suria

Bertugas di Sarawak, abang polis baru tahu arwah ibu cuma berlakon tenang... Berjurai air mata setiap kali balik dari airport

Setiap ibu pasti mahu melihat anaknya berjaya- Gambar hiasan

BUKAN mudah bagi seorang ibu melihat anak yang dikandung sembilan bulan semakin meningkat dewasa dan perlahan-lahan keluar bagi belajar mencari kehidupannya sendiri.

Namun apakan daya, walaupun berat hati, mereka yang bergelar ibu perlu reda melepaskan anak kesayangan demi masa depan yang lebih terjamin.

Seorang pemuda yang bekerja sebagai polis trafik bercerita mengenai ibunya yang gembira apabila dimaklumkan dia terpilih untuk menjalani latihan di Sarawak pada tahun 2007.

Berkongsi cerita di Facebook, dia yang menggunakan nama Abam Trafik berkata sebaik sahaja mendapat keputusan ibunya adalah orang pertama yang diberitahu.

"Pengumuman penempatan saya diumumkan sewaktu awal Ramadan tahun 2007, lepas sahaja dapat tahu kontinjen mana saya akan dihantar, saya terus telefon mak dan beritahu saya dapat di Sarawak.

Besar pengorbanan seorang polis yang terpaksa berjauhan dengan keluarga. -Gambar hiasan

"Masa angkat telefon, suara mak macam gembira, tapi bila saja saya cakap penempatan di Sarawak, mak terus senyap satu bunyi pun tak ada... lama mak terdiam, sampai saya ingat panggilan dah terputus," dia memulakan cerita.

Menurut lelaki ini, dia nyaris meletakkan panggilan tetapi tidak berbuat demikian kerana ibunya akhirnya kembali bersuara.

"Syukur, bila kamu akan ke sana nanti? Balik ke sini dulu tak? Ke terus lapor diri ke Sarawak?" tanya ibunya bertalu-talu dalam loghat Negeri Sembilan.

Mendengar suara tenang ibunya, dia dapat membayangkan wanita itu sedang bercakap sambil tersenyum kerana mendapat khabar gembira.

ARTIKEL BERKAITAN :Payahnya hidup ibu tunggal, terpaksa ulang-alik Melaka dan Putrajaya demi cari nafkah... Hanya mampu jadi ‘emak hujung minggu’

ARTIKEL BERKAITAN :Anak lelaki tak sanggup lihat ibu melutut, menangis mengadu nasib penat buat kerja rumah... Rasa terbeban dapat suami pemalas

Dia kemudian memberitahu diberi cuti seminggu sebelum berangkat untuk melapor diri justeru akan pulang ke kampung terlebih dahulu.

Ibunya lantas memberitahu dia akan menyewa kereta daripada jiran untuk menjemputnya di pusat latihan yang tidak dinyatakan lokasi.

Setelah enam bulan berada di pusat latihan lelaki itu akhirnya pulang ke kampung yang mana dia dilayan seperti raja ketika di rumah oleh ibunya.

Sepanjang seminggu bercuti, setiap hari ibunya akan bertanya apa yang mahu dimakan.

Ibu merupakan insan yang perlu dihargai. -Gambar hiasan.

Ibu merupakan insan yang perlu dihargai. -Gambar hiasan

Tiba masa untuk melaporkan diri ke Sarawak, ibu dan ahli keluarga yang lain awal-awal lagi telah bersedia untuk menghantarnya di lapangan terbang.

Perasaannya ternyata bercampur baur sebelum terbang ke Sarawak.

Malah dia sanggup dimarahi oleh pegawai pengiring apabila meminta izin untuk berjumpa dengan ibunya sekali lagi.

Sebaik sahaja mendapat keizinan, dia terus meluru ke arah ibunya dan bersalam untuk kali kedua serta memeluknya dengan erat.

Ibunya tidak mengeluarkan sebarang kata-kata, hanya mampu tersenyum mengusap kepala dan belakangnya sambil menahan sebak, begitu juga dengan dirinya.

Mak menangis dari airport sampailah ke rumah.

ADIK IPAR

"Masa ni air mata dah nak mula keluar, tapi saya tahan sekuatnya. Saya tak nak mak sedih, berat langkah saya itu hanya tuhan saja yang tahu.

"Mak tak berhenti melambaikan tangan hingga lambaian mak tak kelihatan lagi bila tangga bergerak membawa kami turun menuju ke gate," katanya.

Dia menambah, sepanjang latihan dia beberapa kali pulang ke kampung dan ibunya sentiasa menunjukkan reaksi gembira.

Bagaimanapun selepas ibunya pergi menghadap Ilahi pada 2012, adik iparnya mendedahkan satu 'rahsia' tentang ibunya.

"Abang, abang tahu tak? Setiap kali arwah mak hantar abang kat airport, lepas abang dah tak nampak dari pandangan, baru mak akan menangis sungguh-sungguh. Bayangkan, mak menangis dari airport sampailah ke rumah," kata adik iparnya.

Alangkah terkejutnya dia mendengar pendedahan itu.

"Selama saya balik ke kampung, mak hanya tunjukkan wajah yang menggembirakan hati.

"Senyuman mak yang buatkan langkah saya kuat setiap kali nak meninggalkan dia.

"Lima tahun mak berbohong. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa rindunya saya dengan mak," katanya.

Jelasnya, masyarakat sering memuji kecekalan hati anggota polis yang sanggup berkorban dan rela berjauhan dengan keluarga tetapi hanya tuhan yang tahu betapa sukar untuk menahan rasa sedih meninggalkan insan tersayang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain