suria

Wanita makan di R&R, lelaki misteri 2 kali datang duduk semeja! Pakcik tua muncul ‘ganggu’, tanya soalan aneh banyak kali

Seorang lelaki berkeliaran di sekitar R&R. -Gambar hiasan

MENYERAMKAN! Hasrat seorang wanita menikmati makanan bersendirian terbantut apabila didatangi seorang lelaki tidak dikenali.

Pertemuan yang mengejutkan itu berlaku di siang hari ketika singgah di sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R).

Mengimbas kembali kejadian, wanita itu, Noor Zeeda Abd Aziz berkata, dia menikmati makan tengah hari di sebuah R&R di Selangor, pada Selasa lalu.

Seorang wanita berkongsi pengalaman memandu di lebuh raya. -Gambar hiasan (FAIHAN GHANI)

Menurut wanita berusia 45 tahun itu, seorang lelaki secara tiba-tiba datang menegur sambil meletakkan gelas minumannya di atas meja makan.

"Saya tumpang letak air, boleh? Penampilannya biasa, kasual dan tiada yang menonjol. Sekilas pandang, riak wajahnya biasa saja. Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana meja saya berhampiran singki basuh tangan.

"Saya sangka, lelaki itu tumpang letak minumannya sekejap untuk membasuh tangan. Dia datang semula ambil minumannya dan cuba untuk berbual," katanya ketika dihubungi mStar.

Bagaimanapun, dia yang dikenali sebagai Zeeda Aziz menjawab pertanyaan lelaki yang dalam lingkungan usianya itu acuh tak acuh, kerana tidak selesa dan mahu menghabiskan makanannya.

Malah, dia juga bimbang nanti sekiranya timbul fitnah yang mengatakan dia keluar makan dengan lelaki lain.

"Tiba-tiba datang seorang pakcik menegur saya. Ni siapa, suami ke? Eh tak, dia tumpang air je. Lelaki tumpang air tu bingkas bangun, berlalu pergi," ujarnya yang mengimbas kembali perbualan tersebut.

Seorang lelaki mahu menumpang minumannya di atas meja. -Gambar hiasan

Bagaimanapun dia yang berasal dari Perak berkata, lelaki tidak dikenali itu datang semula ke mejanya selepas beberapa minit.

Tidak membawa minumannya, lelaki itu terus duduk di kerusi menghadapnya sambil bertanyakan soalan tetapi dijawabnya endah tak endah.

"Saya dalam keadaan tergesa-gesa untuk habiskan makanan kerana saya perlu segera balik untuk sertai kelas online," kata suri rumah itu yang kini menyambung pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) di Petaling Jaya, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita nampak suami sendiri dipukau, cuba curi duit kedai... Cepat-cepat baca ayat Kursi, terus dukung bayi minta bantuan

ARTIKEL BERKAITAN: Seram solat di R&R, disangka surau kosong rupanya ada ‘peneman’! Makcik tepuk bahu terus jadi misteri

Zeeda Aziz berkata, tidak lama selepas itu, pakcik yang sama datang kembali menerjah dengan soalan yang sama.

"Ni siapa? Suami ke? Eh tak.. saya tak kenal. Lelaki itu cepat-cepat bangun meninggalkan meja saya dan berlalu pergi.

"Saya rasa pakcik itu cuba melindungi keselamatan saya. Dia nampak saya tanpa peneman dan tak selesa diganggu, lalu pakcik ini cuba usir lelaki yang mungkin berniat tidak baik terhadap saya.

"Syukur kepada Allah kerana hadirkan pakcik ni untuk menjaga keselamatan saya. Terima kasih pakcik kerana berusaha melindungi saya," katanya.

Ramai pengunjung menikmati makanan di sebuah medan selera. -Gambar hiasan

Mengulas lanjut, ibu kepada empat anak itu berkata dia pertama kali berdepan dengan situasi tersebut, dan kemungkinan lelaki misteri itu cuba untuk memukaunya, manakala pakcik berkenaan cuba memastikan dia tidak menjadi mangsa.

"Sepanjang saya bersendirian, pakcik tu tak datang pun. Saya tak terfikirkan hal pukau tu sehinggalah ketika saya dalam perjalanan balik.

Mungkin pakcik tu perasan sesuatu yang saya tidak sedar.

NOOR ZEEDA ABD AZIZ

"Saya terfikir kelakuan pakcik tu agak aneh. Soalannya juga berulang, 'Ni suami ke? Ni suami ke?' Aneh kan? Pakcik tu tahu itu lelaki yang sama, dan dia dah pun tanya soalan yang sama sebelum tu.

"Tetap pakcik tu ulang soalan sama. Jarak masa bertanya tak jauh mana pun, mungkin selang 10 minit. Itu yang membuatkan saya terfikir, mungkin pakcik tu perasan sesuatu yang saya tidak sedar," katanya yang bersyukur tidak menjadi mangsa jika benar lelaki itu berniat tidak baik.

Zeeda Aziz berkongsi pengalamannya ketika makan di sebuah R&R.

Turut berkongsi pengalaman itu di laman Facebook miliknya, Zeeda Aziz berharap kaum wanita lebih berhati-hati apabila dihampiri individu tidak dikenali.

Malah, dia juga mengingatkan orang awam yang melihat kejadian seperti itu supaya campur tangan sebagaimana yang dilakukan oleh pakcik itu.

"Ia amat membantu menjaga keselamatan wanita yang terpaksa membuat urusan bersendirian tanpa peneman," katanya sambil menambah perkongsiannya itu membuatkan ada wanita lain yang turut berkongsi pengalaman hampir sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain