suria

Sejak kecil diajar memberi, wanita ini belajar sesuatu selepas jadi penerima... Kekok dibantu, diberi sumbangan

Hidup umpama roda, ada masa kita di atas, ada masa di bawah. -Gambar hiasan

MENGHULURKAN bantuan kepada insan yang memerlukan, terutama mereka yang sedang dalam kesusahan sangat digalakkan.

Namun harus diingat, ada juga individu yang lebih suka memberi daripada menerima atas beberapa faktor.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik oleh Liyana Izan di laman Facebooknya, wanita ini memberitahu bahawa dia lebih selesa memberi daripada menerima bantuan.

Sumbangan yang diberi, biarlah diterima dengan hati yang terbuka. -Gambar hiasan.

Terimalah sumbangan dengan hati ikhlas dan terbuka. -Gambar hiasan

"Teringat dulu masa saya dirompak, kawan-kawan saya buatkan crowdfunding, dana yang terkumpul kalau tak silap dalam RM200.

"Tapi saya tak pernah tuntut duit tu, tak tahu macam mana nak tuntut pun. Saya malu nak guna duit kawan-kawan, saya rasa masih mampu bekerja. Walaupun saya 'koyak' emosi dan poket masa tu. Sumbangan yang diberi tu, saya tak pasti apa jadi," katanya.

Menurut Liyana Izan, sejak kecil hingga dewasa dia hanya terdedah kepada amalan memberi justeru menerima sumbangan daripada orang lain menjadi begitu asing untuk dirinya.

"Saya dibesarkan dalam suasana memberi, tak pernah menerima.

"Ayah selalu tunjuk contoh bagi atuk wang belanja sebelum beransur pulang, bagi duit belanja pada anak-anak buah yang dah tak ada ibu atau ayah, bagi makcik saya yang kematian suami, jadi saya memang dididik untuk memberi," kata wanita itu lagi.

ARTIKEL BERKAITAN:Utama keluarga, saudara terdekat! Lelaki hujah konsep sedekah, boleh abai ‘agamawan’ minta derma untuk sekolah tak berdaftar

ARTIKEL BERKAITAN:Duit ada kurang RM100, tetap nak rasa manis sedekah... Peniaga guna beras di rumah, masak nasi bagi percuma

Sehinggalah suatu hari kehidupannya berubah apabila dirompak, Pengasas Kembara Adik Ke Kebun Rahsia ini berkata dia berasa sangat malu menjadi penerima sumbangan.

Bagaimanapun, si adik yang memahami perasaannya tampil memberi nasihat supaya tidak menolak pemberian orang lain yang berniat ingin membantu.

"Ditakdirkan hidup saya berubah. Dari memberi, menjadi penerima. Tebalnya muka Allah je tahu, saya tak pernah meminta, tapi kalau ada saudara hulur wang belanja dan paksa terima, memang rasa malu sangat.

"Saya pernah cakap dengan adik, saya malu orang bagi-bagi, hulur-hulur belanja ni.

"Tapi adik cakap, janganlah tolak rezeki. Tak baik. Orang ikhlas nak bagi, kalau rasa tak nak guna bagi anak-anak buat belanja," ceritanya lagi.

Saya dibesarkan dalam suasana memberi, tak pernah menerima.

LIYANA IZAN

Dia mengimbas kisah diberikan RM1,000 oleh kawan suami ketika mereka sekeluarga mahu pindah keluar dari Langkawi.

"Kami memang tolak, sebab banyak sangat. Tak pernah orang bagi duit sebanyak ni. Tapi dia tetap minta kami terima pemberiannya, doakan Allah tambah rezeki dia. Menangis kami suami isteri," katanya.

Pernah juga semasa sambutan Aidilfitri, seorang sepupu memberikan duit raya RM2,000 untuk digunakan mereka sekeluarga, namun ditolak juga.

"Tapi dia cakap, ambillah buat belanja. Ayah banyak bantu dia dulu. Menangis lagi kami," cerita wanita itu.

Tambahnya lagi, dia juga pernah diuji rosak telefon bimbit namun dibantu oleh rakan yang memberikan RM500 sebagai hadiah, malah ada juga yang memberikan sumbangan berbentuk peralatan kebun serta duit belanja untuk anak.

WhatsApp Image 2024-04-18 at 14.55.47

Setiap perbuatan baik pasti dibalas baik. -Gambar hiasan

Selepas apa yang berlaku dia sedar bahawa dirinya dikelilingi rakan dan ahli keluarga yang baik-baik, justeru dia perlu bersyukur dengan nikmat serta kurniaan ini.

"Saya ramai kawan yang baik-baik sangat. Sumbangan adik beradik pula memang banyak tak terkira, yang mana dahulukan duit bayar bulanan kereta, yang mana bayarkan sekolah anak-anak, belanja raya dan sebagainya.

"Syukur sangat atas rezeki adik beradik tak berkira. Semua ni jadi pembakar semangat saya untuk kembali bangkit.

"Supaya saya dapat kembali memberi, seperti semua yang banyak bantu kami. Sikit je lagi, insyaAllah," katanya.

Menurut Liyana Izan, dia membuat perkongsian ini di media sosial untuk dijadikan memori dan supaya dia tidak melupakan insan-insan baik yang membantunya.

Dalam masa sama nukilannya itu diharapkan dapat menjadi peringatan buat diri sendiri untuk terus memberi, malah memberi dengan lebih banyak pada masa akan datang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain