yang bakal tiba, saya kongsikan sedikit dekorasi guru pedalaman buat rakyat Malaysia semua," tulis Tarmizi. Menurut guru di Sekolah Kebangsaan Kampung Kut, Daro, Sarawak itu, dia menggunakan sejumlah elaun pedalaman yang diterima untuk mencantikkan bilik darjah berkenaan. "Ada rezeki lebih kita buat lebih. Walaupun di sekolah pedalaman, saya jadikan suasana yang kondusif agar murid-murid saya seronok belajar. "Saya yakin dan percaya ramai rakan guru di luar sana buat sehabis baik untuk anak didik mereka. Ramai di antara guru sanggup berhabis wang ringgit untuk kemenjadian anak didiknya," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Guru ganti beremosi pelajar biadab, naik kepala bila berlembut... Esoknya terus ubah sikap jadi cikgu tegas, serius dalam kelas ARTIKEL BERKAITAN: “Untung jadi cikgu, tiba-tiba gaji naik” - Pemuda sindir guru, bangkit isu kerja separuh hari... Siap sentuh banyak cuti sepanjang tahun Jelas Tarmizi dalam hantaran sama, sekolah di Daro itu merupakan tempat pertama dia bertugas sejak bergelar pendidik. Ditugaskan ke kawasan pedalaman dengan keadaan sekolah yang serba daif tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus menabur bakti kepada anak-anak penduduk setempat. Bercerita lanjut mengenai dirinya, Tarmizi memberitahu minatnya untuk menjadi seorang guru timbul disebabkan bapanya sendiri. Ramai di antara guru sanggup berhabis wang ringgit untuk kemenjadian anak didiknya. AL TARMIZI "Ayah selalu berkongsi cerita semasa kecil, dia sangat berminat untuk menjadi guru tapi apakan daya hanya mampu bersekolah sampai darjah empat sahaja. "Timbullah minat saya untuk menjadi guru bagi merealisasikan impian ayah dulu. "Saya mempunyai 11 orang adik-beradik dan saya anak yang kelapan. Alhamdulillah lapan orang adik-beradik saya menjadikan guru sebagai kerjaya, selebihnya kerjaya masing-masing," katanya lagi. Suasana kelas sebelum dan selepas didekorasikan oleh Tarmizi. Menurut Tarmizi lagi, laluannya untuk menjadi seorang guru bukanlah satu perjalanan mudah memandangkan keputusan peperiksaannya tidak begitu baik. Bagaimanapun, berkat doa dan usaha akhirnya membolehkan dia berjaya juga menjadi seorang pengajar. Sempena Hari Guru yang disambut pada setiap 16 Mei, Tarmizi dalam hantarannya turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang menjadi 'guru pertama' dalam hidupnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube