SELEPAS kira-kira seminggu mendiamkan diri, ibu kepada personaliti media sosial cilik, Fatimah 'The Family UK' akhirnya tampil memaklumkan perkembangan terkini keadaan kesihatan anaknya. Fatimah atau nama sebenarnya Fatimah Omar Mukhlis yang berusia 10 tahun kini dimasukkan dalam senarai kecemasan untuk menjalani lima lagi prosedur pada Jumaat. Menurut ibu Fatimah, Nor Ashila Mahamed Ismail, 43, Fatimah berpuasa sejak Khamis malam kerana diletakkan dalam senarai kecemasan untuk melakukan prosedur tersebut. Fatimah menjalani rawatan di hospital sejak Mac lalu. "Lima prosedur yang akan dilakukan adalah biopsi unilateral bone marrow aspiration and trephine, lumbar puncture, biopsi nodus limfa inguinal. "Ini termasuk biopsi kulit insisi kedua daripada salah satu ketulannya. Sekarang pukul 11 pagi di United Kingdom dan Fatimah telah ditidurkan dan sudah berada di dewan bedah untuk lima prosedurnya," katanya menerusi mesej yang dihantar kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Fatimah ‘The Family UK’ minta guru datang ke wad walau lemah untuk belajar, ibu terkedu anak pilih dirinya jadi role model ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia rindu telatah comel Fatimah ‘The Family UK’... Keadaan kesihatan cetus tanda-tanya, ibu minta doa harapkan keajaiban Sehubungan itu, Nor Ashila berharap agar semua terus mendoakan kesihatan dan kesembuhan Fatimah serta prosedur tersebut berjalan lancar. "Di hari Jumaat yang mulia ini, kami sekeluarga dengan penuh rendah diri dan pengharapan, ingin memohon jasa baik anda semua agar sudi untuk terus mendoakan kesayangan kami, Fatimah Omar Mukhlis. "Semoga Allah mempermudah kesemua lima prosedur Fatimah hari ini tanpa sebarang komplikasi," katanya lagi. Aktiviti yang dilakukan Fatimah di hospital. Sementara itu, menerusi satu hantaran di Instagram pada Jumaat, Nor Ashila menghargai semua yang tidak putus-putus bertanya khabar dan mendoakan Fatimah. "Terima kasih pada semua yang ikhlas bersedekah di atas nama Fatimah. Terima kasih juga kepada semua yang sudi melapangkan masa, mengambil kesempatan keberadaan di tanah suci Makkah untuk melakukan tawaf khusus buat Fatimah. Semoga berkat doa ramai di bulan Zulhijah ini, Allah kurniakan keajaiban buat Fatimah. NOR ASHILA MAHAMED ISMAIL IBU FATIMAH "Semoga Allah kurniakan pahala yang berlipat kali ganda atas keikhlasan anda semua. Dan semoga berkat doa ramai di bulan Zulhijah ini, Allah kurniakan keajaiban buat Fatimah," katanya mengenai Fatimah yang dimasukkan ke hospital sejak Mac lalu. Fatimah bersama abang dan adik lelakinya menjadi perhatian kerana bertutur dalam dialek Kelantan, meskipun membesar di Birmingham, United Kingdom. Ramai sentiasa menantikan perkembangan mengenai keadaan kesihatan Fatimah. Terdahulu, mStar melaporkan keputusan bagi prosedur biopsi kedua yang dijalankan pada 29 Mei lalu itu mengambil masa berikutan sampel tisu Fatimah dihantar ke tiga makmal berbeza untuk dianalisis, bagi mengenal pasti dan mengesahkan penyakit yang dihadapi anak kedua daripada tiga beradik itu. Nor Ashila berkata, kesihatan anaknya sebelum ini semakin merosot dan keadaannya masih lemah. Menurutnya lagi, keadaan Fatimah dalam pemantauan doktor dan kiraan darah dilakukan setiap hari untuk penilaian dari masa ke semasa. “Tekanan darah dan kadar denyutan jantung Fatimah turun naik. “(Kiraan darah) semakin menurun. Tak turun mendadak, tapi perlahan. Jika ada keperluan, prosedur pemindahan darah akan dijalankan,” ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube