suria

Rider termenung jauh... Pasrah jual motor ‘Ysuku’ baru dibeli demi tampung kos rawatan ibu, fikir cari kerja lain

Naaz terpaksa menjual motosikal kesayangan demi ibu tercinta.

PENGORBANAN seorang anak demi melihat ibunya yang sakit sembuh seperti sedia kala meraih perhatian ramai.

Naazrie Ali atau Naaz, sanggup 'melepaskan' motosikal jenama Yamaha Y15 miliknya yang baru dibeli pada tahun lalu untuk menampung kos rawatan ibunya.

Menurut pemuda berusia 22 tahun itu, ibunya memerlukan RM15,000 untuk melakukan pembedahan membuang benjolan lemak yang tumbuh dalam kulit atau dikenali sebagai lipoma.

Naaz menjual motosikal Yamaha Y15 miliknya untuk menampung kos rawatan ibu.

"Saya merupakan seorang runner yang bekerja hantar barang. Tapi saya terpaksa jual motosikal kesayangan yang saya guna untuk kerja ni demi cukupkan kos pembedahan ibu.

"Buat masa sekarang duit yang terkumpul ada sekitar RM6,000. Jadi ini saja jalan yang saya nampak boleh dapatkan duit segera," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Sebelum ini, rakaman video menunjukkan Naaz sedang duduk sambil merenung motosikalnya sebelum dijual meraih perhatian netizen selepas dikongsikan di TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider nekad jual ‘motor cari makan’ demi isteri nak bersalin, buat iklan di grup FB tak siapa nak beli tapi Allah ganti rezeki lain

ARTIKEL BERKAITAN: Anak dibawa naik motor ‘Ysuku’ basah kuyup kena hujan, balik rumah demam! Ibu jelaskan sebab tak beli kereta

Rata-rata netizen bersimpati malah berhasrat untuk menyalurkan sumbangan kepadanya selepas melihat video tersebut.

Tambah Naaz, pada Isnin dia akan membawa ibunya ke hospital untuk membuat pemeriksaan MRI (magnetic resonance imaging) dan seterusnya mendapatkan tarikh pembedahan.

Bagaimanapun, Naaz dengan rasa rendah diri menolak sumbangan atau derma daripada orang ramai kerana mempunyai alasannya sendiri.

"Saya memang tak buka atau minta sumbangan daripada sesiapa. Bagi saya masih ramai lagi orang di luar sana lebih layak dan sepatutnya terima bantuan.

Saya memang tak buka atau minta sumbangan daripada sesiapa.

NAAZRIE ALI

"Saya anggap semua ini ujian untuk saya. Saya masih boleh lagi usahakan sendiri. Saya baru saja nak menggunakan akaun TikTok sepenuhnya.

"Saya bercadang nak jana pendapatan menggunakan akaun TikTok. Semoga ramai yang akan support perniagaan saya," jelasnya yang berasal dari Sabah.

Dalam pada itu Naaz turut mengakui keadaan kewangannya tidak begitu stabil pada masa ini.

Bapanya merupakan seorang buruh binaan yang mempunyai pendapatan tidak tetap.

Hantaran tular dikongsikan Naaz di TikTok.

Menurut anak keempat daripada tujuh adik beradik itu, motosikal tersebut bakal dijual kepada rakannya pada harga RM4,000.

"Motosikal tu sudah ada orang nak beli iaitu kawan saya sendiri. Jadi saya akan jual dekat dia.

"Tapi saya cuma cagarkan saja dulu motosikal tu. Insya-Allah kalau ada rezeki nanti saya nak ambil semula.

"Semestinya saya sayang sangat motosikal tu. Saya baru saja guna setahun lebih. Tapi apakan daya, saya lebih sayangkan ibu lagi," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain