BUDI bahasa budaya kita. Tetapi mungkin berbeza ceritanya untuk mereka yang bukan berasal dari tanah air tercinta ini. Pada Isnin lalu, tular video di laman TikTok memaparkan seorang kanak-kanak Rohingya berkelakuan biadab ketika dihulurkan makanan berupa kek lapis. Kanak-kanak Rohingya yang menjadi topik perbualan hangat netizen. Mungkin kerana tidak menepati cita rasanya, kanak-kanak itu bertindak meludahkan semula kek lapis tersebut dan bakinya dilemparkan ke tanah. Ternyata perlakuan sedemikian mengundang rasa marah warga maya yang menyelar kanak-kanak itu dengan sekeras-kerasnya. "Kesian tu kesian juga, tapi kaki dan tangan aku terasa ringan sangat sekarang, macam nak melayang ke muka budak ni. ARTIKEL BERKAITAN: “Ni la sebab aku tak suka budak-budak ramai” - Cermin kereta retak seribu ‘dikerjakan’ kanak-kanak, mujur mak ayah nak bayar ARTIKEL BERKAITAN: Kecil bukan ‘lesen’ jadi biadab! Ibu mengamuk muka anak dipijak dalam kolam renang, bapanya seronok main phone "Aku masih waras, cuma kadang terfikir tak ada siapa ke yang nak culik mereka ni, bagi pengajaran sikit supaya tidak meliar dekat luar," kata sebahagian warga maya. Dalam pada itu, mStar berjaya menjejaki pemilik asal video itu dikenali sebagai Monyanyoo, 23, yang mengenali kanak-kanak tersebut secara dekat. Menurut Monyanyoo yang menetap di Kemaman, Terengganu, orang luar mungkin pantas untuk hilang sabar melihatkan kenakalan kanak-kanak itu, tetapi penduduk tempatan boleh dikatakan sudah alah bisa, tegal biasa. Nak cakap terasa hati tu tak sangat sebab kami di Kemaman ni dah biasa hadap, anggap macam hiburan je. MONYANYOO "Dekat Kemaman ni, budak tu memang sangat terkenal dengan dia punya sikap biadab. Tak pasti apa nama dia, kami biasa panggil dia adik je. Dia selalu pergi dari kedai ke kedai untuk jual surah Yasin. Dia akan paksa kita beli. "Kalau kita tak turuti permintaan dia, mulalah mulut dia terkumat-kamit dengan carutan seperti bodoh dan sebagainya. Kata-kata kasar dalam dialek Terengganu pun dia pandai, contohnya berat natang la dio ni. "Dia fasih berbahasa Melayu tapi sedikit pelat. Pernah juga dia tunjuk jari hantu dekat kami waktu saya dengan kakak tengah berniaga di butik. Pandai betul dia padahal baru umur sekitar lapan tahun. "Nak cakap terasa hati tu tak sangat sebab kami di Kemaman ni dah biasa hadap, kami anggap macam hiburan je. Riuh-rendah jadinya apabila dia singgah kedai," kata Monyanyoo yang memiliki gedung pakaian, Hartini di pusat beli-belah Centre Point. Monyanyoo bersama kakaknya mengusahakan butik pakaian. Mengulas mengenai videonya yang tular, Monyanyoo berkata kek lapis itu baru dipesan dari Sarawak dengan harga yang agak mahal. "Waktu tu saya dengan kakak nak pergi bank, tiba-tiba terserempak budak tu. Apa lagi, dia pun datang la kacau kami. Kebetulan pula waktu tu dalam kereta ada kek lapis, budak tu memang jenis yang meminta apa yang dia nampak. "Sekali dah bagi, dia buang pula. Kami tak ada la mengamuk sebab fikirkan dia masih budak, kami layankan je. Anggap macam anak buah kami. Tapi netizen kita lain pula, mereka tak relaks. Ada yang suruh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kutip. "Ada juga yang suruh kami cari mak ayah dia. Sebenarnya kami tahu je rumah budak tu dekat mana, tapi tak pernah lagi terdetik nak pergi serbu sebab kami tidaklah anggap ni masalah besar. Kanak-kanak Rohingya ini gemar bercanda dengan Monyanyoo. "Saya pernah beberapa kali terserempak dengan mak ayah dia, tapi belum pernah tegur. Kali terakhir berselisih nampak mak budak tu tengah sarat mengandung anak kedua," kata Monyanyoo. Ketika ditanyakan apakah tindakan yang mahu diambil berhubung perangai jelik kanak-kanak itu, Monyanyoo berkata masih belum ada sebarang perancangan setakat ini. "Kami tengok dulu macam mana, mungkin sebab kami dah selesa dengan budak ni, jadi tak nampak sebab untuk ambil tindakan drastik," ujar Monyanyoo menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Insgram dan YouTube