suria

Luluh hati menantu, bapa mentua meninggal ketika duduk dalam van… Kenderaan pula rosak tepi jalan - “Nak kejut makan, tangan dah keras”

Bapa mentua Mohd Ariff disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

LULUH hati seorang lelaki apabila melihat bapa mentuanya terdiam kaku di dalam van yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

Lebih menyedihkan apabila perjalanan dari Sandakan, Sabah ke Bongawan, Papar bersama jenazah bapa mentuanya terkandas akibat van mengalami kerosakan.

"Al-Fatihah untuk bapa mentua. Baru mahu bawa tinggal di kampung bersama kami, rupanya meninggalkan kami semua.

"Dari Sandakan dalam perjalanan pulang ke Bongawan, pam brek bocor terkandas beberapa jam di sini. Kami berdua saja sekarang, ia membuatkan air mata mengalir," tulisnya di Facebook.

Van yang dipandu Mohd Ariff mengalami kerosakan dalam perjalanan pulang dari Sandakan ke Bongawan, Papar.

Berkongsi kisah pilu itu, Mohd Ariff Ahmad berkata, dia membawa bapa mentuanya dari Sandakan pulang ke rumahnya di Bongawan, Papar pada pukul 9 malam, Sabtu.

Lelaki berusia 35 tahun itu berkata, mereka bagaimanapun berhenti di tengah perjalanan kerana mahu berehat.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman anak tidur sebelah jenazah bapa undang sebak... Pemuda janji tunai permintaan arwah buat surau dalam rumah

ARTIKEL BERKAITAN: Anak berhenti kerja, pilih berbakti jaga mak ayah sakit! Selepas 5 bulan ibu meninggal, bapa pula ‘menyusul’ - “Bahagialah bersama cinta hati abah”

"Perjalanan agak jauh dari Sandakan, jadi kami berehat dulu di tepi jalan kerana penat dan tertidur. Pagi ni baru nak sambung perjalanan.

"Saya tengok ayah masih tidur, mungkin lena agaknya. Apabila sampai di kawasan Kundasang, saya kejut ayah untuk minum dan makan roti.

"Tapi masa tu tangan dan bahu ayah sudah keras, muka dah pucat. Saya terus menangis sebab ayah sudah tidak bernyawa lagi," katanya ketika dihubungi mStar.

Jenazah dibawa ke Masjid Pekan Bongowan. Foto FB Mohd Ariff Ahmad

Mengulas lanjut, bapa kepada tiga anak itu berkata, rumah bapa mentuanya yang terletak di atas air di Sandakan musnah akibat tiang yang menyokongnya patah.

"Rumah ayah musnah dan ditenggelami air. Jadi, saya berniat untuk ambil dan bawa tinggal bersama di kampung saya," ujarnya.

Saya terkejut dan sedih sebab ayah tak sempat tinggal bersama kami.

MOHD ARIFF AHMAD

MENANTU

Bapa kepada tiga anak itu mengakui tidak dapat menahan kesedihan apabila bapa mentuanya yang berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Memang saya terkejut dan sedih sebab ayah tak sempat tinggal bersama kami. Ayah dalam keadaan okay saja malam tadi, kami santai-santai dan berbual seperti biasa," ujarnya sebak sambil menambah bapa mentuanya mempunyai sejarah penyakit strok.

Barang-barang milik arwah bapa mentua penuh di dalam van.

Mohd Ariff yang mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing turut terkilan apabila mendakwa tidak mendapat bantuan daripada orang awam yang melalui kawasan dia terkandas.

"Saya ada cuba minta bantuan daripada kenderaan yang lalu-lalang, siap angkat kedua-dua tangan tapi tiada siapa yang mahu berhenti.

"Fikiran saya kusut sebab sudahlah ayah meninggal dunia dengan keadaan duduk, nak baringkan pun tak boleh sebab barang-barang ayah penuh di dalam van," katanya yang ketika itu hanya mahu menguruskan jenazah bapa mentuanya terlebih dahulu.

Bagaimanapun dia kemudian mendapat bantuan daripada abangnya yang datang dari Bongawan ke lokasi terkandas dengan perjalanan kira-kira tiga jam.

"Van jenazah pula dapat bantuan dari Beaufort, yang mana perjalanannya mengambil masa lebih lama. Kira-kira pukul 1 tengah hari baru sampai untuk bawa pulang jenazah.

"Sekarang kami tunggu ahli keluarga bapa mentua dari Sandakan dan Lahad Datu sebelum menguruskan pengebumian jenazah," katanya sambil menambah jenazah dibawa ke Masjid Pekan Bongowan.

Menerusi hantaran di Facebook pada pagi Isnin, Mohd Ariff memaklumkan jenazah bapa mentuanya selamat dikebumikan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain