suria

Selepas isteri suami pula buat PhD, sekeluarga hijrah ke Jerman... Lelaki ini buktikan gelaran Doktor Falsafah bukan ‘peruntuh masjid’

Fairuz menyambung pengajian pada peringkat PhD di Jerman.

KEPUTUSAN untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) bukanlah satu hal mudah kerana ia menuntut komitmen yang tinggi.

Cabaran itu menjadi lebih besar bagi individu yang sudah berkahwin dan mempunyai anak kerana kesibukan melampau ketika proses pengajian adakalanya membuatkan mereka tidak dapat membahagikan masa dengan baik.

Lebih mencetuskan kegusaran dalam kalangan pengguna media sosial apabila seorang pelayar di laman X mendakwa pengajian di peringkat PhD menjadi punca berlakunya penceraian dalam rumah tangga.

Namun bak kata peribahasa alah bisa tegal biasa kerana segala kesusahan tidak akan terasa lagi sesudah biasa.

Bagi Fairuzzaman Shaharuddin, 36, dia bersyukur apabila berjaya menamatkan pengajian PhD dalam Pengajian Asia Tenggara di Johann Wolfgang Goethe Universität, Jerman pada 27 Oktober tahun lalu.

Fairuz membawa anak keduanya yang masih kecil ke Jerman demi menyambung pengajian.

Menurut Fairuz, dia pada mulanya hanya ingin menyambung pengajian bagi mengubati rasa sedih selepas kematian puteri sulung yang diberi nama Demi Faleesya pada usianya empat bulan.

"Motivasi utama untuk sambung belajar adalah disebabkan kematian anak pada 2018... ia dijadikan sebagai distraction. Beberapa minggu lepas kematian Dewi, saya buat permohonan PhD dalam negara.

"Tapi atas nasihat beberapa senior, mereka suruh saya buat permohonan biasiswa DAAD (Deutscher Akademischer Austauschdienst) di Jerman. Alhamdulillah dengan izin-Nya, saya dapat biasiswa penuh, jadi saya buat keputusan untuk ke sana seorang diri.

"Pada waktu itu, anak kedua baru sahaja berumur 10 hari. Setelah saya berjaya menyelesaikan kursus bahasa Jerman dan mendapatkan rumah sewa, saya kembali ke Malaysia untuk membawa Haydar (anak kedua) berusia lapan bulan dan isteri ke sana," ujarnya.

Anak-anak Fairuz dibesarkan di Jerman selama empat tahun.

mStar sebelum ini pernah berkongsi kisah sedih tentang pemergian puteri sulung Fairuz dan isterinya, Nor Farhana Jasmi pada usia empat bulan dan 25 hari dipercayai akibat tersedak susu semasa di bawah jagaan sebuah taman asuhan kanak-kanak di Shah Alam.

Ketika itu Nor Farhana sudah berada di penghujung pengajian PhD.

Segala ujian dihadapi pasangan ini tidak mematahkan semangat mereka apabila masing-masing berjaya menamatkan pengajian walaupun dilanda pelbagai ujian sepanjang berumah tangga.

Rezeki milik Allah, Fairuz kemudiannya dikurniakan anak ketiga sewaktu meneruskan pengajian di Jerman.

"Saya selalu beritahu isteri, saya tak dapat berikan masa sepenuhnya untuk jaga Haydar jadi minta dia tolong uruskan rumah sementara saya bertungkus-lumus siapkan tesis. Kami pun merancang dengan baik bab anak.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ada title Dr pun buat apa” - 8 tahun struggle belajar, anak meninggal ketika hampir lengkapkan PhD... ayat suami buat isterinya tersentak!

ARTIKEL BERKAITAN: Demi kejar gelaran Doktor Falsafah, rumah tangga porak-peranda... Sedih tengok kawan bercerai dalam ‘journey’ PhD

"Nak tambah anak, kena tunggu saya hantar tesis dulu. Jadi bulan Julai tahun tu saya hantar draft, bulan Januari tahun berikutnya isteri bersalin. Tapi tujuh kali draft kena tolak oleh supervisor.

"Masa tu mood memang naik turun. Tertekan, darah tinggi pun naik. Buat kerja masa pagi buta sebab waktu itu anak-anak dah tidur. Tapi saya bersyukur dapat hantar draft terakhir dengan jayanya. Dapatlah berjalan-jalan sebelum balik Malaysia," ujarnya.

Tambah Fairuz, dia sedikit sebanyak bersetuju dengan topik mengenai penceraian boleh berlaku ketika dalam proses menamatkan pengajian peringkat PhD.

Walaupun pelbagai faktor boleh menyumbang kepada situasi itu, namun menurut Fairuz soal tuntutan masa, kewangan dan emosi merupakan hal utama yang perlu dititikberatkan bagi mereka yang mahu meneruskannya.

Menyelesaikan pengajian PhD tidak diukur dengan seberapa bijaknya seseorang, sebaliknya menuntut sifat daya tahan calonnya.

FAIRUZZAMAN

Susulan itu juga, Fairuz turut berkongsi pendapat serta pengalamannya sendiri berkenaan topik dibincangkan selepas berjaya membuktikan dia mampu menamatkan pengajian walaupun sudah berumah tangga.

"Setiap calon PhD perlu bahagikan masa dengan baik. Mereka perlukan masa dan keadaan perlu tenang untuk proses membaca dan menulis (dalam laras akademik). Jika calon bekerja sambil belajar, lagilah perlukan pembahagian masa yang rigid.

"Untuk calon yang sudah berumah tangga dan mempunyai tanggungan anak, hal kewangan pasti lebih memberi kesan. Ada calon PhD sepenuh masa yang mengambil cuti sama ada bergaji separuh atau tanpa gaji untuk menyelesaikan pengajian.

"Lazimnya mereka ni juga berhadapan dengan pergolakan emosi yang tidak menentu sebab mengejar tarikh akhir penulisan. Pasangan juga mungkin berasa terpinggir atau kurang berkomunikasi disebabkan tumpuan utama calon adalah untuk menyelesaikan disertasi," katanya lagi.

Fairuz dan Nana sempat meluangkan masa untuk melancong bersama keluarga sebelum pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, Fairuz meluahkan rasa syukur apabila isterinya memahami dan boleh menjadi team yang baik memandangkan wanita itu juga berpengalaman menamatkan pengajian peringkat PhD.

Dalam pada itu, bapa kepada tiga cahaya mata ini juga turut menitipkan nasihat kepada mereka yang berhasrat atau sedang menyambung pengajian di peringkat PhD.

"Bagi saya, mereka yang berniat nak sambung PhD, silalah bertahan. Bertahan yang saya maksudkan adalah pengajian PhD itu hanyalah sebuah fasa dalam kehidupan kita.

"Berbeza dengan pandangan lazim, menyelesaikan pengajian PhD sebenarnya tidak diukur dengan seberapa bijaknya seseorang calon itu. Sebenarnya pengajian PhD menuntut sifat daya tahan calonnya untuk menyelesaikan pengajiannya.

"Maka, bertahan dan berjalanlah walaupun perlahan kerana pasti ada cahaya dihujungnya," jelas Fairuz lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain