TANPA mengira siapapun kita, setiap individu pasti diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran masing-masing. Namun satu perkara yang perlu kita ingat ialah ketika berdepan waktu susah, ada lagi insan lain yang menanggung derita. Begitulah yang dikongsikan seorang usahawan mengenai pertemuan yang tidak disangka-sangka dengan seorang wanita berusia di sebuah bank. Menerusi satu perkongsian di Facebook, katanya dia mahu mengeluarkan duit di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk perbelanjaan bagi keperluan dapur dan belanja anaknya di asrama. "Saya masuk dalam bank, hanya ada dua mesin ATM sahaja yang beroperasi. Lain semua rosak. "Dekat mesin deposit, seorang makcik seperti blur nak buat apa. Belakangnya ada lebih kurang lima atau enam orang menunggu," kata Muhammad Abu Hurairah Roslan menerusi hantarannya itu. Abu Hurairah membantu seorang makcik melakukan pemindahan wang. -Gambar hiasan Berniat daripada awal untuk membantu makcik berkenaan, dia mengeluarkan wang terlebih dahulu. Bagaimanapun katanya, dia ditegur oleh wanita itu ketika hendak membuat pengeluaran wang di mesin ATM. "Tiba-tiba baru nak masukkan kad, makcik ni panggil. Nak, nak! Tolong makcik jap. Makcik nak transfer (duit) ke anak ni. Dia perlu duit. Kenapa tak boleh?" katanya yang mengimbas kembali perbualannya bersama wanita itu. Selepas memasukkan kad bank milik wanita itu di mesin dan meneruskan transaksi, lelaki berkenaan bertanyakan berapa jumlah pemindahan wang hendak dibuat. ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah luah emosi masa tazkirah, satu surau senyap ustaz mengalir air mata.... Rupanya ‘senasib’ nak 10 akhir Ramadan baru dapat job ARTIKEL BERKAITAN: Ganjaran ‘terpijak’ di tangga masjid... Peniaga laptop tak jangka ajakan pakcik tak dikenali solat Zohor berjemaah buka pintu rezeki! Melihat kepada baki akaun bank wanita itu, lelaki tersebut mengakui tidak sampai hati untuk berterus-terang mengenai hal yang sebenar. "Dalam akaun makcik ni ada RM20 je. Demi Tuhan, itulah saja yang ada. "Kita ke tepi jap makcik. Ramai kat belakang tu nak deposit duit," ujarnya tanpa mendedahkan tarikh dan lokasi kejadian. Wang tersebut digunakan untuk makan-minum dan keperluan keluarga anak wanita itu. -Gambar hiasan Mengajak makcik itu ke tepi bagi memberi laluan kepada pelanggan bank lain, dia sekali lagi bertanyakan jumlah wang yang hendak dipindahkan kepada anaknya. "Kalau RM50, boleh? Dia dah berapa hari tak kerja. Memang habis langsung. Nak beli barang dapur je. Anak-anak nak makan," jelas wanita itu. Memberi tak pernah mengurangkan apa yang kita bagi. MUHAMMAD ABU HURAIRAH ROSLAN Menurut Abu Hurairah, dia kemudian meminta nombor akaun bank kepunyaan anak makcik itu untuk membuat pemindahan wang. "Tapi tak pakai mesin tu? Nak transfer. Tak apa, pakai handphone saya je, mari nombor akaun anak," katanya. Mengulas lanjut, Abu Hurairah berkata, makcik itu berkali-kali mengucapkan terima kasih dan pada masa dia tidak mampu berkata apa-apa. "Sedangkan dalam akaun saya itulah juga saja yang ada. Saya bagi lebih sebab teringat anak makcik yang jauh ni, pasti lebih teruk keadaannya," ujarnya lagi. Abu Hurairah berkongsi pengalaman bertemu dengan seorang makcik di sebuah bank. Bersyukur dapat membantu wanita berkenaan, dia memaklumkan setiap manusia diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan seperti kekangan kewangan. "Kita semua diuji. Tidak kira siapa pun kita. Benarlah, Allah temukan kita dengan orang susah begini, ujiannya bukan untuk dia. Tapi untuk kita juga. "Ada sedikit, berilah. Ada banyak, bagilah. Kita kuat menguatkan antara kita. Kita tiada apa-apa lagi di waktu ini melainkan semuanya hanya pada Allah. "Allah pembela bagi orang-orang yang bertakwa. Takwa itu, mereka berbelas kasihan pada orang-orang yang memerlukan. Memberi, tak pernah mengurangkan apa yang kita bagi," kata Abu Hurairah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube