suria

30K masuk akaun peribadi, tak ada siapa tuntut! Wanita usaha jejak pemilik, ada terdetik guna wang beli kereta

Wanita kongsi kisah memulangkan semula wang bukan miiliknya yang diterima.

SESETENGAH orang mungkin menganggap wang yang dimasukkan ke akaun banknya oleh pihak tidak dikenali sebagai 'rezeki terpijak'.

Namun, tidak bagi wanita bernama Irriana Azreen yang sedaya upaya berusaha memulangkan semula wang berjumlah lebih RM30,000 kepada pemiliknya selepas berlaku kesilapan dalam membuat transaksi bank.

Dalam hantarannya di X, wanita ini menceritakan semula bagaimana dia mencari inisiatif mendapatkan pemilik wang tersebut apabila tiada tuntutan dibuat selama tempoh dua minggu.

"Saya rasa bersyukur juga la jenis tak gelap mata nampak duit. Betul-betul diuji ada orang salah transfer (pindah) RM30,448 dekat (akaun) saya.

"Dok tunggu dua minggu orang tak claim (buat tuntutan). Jadi saya terpaksa trace (jejak) sendiri pemilik," ujarnya.

Tangkap layar perbualan Irriana dengan pemilik wang di WhatsApp.

Difahamkan, duit tersebut dipindahkan ke akaun peribadinya melalui transaksi dalam talian oleh sebuah agensi pelancongan syarikat persendirian yang tidak dinyatakan namanya.

Menurut Irriana, dia berjaya menjumpai pemilik wang tersebut selepas berusaha selama satu bulan.

Bagaimanapun sebelum wang itu dikembalikan, wanita ini sempat mengasingkan duit tersebut ke akaun simpanan lain yang dinamakan 'Tabung'.

"Nasib jumpa lepas sebulan. Mata dah kelabu sikit 'usha' down payment (wang pendahuluan) HR-V (model kereta Honda)

"Berangan tu ada. Tapi asing letak dekat tabung MAE (aplikasi Maybank) takut iman tak kuat. Tabung sendiri 4 sen," katanya berseloroh dalam ruangan kapsyen.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dicekup edit resit! Beli jam RM54 tapi cuma 'transfer' 1 sen, dedah dah ramai kawan buat tapi tak kantoi

ARTIKEL BERKAITAN: Pengurus syarikat putih mata wang simpanan lebih RM400,000 lesap

Menerusi tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp yang dikongsikan, pemilik akaun tersebut memberitahu berlaku kesilapan ketika memasukkan butiran nombor akaun.

"Money changer (pengurup wang) tu tersalah taip. Dua digit terakhir nombor akaun tu bertukar. Jadi saya terpindah duit ke akaun awak," jelasnya.

Menjawab segala soalan diajukan netizen, wanita ini menjelaskan langkah-langkah yang diambil bagi memastikan duit tersebut diserahkan semula kepada pemiliknya yang sebenar.

"Saya ada tanya orang di sekeliling dan mereka cakap macam ni. Jadi apa yang saya buat adalah dengan meminta resit jumlah pemindahan, kad pengenalan, bila dan masa kami buat transaksi dengan surat persetujuan bersama.

"Saya kasihan, takut duit pakcik-pakcik pergi haji nanti kena freeze (dibekukan)," ujarnya.

Tahniah kerana menjadi insan yang amanah. Susah nak cari orang yang amanah sekarang.

NETIZEN

Tindakannya itu mendapat pujian ramai kerana dianggap mempunyai nilai moral dan kejujuran yang tinggi.

"Masih ada insan jujur. Tindakan yang bagus kak. Semoga Allah kurniakan rezeki melimpah ruah.

"Tahniah kerana menjadi insan yang amanah. Susah nak cari orang yang amanah sekarang.

"Wah masih ada lagi orang baik hati. Terbaik. Allah sedang uji awak tu. Semoga dimurahkan rezeki," komen netizen.

Komen netizen di X.

Sebelum ini, penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus pernah menjelaskan mengenai hukum sekiranya ada individu tersalah masuk duit ke akaun peribadi kita.

"Jawapannya mudah saja. Situasi itu menjadi susah (buat kira) sekiranya dimasukkan ke dalam poket dan bukan akaun bank.

"Kita tengah sibuk tiba-tiba duit masuk dalam poket, jadi susah nak buat kira. Tapi kalau masuk dalam akaun bank ada rekod transaksi, jadi pihak bank boleh tahu.

"Kita yang lebih handal menggunakan internet ni lebih tahu nak jejak semula melalui butiran tertera. Kalau bank mesti boleh tahu punya, tak boleh tipu dah," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain